Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 888 - Jamuan di Istana (7)

Chapter 888 - Jamuan di Istana (7)

Kesakitan itu tersebar ke seluruh tubuhnya. Perasaan gerun menyelubungi Lei Fan.

Kesan ubat itu sepatutnya masih ada, kenapa ini berlaku sekarang!?

Jun Wu Xie merenung dingin pada Lei Fan yang sedang menggeliang-geliut dan melaung tanpa henti. Mata Jun Wu Xie membiaskan cahaya bulan yang dingin.

Walaupun Lei Fan cuba sedaya upaya untuk menyembunyikan wajahnya, Jun Wu Xie tetap dapat melihatnya dengan jelas. Tulang-tulang muka Lei Fan sudah mula berubah tempat dan rupa parasnya bertukar sedikit demi sedikit!

Tiba-tiba satu susuk tubuh tinggi lampai melangkah di bawah cahaya bulan dan masuk ke Taman Diraja. "Apa yang berlaku pada Putera Keempat? Pengawal! Cepat bawa Putera Keempat kembali ke istana untuk dapat rawatan!"

Ketika Jun Wu Xie terdengar suara itu, dia mendongak perlahan-lahan. Tiba-tiba dia ternampak lelaki berambut putih perak yang dilihatnya di pintu dewan jamuan tadi. Lelaki itu kini berdiri hanya dalam jarak beberapa langkah daripadanya. Apa yang membingungkan Jun Wu Xie ialah dia langsung tidak sedar ketika lelaki itu menghampiri mereka.

Lelaki berambut putih perak itu tersenyum dan mengangguk pada Jun Wu Xie. Para pengawal di luar Taman Diraja meluru masuk sebaik mendengar jeritan lelaki itu. Mereka merenung kosong pada Lei Fan yang masih berterusan melolong di atas tanah sambil menutup mukanya. Mereka tidak dapat memutuskan apa yang perlu dilakukan pada ketika itu.

"Tuan Penasihat Agung! Apa yang berlaku pada Tuanku Putera?" Salah seorang pengawal itu bertanya dengan cemas.

Penasihat Agung berkata dengan tenang, "Mungkin kedinginan musim sejuk ini menyebabkan Tuanku sakit. Cepat bawa Putera Keempat ke Istana Maharani dan mohon Maharani dapatkan Tabib Diraja untuk merawatnya."

Para pengawal itu tidak berani berlengah sedetik pun lagi. Mereka mengangkat Lei Fan dan terus beredar dari situ. Ketika Lei Fan dibantu untuk bangun, kesakitan yang menyeksakan melanda tubuhnya dengan begitu teruk sehingga dia hampir rebah. Namun tangannya tetap menutup wajahnya, langsung tidak membenarkan sesiapa melihat wajahnya.

Ketika sedang diusung pergi, mata Lei Fan yang disembunyikan di sebalik tangannya merenung kejam pada Jun Xie.

[Dia dah nampak!]

[Pasti dia dah nampak!]

Selepas Lei Fan diusung pergi, Penasihat Agung itu mengeluh dan berpaling untuk berkata pada Jun Wu Xie yang berdiri tenang di sisinya. "Cuaca begitu dingin waktu malam begini. Tuan Muda Jun tak patut keluar."

Jun Wu Xie sedang meneliti lelaki berambut putih perak yang berdiri di hadapannya. Daripada cara para pengawal tadi menyapa lelaki itu, Jun Wu Xie tahu identitinya. Dia ialah Penasihat Agung Negara Yan, Wen Yu.

Dia juga merupakan seorang lelaki yang amat tampan dan dikenali sebagai lelaki paling menawan di seluruh Negara Yan.

Jun Wu Xie sudah biasa melihat wajah Jun Wu Yao yang sempurna dan tiada tandingan. Namun boleh dikatakan rupa paras Wen Yu tidak akan mampu dibandingkan dengan orang biasa. Dia hanya sedikit kurang tampan sahaja berbanding Jun Wu Yao.

"Mana mungkin orang bertaraf rendah macam saya ni menolak jemputan Maharaja?" balas Jun Wu Xie dengan perlahan. Pada ketika ini, Wen Yu sepatutnya sudah berada di jamuan itu. Jadi kenapa dia tiba-tiba muncul di sini? Kebetulan sungguh!

"Betul juga tu." kata Wen Yu sambil ketawa perlahan. Matanya memandang Jun Xie dengan lembut tetapi apabila terlihat cincin di jari Jun Xie, wajahnya kelihatan sedikit terkejut.

"Penasihat Agung nampaknya berminat betul dengan cincin saya ni, ya?" Jun Wu Xie perasan riak aneh yang terpancar sekilas pada wajah Wen Yu. Reaksi itu agak menarik minatnya. Maharaja turut terkesan dengan cincin itu. Kini setelah Wen Yu melihat cincin itu, dia juga memberikan reaksi yang sama.

Wen Yu menyembunyikan perasaan terkejut yang dapat dilihat di matanya. Dia mendongak lalu memandang Jun Xie dan berkata, "Memandangkan Tuan Muda Jun tak berminat dengan jamuan di istana tu, pulanglah awal. Kejohanan Pertempuran Roh dah berakhir. Sudah tiba masanya orang-orang dari pelbagai akademi berbeza itu meninggalkan Ibu Negeri Diraja. Saya rasa dah lama Tuan Muda Jun berpisah dengan keluarga. Kalau kamu pulang awal, kamu pun boleh berjumpa kembali dengan keluarga kamu."

Kata-kata Wen Yu tidak begitu jelas, tetapi di sebalik kata-kata tersebut, dia menyuruh Jun Xie pergi dari situ secepat mungkin!

Inilah kali pertama Jun Wu Xie bertemu dengan Wen Yu. Mereka tidak pernah berinteraksi dengan satu sama lain sebelum ini. Mengapa Wen Yu tiba-tiba berkata begitu padanya?