Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 826 - Maaf, Ini Giliran Saya (1)

Chapter 826 - Maaf, Ini Giliran Saya (1)

Perlawanan belum lagi bermula dan Jun Wu Xie sudah pun menjadi tumpuan semua orang. Setiap pasang mata tertumpu ke arahnya tetapi dia masih berjalan perlahan-lahan dengan rentaknya sendiri, untuk masuk ke dalam arena. Renungan tajam yang dilemparkan padanya dari semua arah seolah-olah langsung tidak memberi kesan kepadanya.

"Sesetengah orang dilahirkan bertuah. Walaupun mereka tak buat apa-apa dan tak tahu apa-apa, sentiasa ada seseorang yang akan membuka jalan untuk mereka. Tak macam kita yang terpaksa berjuang tanpa kenal penat lelah dan merisikokan nyawa kita. Itu pun belum tentu kita dapat mencapai apa yang sesetengah orang itu dapat capai hanya dengan menggunakan beberapa patah perkataan." Nada mereka dipenuhi perasaan cemburu yang tidak berpenghujung. Para pemuda ini berbisik-bisik dengan kuat sambil merenung Jun Wu Xie. Suara mereka cukup kuat sehinggakan orang lain di sekeliling mereka dapat mendengar dengan sangat jelas. Kebanyakan orang yang mendengar kata-kata itu bersetuju dengan mereka dan berasa amat iri hati dengan "nasib baik" Jun Xie yang sukar dipercayai.

Walaupun kata-kata mereka agak berduri, tetapi mereka tidak berani untuk sampai didengari Jun Xie. Lagipun, kes murid yang mati dibunuh itu dikaitkan dengan Jun Xie. Mereka semua juga takut akan kuasa dan kedudukan Lei Chen, tetapi ketakutan itu hanya membuatkan hasad dengki mereka semakin membara.

Kejohanan akhirnya bermula selepas itu. Bermula dari perlawanan pertama lagi, bunyi pertempuran yang datang dari pentas pertempuran itu tidak henti-henti kedengaran. Para pemuda itu semuanya berjuang untuk mempamerkan kehebatan mereka yang terbaik, dengan harapan dapat mencapai kedudukan yang bagus dalam kejohanan itu.

"Cik Qu tak rasa budak tak guna tu melampaukah? Dia terang-terang telah melakukan perbuatan keji tapi masih tak tahu malu untuk terus datang ke sini." Seorang pemuda yang sudah mengenali pelajar Akademi Panji Perang menyelinap untuk berdiri di sebelah Qu Ling Yue. Dia kelihatan sangat marah.

Para peserta di daerah pertempuran pertama telah melalui beberapa pusingan pertempuran yang huru-hara. Sewaktu berlangsungnya pusingan-pusingan pertempuran ini, beberapa orang peserta telah menunjukkan kehebatan kekuatan dan kemahiran mereka. Salah seorang daripadanya adalah Qu Ling Yue dari Akademi Panji Perang. Dia diakui sebagai pahlawan yang paling hebat dalam kalangan semua belia di daerah pertempuran pertama. Qu Ling Yue bukan sahaja murid terhebat di Akademi Panji Perang tetapi dia juga merupakan Cik Muda Bandar Seribu Binatang. Ini menjadikan status dan kedudukannya hanya dapat dibandingkan dengan segelintir orang sahaja.

Sudah tentulah Qu Ling Yue telah menjadi peserta pilihan paling hangat untuk menang di daerah pertempuran pertama. Walau bagaimanapun, selain Qu Ling Yue, daerah pertempuran pertama masih mempunyai satu lagi individu yang mempunyai peluang untuk mara ke senarai sepuluh terbaik. Orang itu ialah Jun Xie. Tetapi perasaan semua orang terhadap peluang kemaraan Jun Xie amat berbeza... Mereka langsung tidak meletakkan harapan padanya.

Qu Ling Yue menjeling sekilas pada pemuda itu tetapi tidak berkata apa-apa.

Pemuda itu tidak berputus asa cuba untuk memulakan perbualan dengan Qu Ling Yue. "Secara teknikalnya, perkara seperti ini biasanya dianggap sebagai menyalahi undang-undang. Dengan adanya orang seperti dia di sini, peraturan Kejohanan Pertempuran Roh telah dilanggar. Tetapi saya benar-benar percaya bahawa Cik Qu tak akan membenarkan orang yang berperangai buruk seperti itu untuk meneruskan kelakuan mereka. Saya betul-betul harap Cik Qu akan mengajar orang seperti ini."

Boleh dikatakan bahawa di seluruh daerah pertempuran pertama, selain Qu Ling Yue, tidak ada orang lain yang mampu melawan kekuasaan Putera Mahkota. Dalam diam, semua orang inginkan Jun Xie bertemu dengan Qu Ling Yue dalam pertempuran secepat mungkin. Mereka berharap Qu Ling Yue dapat mengalahkan Jun Xie dan mereka semua akan berasa senang hati.

Qu Ling Yue mengklik lidahnya, tidak mahu berkata apa-apa kepada pemuda itu. Dia berasa agak bingung pada ketika ini. Dia mengalihkan kakinya jauh sedikit tetapi tanpa sedar, penglihatannya terkunci pada Jun Xie. Mata Qu Ling Yue diwarnai perasaan ingin tahu dan bimbang.

Perlawanan tamat satu demi satu dan giliran Jun Wu Xie akan tiba tidak lama lagi. Tiada siapa dalam kalangan penonton yang percaya bahawa Jun Xie benar-benar akan melangkah ke pentas dan bertempur. Mata para hadirin memerhatikan seluruh arena beberapa kali tetapi tidak dapat melihat kelibat Zhao Xun. Tidak lama kemudian, mata mereka segera bersinar dengan penuh hinaan dan kejian.

[Seperti yang dijangka, hal ini berlaku sekali lagi!]

Mata Jun Wu Xie memandang ke bawah dan hujung mulutnya bergerak sedikit, seolah-olah dia sedang meramalkan sesuatu. Apabila mendengar namanya dipanggil, Jun Wu Xie memandang ke atas dan berjalan naik ke tengah-tengah pentas pertempuran.