Chereads / Isteri Liar Maharaja Hantu - Puan Muda Sulung Bergaya / Chapter 72 - Benar-Benar Menerima Tamparan (4)

Chapter 72 - Benar-Benar Menerima Tamparan (4)

Mujur semua orang tidak berkeadaan normal maka mereka tidak perasan akan kejahatan pada mata Mu Wushuang...

"Xin'er, apa yang telah berlaku?" Tua Tua Ning yang tidak tahu mengenai situasi itu, mengerutkan keningnya lalu bertanya.

Ning Xin segera menjelaskan tentang pertaruhan di antara Yun Luofeng dengan Putera Mahkota, serta menceritakan segala-galanya yang telah dikatakan oleh Mu Wushuang dan orang lain.

"Oh? Cik Mu Wushuang hendak mengajar Cik Yun?" Tuan Tua Ning merenung Mu Wushuang dengan perasaan terkejut. Wajah gadis itu menunjukkan perasaan malu yang teramat. Dengan nada suara bersahaja orang tua itu berkata, "Memandangkan sudah jadi begini, orang tua ini akan memberikan kamu sedikit petua. Tabib yang hebat tidak perlu memeriksa nadi untuk mendiagnosis keadaan pesakitnya. Mereka cuma perlu menggunakan mata untuk menentukan keadaan pesakit. Tabib yang perlu memeriksa nadi itu cuma tabib palsu!"

Tubuh Mu Wushuang seperti digegar. Sambil menggenggam tangannya, kebencian dalam hatinya membara bagaikan api yang marak.

Ia semua salah Yun Luofeng!

Jika bukan sebab Yun Luofeng, dia tidak akan dimalukan sebegini! Dia juga tidak akan dipanggil penipu! Disebabkan oleh Yun Luofeng dia tidak dapat berkata membalas apa-apa!

"Xin'er," Tuan Tua Ning menoleh kepada Ning Xin, "kamu harus belajar daripada Cik Yun mulai sekarang. Datuk dapat merasakan yang Cik Yun ini cukup baik dan memiliki kebolehan perubatan yang hebat. Kamu ni terlalu terburu-buru dan pasti akan ditimpa masalah nanti. Kamu hampir diperdaya oleh tabib palsu. Jika bukan dengan bantuan berani daripada Cik Yun, Datuk mungkin sudah mati di tangan seorang tabib palsu."

"Ya, saya faham. Saya tidak akan mengulangi kesilapan ini kelak dan tidak akan terpedaya lagi dengan tabib palsu."

Pasangan datuk dan cucu itu memanggilnya 'tabib palsu' berulang kali, memarakkan lagi api kemarahan Mu Wushuang sehingga membuat dadanya kembang kempis dan warna kulitnya bertukar kemerahan. Dia sudah hampir memberikan alasan untuk meninggalkan tempat itu ketika suara malas dan licik Yun Luofeng kedengaran dari sisinya.

"Putera Mahkota, bukankah kamu perlu mula tunaikan janji kedua kamu?" Yun Luofeng menggeliat malas, bibirnya dihiasi senyuman mengusik. "Sekarang sudah lewat, dan saya hendak pulang untuk tidur awal, jadi kamu tidak patut membuang masa saya. Ingat, semakin kuat tamparan itu, lebih bagus. Lebih kuat tamparan, saya lebih gembira dan kamu juga boleh selesaikan hal ini lebih awal."

Ekspresi wajah Gao Ling berubah saat dia menjerit dengan marahnya, "Yun Luofeng kamu jangan melampau!"

"Nampaknya Putera Mahkota Yang Agung ini rupanya orang zalim yang menarik balik kata-katanya," Yun Luofeng mengerling kepada Gao Ling. "Apapun, tidak kisahlah jika kamu sanggup menunaikan janji kamu atau tidak. Memandangkan ada Putera Keempat dan Tuan Tua Ning di sini untuk membuktikannya. Jika hal ini tersebar, semua orang akan tahu bahawa Putera Mahkota adalah seorang bangsat yang memungkiri janjinya."

"Kamu..."

Mata Gao Ling seakan terbakar, ekspresinya yang berniat jahat memberikan anggapan yang dia akan menumbuk muka Yun Luofeng pada bila-bila masa sahaja.

"Cik Yun," Tuan Tua Ning takut Gao Ling akan menerkam Yun Luofeng kerana berang, jadi dengan gagah dia melindungi Yun Luofeng di belakangnya, sama seperti melindungi anaknya sendiri, "tenang sahaja, syarat yang dia janjikan pada kamu, orang tua ini pasti akan bantu kamu untuk buat dia tunaikannya! Jika tidak, orang tua ini pasti akan menyebarkan perlakuan tidak bermaruahnya ini ke seluruh dunia.

Gao Ling tidak tahu mengenai identiti Tuan Tua Ning, jadi dia tidak berani bertindak sembarangan. Tidak lama kemudian, Mu Wushuang perlahan-lahan mendekatinya. Matanya yang lembut menunjukkan ketegasan yang penuh perasaan.

"Putera Mahkota, sungguh tidak berbaloi kalau Tuanku mungkir janji demi Patik. Patik yang membuat Tuanku setuju dengan syaratnya, jadi Tuanku mesti tunaikan janji. Oleh itu, tamparlah Patik kerana Patik tidak akan menjadi beban kepada Tuanku Putera Mahkota."

Mu Wushuang mendongakkan wajahnya yang jelita, matanya bersinar romantis.

Dia ingin meyakinkan Gao Ling yang dia rela menanggung malu demi lelaki itu.