Hasil khasiat berterusan dari Nektar Jed, biji benih teratai yang Jun Wu Xie tanam terus bertunas dan berbunga. Campuran haruman teratai dan wain itu menyelubungi bilik Jun Wu Xie sepanjang masa.
Haruman ini memberikan tenaga rohani kepada Jun Wu Xie sekalipun sewaktu dia sedang tidur.
Roh berkontrak jenis tumbuh-tumbuhan mungkin kelihatan tidak berguna. Namun teknik pertapaannya berlainan dari biasa.
Hanya dalam masa dua minggu sahaja, Jun Wu Xie sudah berjaya mengumpulkan tenaga rohani di dalam badannya.
Sambil merenung cahaya berwarna merah di tapak tangannya, akhirnya mata Jun Wu Xie menunjukkan kepuasan.
Tenaga rohani di dunia ini diklasifikasikan kepada tujuh peringkat, mengikut warna pelangi.
Warna merah, jingga, kuning, hijau, biru, biru nila dan ungu.
Jun Wu Xie baru sahaja didedahkan dengan tenaga rohani. Cahaya kemerah-merahan pada tangannya menunjukkan tenaga rohnya berada di peringkat pertama.
Tenaga rohani hanya boleh dihasilkan selepas kebangkitan roh berkontrak. Ini bermaksud, manusia di dunia ini mula berlatih dengan bersungguh-sungguh hanya selepas usia empat belas tahun. Sebelum usia itu, mereka perlu menjaga badan mereka dan memperkuatkan tendon, arteri dan urat darah sebagai persediaan menghadapi proses kebangkitan. Pada mulanya, sebelum dia mengambil alih tubuh ini, pemilik tubuhnya ini sudahpun dipersiapkan oleh Jun Xian sejak dari usia yang muda. Oleh itu, tubuhnya kini sangat mudah bertindak-balas terhadap pertapaan roh.
Dari usia empat belas tahun ke atas, manusia perlu bergantung dengan roh berkontrak untuk terus mengembangkan tenaga rohani. Lebih banyak tenaga rohani manusia meningkat, lebih banyak yang dapat diserap oleh roh berkontrak .
Manusia dan roh berkontrak saling berkaitan dan bergantung di antara satu sama lain.
Apabila orang biasa mula bertapa dan mengumpul tenaga rohani, tubuh mereka mampu mengumpulkan jumlah yang sedikit. Tempoh masa sekurang-kurangnya enam bulan diperlukan untuk membolehkan tenaga ini dapat dilihat dari segi luaran.
Namun begitu, Jun Wu Xie hanya mengambil masa setengah bulan untuk mencapai keadaan ini. Kalau sesiapa mengetahuinya, mereka boleh mati terkejut!
Jun Wu Xie tiba-tiba menarik balik tenaganya dan cahaya merah itu hilang. Seketika kemudian, terdengar satu ketukan di pintu.
Selepas dia mula bertapa, keupayaan kelima-lima derianya semakin meningkat.
"Masuk."
Pintu itu terbuka. Long Qi berdiri di luar, kemudian dia tunduk hormat. "Tuan Kedua menjemput Cik pergi berjumpanya."
Long Qi membawa Jun Wu Xie ke pusat latihan bawah tanah. Kawasan ini sangat luas dan kelihatan mengagumkan. Pelbagai jenis senjata memenuhi keempat-empat dinding yang mengelilingi kawasan itu.
Di bahagian tengah, kelihatan satu seseorang sedang memegang pedang dan tidak berhenti-henti berlatih gerakan pedangnya. Pergerakannya tangkas dan garang, lemah lembut dan tajam. Jubahnya dibasahi peluh, namun dia nampaknya tidak peduli dan meneruskan latihannya dengan penuh keazaman.
"Pak Cik." Jun Wu memanggil lelaki itu.
Sebaik terdengar suara Jun Wu Xie, Jun Qing terus memasukkan pedangnya ke dalam sarung di belakang badannya dan memberikan senyuman yang ceria pada anak saudaranya.
"Wu Xie dah sampai."
Jun Wu Xie membuat analisis dengan cepat sambil memandang lelaki itu dari kepala hingga ke kaki. Tiada siapa akan menyangka tidak berapa lama dahulu, lelaki ini lumpuh dan hampir mati.
Sejak Jun Qing sudah mula boleh berdiri, dia telah berlatih secara rahsia. Setiap hari di tempat latihan tersembunyi ini, dia memaksa dirinya sehabis boleh,demi mendapatkan kembali masanya yang terbuang sewaktu kakinya tidak boleh bergerak dahulu.
"Pak Cik suruh kamu ke sini hari ini kerana cuaca agak baik kebelakangan ini. Eloklah kalau anak saudara Pak Cik yang cantik ini dapat menemani Pak Cik menikmati musim bunga yang indah." Jun Qing tersenyum mesra dan menghulurkan pedangnya pada Long Qi.