Malam menjelang tiba dan bangunan penjara itu sunyi sepi. Jun Wu Xie duduk bersendirian di dalam bilik penjaranya tanpa berasa kecewa atau tidak puas hati. Dia hanya duduk dengan diam, sama seperti jika dia berada di dalam biliknya sendiri. Para pegawai penjara telah datang memeriksanya sebanyak dua kali. Mereka tak pernah lihat seseorang yang dimasukkan ke dalam penjara masih dapat kekal tenang. Sikap acuh tak acuh ini membuatkan orang lupa tentang usianya yang masih muda. Tetapi memandangkan budak itu tidak menimbulkan masalah, para pegawai penjara itu juga tidak berkata apa-apa.
Malam semakin lewat dan para pegawai penjara itu tidak mampu lagi menahan mengantuk. Beberapa susuk tubuh diam-diam menyelinap ke dalam penjara itu.
"Oh… kamu terpenjara di sini ya. Nampaknya macam duduk santai saja tu?" kata Qiao Chu sambil memandang Jun Wu Xie dengan riak wajah jengkel. Mereka menerima berita tersebut tidak lama selepas Jun Wu Xie ditahan. Orang yang menyampaikan berita itu adalah salah seorang pengawal dari Kediaman Putera Mahkota. Walaupun Lei Chen tidak datang sendiri, dia telah memberitahu mereka tentang berita tersebut.
Jun Wu Xie mendongak dengan santai dan merenung orang-orang yang berdiri di luar bilik penjaranya.
Hua Yao, Qiao Chu, Fei Yan, Rong Ruo… malah Fan Zhuo juga turut mengikut mereka ke situ.
"Kamu semua dah sampai," kata Jun Wu Xie dengan tenang. Dia langsung tidak terkejut dengan kemunculan mereka.
"Kalau kami tak datang, kamu nak duduk sini selama-lamanyakah?" tanya Qiao Chu sambil mengangkat kening. Matanya terpandang mangga kunci di pintu bilik penjara itu lalu dia berkata, "Adik Yan, terpaksalah kita bergantung pada kebolehan kamu."
Fei Yan menjeling Qiao Chu dan berkata dengan nada menyampah, "Kalau kamu tak panggil saya dengan gelaran Adik Yan tu, saya rasa saya lebih sanggup membantu."
Qiao Chu mengangkat bahu. Fei Yan terus menghulurkan tangan dan meletakkannya ke atas mangga kunci tersebut. Dia mengumpulkan kuasa rohani pada tangannya dan bersiap sedia untuk memecahkan mangga itu.
"Saya tak berniat nak keluar pun," kata Jun Wu Xie sambil memandang rakan-rakannya yang semuanya sedang bersedia untuk membantu dia melarikan diri dari penjara. Walaupun dia gembira mereka datang, dia tidak berniat untuk meninggalkan tempat itu buat masa ini.
"Apa?" Qiao Chu terkejut. Fei Yan yang telah mengumpulkan sejumlah kuasa rohani ke tangannya terus menyingkirkan kuasa tersebut setelah mendengar kata-kata Jun Wu Xie.
"Adik Xie, mereka seksa kamukah?" tanya Qiao Chu dengan gelisah. Dia cepat-cepat meneliti keadaan Jun Wu Xie daripada kepala sehingga ke kaki. Setelah memastikan Jun Wu Xie tidak cedera, barulah dia mengeluh lega.
"Kepala kamu tak terhantuk pun, jadi kenapa cakap benda yang tak logik? Jangan kata tempat ini lebih selesa dari Lof Dewa!?"
Jun Wu Xie membuat muka menyampah pada Qiao Chu.
"Macam mana keadaan Qu Ling Yue?" tanya Jun Wu Xie.
"Saya pergi melawat dia dan keadaannya tidak begitu bagus. Pada ketika ini, semua tabib di seluruh Ibu Negara Diraja telah pergi ke rumah tumpangan Panji Perang. Malah Tabib Diraja juga telah dikerah. Namun begitu, Qu Ling Yue masih lagi berada dalam koma dan kecederaannya serius. Dalam keadaan koma pun dia masih lagi memuntahkan darah," kata Fei Yan sambil menggosok-gosok dagunya. Dia telah pergi senyap-senyap ke rumah tumpangan Akademi Panji Perang untuk mengetahui situasi di sana dan terlihat Qu Ling Yue terbaring kaku di katil dengan wajah yang pucat.
"Adik Xie memang berdendam dengan Qu Ling Yue? Ganas betul kamu dengan dia. Kalau tak kerana eliksir penyambung nyawa yang Akademi Panji Perang berikan padanya, pasti dia dah mati sekarang," kata Qiao Chu sambil memandang Jun Wu Xie dengan muram. Qiao Chu langsung tidak ragu-ragu dengan kekejaman Jun Wu Xie terhadap musuhnya.
"Kamu pun rasa saya yang lakukannya?" tanya Jun Wu Xie sambil mengangkat kening.
Qiao Chu menjadi kaku kerana terkejut lalu bertanya dengan teragak-agak, "Kamu tak lakukannya?"
Jun Wu Xie tidak membalas.
Sebenarnya, dia tidak patut menyalahkan Qiao Chu kerana beranggapan begitu. Dalam dua misi bersama-sama Qiao Chu sebelum ini, Jun Wu Xie amat ganas dan tidak berbelas kasihan. Jadi tentulah Qiao Chu dan yang lain menganggap...