Wajah Lei Fan tiba-tiba dipenuhi kekejaman. Di bawah cahaya lilin malap di penjara itu, wajah yang tampan itu kelihatan menggerunkan. Lei Fan perlahan-lahan berundur. Bayang-bayangnya seolah-olah berbaur dalam keadaan separa gelap itu. Mata Lei Fan merenung tajam pada Jun Xie, bersinar dengan kebencian di sebalik kekelaman cahaya.
"Kalau kamu tak mahu percaya pada Beta sekarang, Beta tak akan salahkan kamu. Beta cuma berharap kamu fikir masak-masak dengan cepat. Dalam masa dua hari lagi, orang-orang dari Bandar Seribu Binatang akan sampai ke sini. Kalau kamu tunggu sehingga mereka sampai, semuanya sudah terlewat. Beta minta diri dulu. Kamu fikir betul-betul. Tawaran Beta akan tetap kekal." Selepas berkata begitu, Lei Fan mengambil keputusan untuk tidak terus berdegil lalu cepat-cepat meninggalkan penjara.
Sebaik melangkah keluar dari penjara, pengawal yang menunggu di luar itu terus mendapatkannya. Lei Fan tiba-tiba mengangkat kaki lalu menendang pengawal itu sehingga rebah ke tanah!
"Budak bedebah tu tak tahu diuntung! Dia ingat dia hebat sangat!" Suara Lei Fan kedengaran begitu berbisa dan matanya penuh dengan niat jahat.
"Jun Xie, Beta tak tahu ada si bedebah yang tak tahu mengambil peluang. Dah terdesak pun masih lagi berani tolak tawaran Beta. Nampaknya Beta dah biarkan kamu senang-lenang sangat dalam penjara," Lei Fan memaki sambil mengetap gigi. Dia berpaling pada pengawal yang baru bangun dari tanah.
"Suruh pegawai penjara jaga Tuan Muda Jun baik-baik. Dah lama peralatan seksaan dalam penjara tu tak digunakan. Jangan simpan sampai berkarat."
Pengawal itu menggigil. Dia terus berlari masuk untuk menyampaikan arahan Lei Fan.
Lei Fan masuk ke dalam kereta kudanya. Sinar dingin muncul di matanya.
"Kamu tolak wain yang ditawarkan dan anggapnya macam hukuman! Beta akan tunggu dan lihat sama ada keangkuhan kamu tu mampu tak bertahan dengan seksaan di penjara. Akan tiba harinya nanti Beta buat kamu merayu-rayu!"
…..
Selepas Lei Fan berlalu pergi, Jun Wu Xie duduk sendirian di dalam bilik penjaranya. Seekor kucing hitam kecil melompat masuk ke dalam penjara yang malap itu tanpa disedari sesiapa. Serentak dengan saat ketika Lei Fan melangkah keluar dari situ tadi, Hitam Kecil turut melompat ke luar.
"Meow~"
[Cik, habislah. Putera Keempat yang berhati hitam tu dah arahkan pegawai penjara di sini untuk "hiburkan" Cik. Saya rasa mesti esok Cik akan dapat rasakan seksaan yang ada dalam penjara ni.]
Kening Jun Wu Xie terangkat tapi dia langsung tidak bimbang.
"Dia cuma nak paksa saya tunduk. Nak apa-apakan saya? Tengoklah dulu mampu atau tak." Jun Wu Xie menguntum senyuman menggerunkan. Walaupun sudah dicampak dalam penjara, dia bukan seseorang yang akan tunduk dengan manipulasi orang sesiapa pun.
"Meow?"
[Saya cuma nak tanya, bila Cik nak mula bertindak?]
"Tak payah terburu-buru. Ada ubi ada batas. Memandangkan mereka dah jaga saya dengan baik, pastilah saya akan membalasnya," kata Jun Wu Xie tanpa perasaan. Dia menghulurkan tangan untuk mengambil Hitam Kecil lalu memeluk kucing itu sambil membelai-belai bulunya yang lembut.
"Meow?"
[Balasan?]
Jun Wu Xie menjawab dengan suara yang perlahan, "Bukankah orang-orang dari Bandar Seribu Binatang akan tiba nanti?"
"Meow."
[Betul.]
"Bandar Seribu Binatang tu mungkin tidak sekuat Kerajaan Yan yang merupakan negara terbesar. Tetapi mereka memang benci dengan Negara Yan. Negara besar seperti Negara Yan ni pun tak mudah dapat menahan seksaan yang Bandar Seribu Binatang mampu berikan." Renungan mata Jun Wu Xie ditundukkan. Matanya menyembunyikan pelbagai perkara yang ligat difikirkannya.
Sekarang ni masih awal lagi. Jun Wu Xie masih ada masa untuk perlahan-lahan bermain-main dengan Putera Keempat dan Maharaja.
Dia hanya berharap mereka mampu bertahan lama sedikit. Kalau tidak, membazirlah usahanya mengaturkan persembahan yang bagus untuk mereka.