Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 88 - Ini Cuma Pil Ubat (2)

Chapter 88 - Ini Cuma Pil Ubat (2)

"Kenapa Kakanda?" cemuh Mo Xuan sambil memandang Mo Qian Yuan yang kelihatan pucat.

"Angin Jun Wu Xie memang begini sejak dulu lagi. Dia memang tak sedar diri. Kakanda tak tahukah? Mana mungkin pil dari Kumpulan Qing Yun dapat ditiru dengan mudah? Seingat-ingat Adinda, Jun Wu Xie tidak pernah belajar ilmu perubatan sebelum ini. Satu-satunya sebab dia bertindak begini ialah kerana dia tak mahu memperbodohkan dirinya di hadapan Kakanda."

Sewaktu Jun Wu Xie bertanyakan tentang bilik relau, Mo Xuan Fei ketawa. Walaupun dia tidak menyukai gadis itu, hakikatnya mereka pernah bertunang, sekalipun pertunangan itu dilangsungkan akibat tekanan daripada Istana Lin. Antara perkara yang dipelajarinya sepanjang tempoh pertunangan mereka ialah untuk bersabar dengan kerenah gadis itu. Dia juga cukup mengenali perangai sebenar Jun Wu Xie.

Jun Wu Xie hanyalah gadis angkuh yang cantik. Kalau dia tidak dilahirkan di Istana Lin, siapa tahu berapa kali dia akan berdepan dengan kematian akibat perangainya itu?

Membuat pil? Sungguh tak masuk akal.

Siapa yang tidak tahu Cik Muda Istana Lin hanya tahu membuat masalah dan langsung tidak berbakat dalam hal-hal lain.

Hari ini juga dia mahu membuat pil sendiri sebagai pampasan kepada Bai Yun Xian. Bukankah ini sangat memalukan?

Dari perspektif Mo Xuan Fei, tindakan melampau ini hanyalah sesuatu yang Jun Wu Xie akan lakukan untuk menjaga air mukanya di hadapan orang yang disukainya. Dia sering berlebih-lebihan hanya untuk nampak mengagumkan tetapi tindakannya selalu membawa kesan buruk pada dirinya. Dia sentiasa mahu bersaing dengan orang lain walaupun tidak berkemampuan melakukannya.

Apabila Mo Xuan Fei tiba-tiba terfikirkan siapa orang 'kesayangan' Jun Wu Xie sekarang, wajahnya semakin muram.

"Adinda tak perlu beritahu Kakanda tentang sikap sebenar Jun Wu Xie." Mo Qian Yuan membalas dengan dingin. Dia sedar yang orang lain menganggap dia dan Jun Wu Xie sedang menjalinkan hubungan walaupun hakikatnya mereka hanya menjadi sekutu.

Dia tahu Jun Wu Xie ada kebolehan.

Namun begitu, lawannya ini anak murid Pemerintah Kumpulan Qing Yun Clan. Tambahan pula, resipi ubat ini merupakan resipi rahsia yang orang lain tidak dapat miliki.

Jun Wu Xie tidak pernah menyentuh Pil Embun Jed sekalipun, bagaimana dia boleh menghasilkannya?

"Kalau Kakanda risau, bunuh saja kucing hitam itu dan segala-galanya akan selesai. Sekiranya Jun Wu Xie enggan menerimanya, gantikan dengan kucing lain. Kita tak boleh biarkan orang kata Keluarga Diraja tidak mempedulikan Kumpulan Qing Yun." Mo Xuan Fei ketawa kecil tetapi matanya ada sinar berbahaya. Dia mahu Jun Wu Xie tahu yang Mo Qian Yuan bukanlah pilihan yang baik. Walaupun Mo Xuan Fei tidak mahukan gadis itu, hubungan di antara Jun Wu Xie dan Mo Qian Yuan ialah sesuatu yang mustahil.

Seorang putera raja yang tidak mampu melindungi orang yang disayanginya serta apa yang penting pada orang itu, hanyalah lelaki yang tidak berguna.

Mo Qian Yuan menjeling Mo Xuan Fei. Nampaknya setelah masuk ke Kediaman Putera Mahkota bersama Bai Yun Xian, adab sopannya semakin hilang dan tindakannya menjadi semakin berani.

Si dungu ini fikir dia boleh merosakkan hubungan Mo Qian Yuan dan Jun Wu Xie? Dia benar-benar bodoh.

Mo Qian Yuan masih ingat lagi ketakutan yang dirasainya pada malam itu sewaktu bayang yang besar itu menerkamnya. Tidak mungkin dia akan melakukan kesilapan yang sama lagi dengan memandang rendah pada kucing hitam kecil itu.

Mo Qian Yuan tahu jika Mo Xuan Fei terus berperangai seperti sekarang, besar kemungkinan dia sedang menempah maut. Dia akan mengalami sendiri bayang hitam itu menerkamnya dan menggigit lehernya.

Di kawasan lain dalam kediaman Putera Mahkota,Jun Wu Xie mengikut hamba suruhan itu ke bilik relau. Seperti yang dikatakan oleh Mo Qian Yuan sebentar tadi, walaupun bilik itu bersih, jelas sekali yang bilik itu sudah lama tidak digunakan. Ini kerana bahagian bawah relau itu tidak ada sisa kotoran.

"Pen dan kertas." Jun Wu Xie meminta barang-barang ini daripada hamba suruhan yang berdiri di sebelahnya.

Sebaik dia mendapat alat tulis yang diminta, dia terus menulis satu senarai herba yang diperlukannya dan menyerahkan kertas itu semula.

Hamba suruhan itu terus mengambil senarai yang ditulis oleh Jun Wu Xie dan membacanya.

"Bawa herba-herba dalam senarai ini ke sini."