Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 90 - Tamparan Pertama (1)

Chapter 90 - Tamparan Pertama (1)

Ubat-ubatan di dunia ini sebenarnya sangat serupa dengan ubat-ubatan tradisional Cina di dunia Jun Wu Xie sebelum ini. Walaupun dia tidak boleh menghasilkan ubat dari negara Barat, ubat-ubatan Cina mudah sahaja baginya.

Kucing hitam kecil itu berbaring sambil menggoyangkan ekornya melihat herba-herba itu diproses satu demi satu. Kucing itu merasakan situasi ini seperti sesuatu yang biasa dilihatnya.

Selama sedekad yang lalu, bukankah ini yang dilakukan oleh Jun Wu Xie? Berkurung di dalam bilik, bekerja keras menghasilkan pelbagai jenis ubat-ubatan?

Di dalam bilik bacaan, Bai Yun Xian kelihatan dingin sambil memerhatikan Mo Xuan Fei dan Mo Qian Yuan bertikam lidah.

Menjelang senja, langit semakin gelap. Bandar Diraja diterangi sisa-sisa terakhir cahaya matahari yang menyelubungi kawasan istana dalam keindahan yang mengasyikkan.

"Berapa lama lagi Adinda harus tunggu?" Mo Xuan Fei memandang langit di luar. Perlahan-lahan kesabarannya hilang.

Sudah lebih separuh hari berlalu dan kelibat Jun Wu Xie masih lagi tidak kelihatan. Mo Xuan Fei hampir mengesyaki yang Mo Qian Yuan telah menyembunyikan gadis itu demi melindunginya.

Dia berdiri dan berniat untuk menyiasat andaiannya.

"Adinda tak sabar?" Mo Qian Yuan mengangkat keningnya sebagai tanda mengejek dan menyeringai memandang Mo Xuan Fei.

Mo Xuan Fei kini bergantung kepada latar belakang Bai Yun Xian. Tindakannya semakin berani dan melampau. Nampaknya dia sudah tidak mempedulikan status Putera Mahkota.

"Ini Kediaman Putera Mahkota di mana Kakanda berkuasa penuh dan boleh melakukan apa saja tanpa diketahui orang lain. Adinda cuma berharap Kakanda tidak menyebabkan perselisihan faham dengan Kumpulan Qing Yun demi hal yang kecil. Adinda mahu ingatkan yang Kumpulan Qing Yun tidak boleh dihina," balas Mo Xuan Fei.

"Masih angkuh walaupun bersembunyi di sebalik seorang perempuan?" Satu suara yang dingin kedengaran dari jauh. Walaupun suara itu masih belum matang, setiap patah perkataan disebut dengan jelas dan setiap butir kata-kata itu ibarat ketulan ais.

Jun Wu Xie berdiri di luar pintu sambil cahaya jingga matahari menyinari badannya. Jubah putihnya yang disinari cahaya matahari menyebabkan semuanya kelihatan seperti satu khayalan. Kucing hitam kecil di atas bahunya memberikan kontras warna yang begitu menawan. Jun Wu Xie memegang satu botol porselin kecil di tangannya. Secara keseluruhan, dia kelihatan seperti baru berjalan keluar dari sebuah mimpi.

"Wu Xie." Mo Qian Yuan berdiri dengan penuh kagum tanpa disedarinya. Di bawah cahaya senja yang indah, Jun Wu Xie kelihatan amat jelita.

Suasana ini juga turut memberikan kesan terhadap Mo Xuan Fei. Imej ini terpahat jauh ke dalam mindanya dan dia kelihatan terpegun. Bai Yun Xian menyedari reaksi Mo Xuan Fei lalu menggigit bibir bawahnya.

Jun Wu Xie berjalan masuk ke bilik itu dan meletakkan botol porselin itu di atas meja. Dia terus duduk sambil memegang kucing hitam kecil itu.

"Ini pampasan untuk kamu." Jun Wu Xie langsung tidak memandang ke arah Mo Xuan Fei sebaliknya memandang tepat pada Bai Yun Xian.

Bai Yun Xian mengerutkan keningnya.

Mo Xuan Fei masih lagi dalam keadaan asyik. Hanya selepas dia terlihat perasaan tidak puas hati pada mata Bai Yun Xian barulah dia tersedar. Dia mengeraskan hatinya dan terus bertanya, "Apa ini?"

"Pil Embun Jed" balas Jun Wu Xie.

"....." Mulut Mo Xuan Fei bergerak-gerak sedikit. Dia fikir Mo Quan Yuan secara senyap-senyap telah menghantar gadis itu keluar. Dia tidak menyangka gadis itu masih berada di sini. Jun Wu Xie juga berani mengatakan botol di atas meja itu berisi Pil Embun Jed!

"Jun Wu Xie, hebat betul dakwaan kamu! Kamu katakan benda ini Pil Embun Jed?" Sekalipun Mo Xuan Fei dipukul sehingga mati, dia tidak mungkin percaya Jun Wu Xie mampu menghasilkan pil itu.

"Bai Yun Xian sepatutnya tahu." Jun Wu Xie tidak peduli untuk menjelaskan apa-apa. Kalau kedua-dua lelaki ini memulakan pertengkaran dan membuat kecoh, berapa lama hal itu akan berlanjutan? Jun Wu Xie tidak berminat untuk membazir masa.

Mo Xuan Fei hampir mengatakan sesuatu tetapi Bai Yun Xian berdiri dan mengambil botol itu dari meja.

"Cik Jun, saya tidak kisah kucing kamu merosakkan pil saya. Tapi kini kamu masukkan entah apa-apa ke dalam botol ini dan mengatakan botol ini berisi Pil Embun Jed? Itu satu penghinaan terhadap reputasi Kumpulan Qing Yun dan saya tak akan benarkan perkara ini berlaku!" Bai Yun Xian menjeling Jun Wu Xie.