Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 99 - Pengeluaran Besar-Besaran

Chapter 99 - Pengeluaran Besar-Besaran

Setelah pergi ke berek Tentera Rui Lin, Jun Wu Xie akhirnya faham tentang kekuatan di sebalik Keluarga Jun. Mata pedang yang tajam ini sudah membunuh ramai orang yang berkomplot menentang Keluarga Jun dan digeruni oleh Maharaja sendiri sehingga baginda tidak mengambil tindakan menentang mereka.

Jun Xian dan Jun Qing telah mengalah dan menyerahkan kuasa mereka kerana tidak ada sesiapa yang berkebolehan untuk mewarisi Tentera Rui Lin.

Kini segalanya telah berubah!

Selepas pulang dari berek Tentera Rui Lin, Jun Wu Xie terus menuju ke farmasinya.

Mata pedang Keluarga Jun yang tajam ini perlu diperkuatkan lagi.

Sejak dari hari itu, Jun Wu Xie tidak meninggalkan Istana Lin. Dia berkurung di dalam farmasinya dan banyak herba perubatan dihantar kepadanya setiap hari. Walaupun dia tidak pergi ke kediaman Putera Mahkota, selang sehari Mo Qian Yuan akan menghantar Nektar Jed kepadanya.

Teratai yang sudah bertunas itu juga dialihkan ke farmasi. Tiada siapa yang tahu apa yang Jun Wu Xie sedang lakukan.

Jun Wu Yao membuka pintu itu dan terlihat tubuh kecil molek itu sedang tidur sambil bersandar di kerusi.

Kecantikan Jun Wu Xie terserlah sewaktu dia sedang tidur, tanpa penampilan yang biasanya dingin dan suka menyendiri itu.

Jun Wu Yao memandang sekilas ke arah tong-tong kayu di sudut bilik itu. Dia berjalan ke arah Jun Wu Xie dan perlahan-lahan mengangkatnya.

"Meow." Kucing hitam kecil yang sedang tidur di atas lutut Jun Wu Xie itu terjaga, memandang Jun Wu Yao sekilas, kemudian tidur semula di dalam dakapan tuannya.

[...….]

Pergerakan kucing hitam kecil itu membuatkan Jun Wu Xie terjaga dan dia membuka matanya. Sebaik terlihat wajah Jun Wu Yao yang nakal, dia menutup matanya kembali.

"Kalau saya tidak ke mari, kamu mahu jadikan farmasi ini rumah kamu?" tanya Jun Wu Yao sambil mengangkat salah satu keningnya.

"Sudah berapa lama saya tidur?" Jun Wu Xie menggosok-gosok matanya yang sedikit berair.

"Kenapa kamu terlalu bekerja keras? Tentera Rui Lin sudah cukup kuat. Kamu ingat kamu ini dibuat daripada besi? Kamu tak mungkin dapat menghasilkan ubat menguatkan badan untuk seluruh pasukan tentera itu seorang diri!" Jun Wu Yao duduk di kerusi dan meletakkan Jun Wu Xie di atas ribanya. Dia menyelitkan helaian rambut Jun Wu Xie ke belakang telinga gadis itu.

"Kenapa tidak?" jawab Jun Wu Xie.

Ubat untuk seratus ribu anggota tentera mungkin terlalu banyak, tetapi dengan kepantasannya, perkara ini bukan mustahil.

Jun Wu Yao ketawa dan meletakkan dahinya ke dahi Jun Wu Xie. Dia berkata dengan lembut, "Saya sangkakan kamu hanya ambil berat tentang bapa dan anak Keluarga Jun."

Dalam masa sebulan, berpuluh-puluh tong kayu siap diisi penuh dengan ubat menguatkan badan.

Anggota tentera dalam pasukan Tentera Rui Lin semunya lelaki dewasa dan mereka sudah menguatkan tenaga rohani mereka sejak sekian lama. Latihan ketenteraan yang berat telah menguatkan badan mereka. Namun urat darah serta arteri yang penting bagi peningkatan rohani lebih sukar untuk diperkuatkan. Memang sudah diketahui yang kekuatan urat darah dan arteri mempengaruhi kepantasan pembentukan tenaga rohani.

Sebelum meningkat dewasa, seseorang boleh memperkuatkan urat darah dan arteri menggunakan ubat herba. Sebaik sudah dewasa dan urat darah serta arteri ini menjadi matang, agak sukar untuk terus memperkuatkan dan mempertingkatkan kedua-duanya.

Di dalam kerajaan yang luas ini, ramai yang cuba mencari cara untuk mempertingkatkan urat dan arteri orang dewasa. Hanya sebilangan kecil yang berjaya.

Bai Yun Xian mahupun Tok Gurunya tidak berjaya melakukannya.

Pemerintah Kumpulan Qing Yun sekalipun tidak dapat menghasilkan ubat seperti ini, tetapi Jun Wu Xie menghasilkan ubat ini dengan banyak, seolah-olah proses pembuatannya tidak memerlukan duit. Dia mahu memberikan berpuluh ribu pil ini secara percuma kepada anggota tentera yang hanya bertaraf rakyat biasa.