Jun Wu Xie tiba-tiba mengangkat kepala dan merenung tepat pada Hua Yao yang ketika itu masih khusyuk berfikir.
"Abang Hua, pertempuran kamu semua dah tamat?"
Hua Yao mengangguk. Selain insiden tidak diduga di daerah pertempuran pertama hari ini, daerah pertempuran lain sudah selesai menjalankan perlawanan. Pemenang dari sembilan daerah pertempuran itu sudah ditentukan. Hua Yao dan yang lain dengan mudahnya mendapat lima daripada sepuluh tempat teratas.
"Berapa lama lagi sebelum berlangsungnya perlawanan untuk menentukan kedudukan sepuluh teratas?" tanya Jun Wu Xie lagi.
"Lima hari lagi," kata Hua Yao.
"Lima hari…" Jun Wu Xie menundukkan kepala, kemudian terus berdiri. Dia berjalan menuju pintu bilik penjaranya dan mengeluarkan satu jarum perak dari bawah rambutnya. Jun Wu Xie menghulurkan tangannya ke luar pintu dan menggodek-godek pin itu ke dalam lubang kunci.
Kedengaran satu bunyi klik dan pintu bilik penjara itu terbuka.
Qiao Chu dan yang lain berdiri di luar bilik penjara itu dengan mulut ternganga. Mereka kagum dan terkejut dengan kemahiran Jun Wu Xie.
"Adik Xie… bila kamu belajar kemahiran tu?" tanya Qiao Chu sambil menelan air liur. Mereka semua sudah bersedia mahu memecahkan mangga untuk membuka pintu dan Jun Wu Xie dengan begitu tenang telah membukanya dengan hanya menggunakan sebilah jarum perak yang kecil.
"Saya belajar daripada kawan," kata Jun Wu Xie sambil menyembunyikan kembali pin itu di bawah rambutnya. Dia telah mempelajari kemahiran itu daripada seseorang . Kemahiran tersebut membolehkan dia keluar masuk sesuka hati sewaktu dia berada di dalam organisasi itu. Jun Wu Xie tidak sangka selepas dia dilahirkan di dunia ini, dia dapat menggunakan kemahiran itu dengan sebaiknya.
"Hebatnya!" kata Qiao Chu.
Jun Wu Xie tidak begitu ambil peduli dan berkata, "Saya tak hebat sangat pun. Kalau dia, tak sampai tiga saat…" Suara Jun Wu Xie semakin perlahan. Dia memendamkan perasaan yang membuak-buak di dalam hatinya lalu berjalan keluar dari bilik penjara tersebut.
"Saya ingatkan kamu tak mahu keluar dari sini," kata Rong Ruo, mengusik Jun Wu Xie.
"Saya tak keluar," balas Jun Wu Xie lalu membuatkan mereka semua keliru. Dia berpaling memandang Hua Yao, "Abang Hua, duduk sini gantikan saya."
"….." Hua Yao tergamam kerana terkejut. Lama kemudian barulah dia faham apa yang Jun Wu Xie katakan.
"Saya perlu keluar pada waktu siang. Abang Hua akan berada di sini untuk gantikan tempat saya. Waktu malam saya akan kembali ke sini." Jun Wu Xie tidak mahu pergi begitu sahaja. Memandangkan ada orang yang mahu dia dipenjarakan, mana mungkin dia akan membiarkan mereka berbuat sesuka hati?
"Apa yang kamu nak buat?" tanya Qiao Chu.
"Berkenaan apa yang sebenarnya berlaku, hanya Qu Ling Yue seorang saja yang tahu. Sebaik dia sedar semula, kebenaran akan didedahkan dan mereka tak akan ada sebab untuk terus memenjarakan saya," kata Jun Wu Xie sambil tersenyum.
[Memandangkan mereka mahu bermain-main dengannya, dia akan memberikan yang terbaik.]
Setelah memahami maksud kata-kata Jun Wu Xie, Hua Yao tidak bertanya lebih lanjut. Dia terus mengubah tulang-temulangnya dan bertukar rupa menjadi seperti Jun Xie.
Personaliti Hua Yao agak sama dingin dan tidak mesra seperti Jun Wu Xie. Apabila dia meniru riak wajah dan perwatakan Jun Wu Xie, sukar untuk membezakan mereka ketika mereka berdiri sebelah-menyebelah.
"Kamu nak keluar sekarang ke esok?" tanya Hua Yao dengan suara yang mirip siara Jun Wu Xie.
Jun Wu Xie menjawab, "Malam ni."
Hua Yao mengangguk dan berjalan masuk ke dalam bilik penjara tanpa teragak-agak. Malah dia mengunci mangga pintu itu kembali sewaktu berjalan masuk. Memandangkan mereka berdua sudah mengenakan pakaian seragam Akademi Zephyr, tak perlulah mereka menyalin pakaian.
Ketika malam masih gelap dan sunyi, Jun Wu Xie diam-diam menyelinap keluar dari penjara itu bersama-sama Qiao Chu dan yang lain. Dua pengawal penjara di pintu utama itu sedang tidur berdengkur dan langsung tidak sedar banduan yang mereka penjarakan telah pun bertukar tempat.
Sejurus selepas melangkah keluar, Jun Wu Xie memanggil Ye Sha.
"Pergi ke Istana Diraja," kata Jun Wu Xie kepadanya.
Ye Sha mengangguk. Susuk tubuhnya yang tinggi lampai itu terus lenyap ditelan kegelapan malam.