Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 82 - Manik Kayu Berukir (3)

Chapter 82 - Manik Kayu Berukir (3)

Dengan menggunakan Manik Kayu Berukir itu, Teratai Kecil boleh bertapa sendiri. Jun Wu Xie mahu membantu dia mendapatkan persekitaran yang lebih baik untuk berlatih. Memandangkan roh berkontrak jenis seperti Teratai Kecil mendapatkan sumber tenaga daripada tumbuh-tumbuhan, Jun Wu Xie memenuhkan lamannya dengan pelbagai jenis bunga-bungaan.

Teratai Kecil memegang Manik Kayu Berukir sewaktu dia melangkah masuk ke tasik teratai. Di kalangan bunga teratai merah jambu yang cantik, terdapat satu teratai putih yang kelihatan suci.

Sebab itulah roh berkontrak jenis tumbuh-tumbuhan ini mudah dijaga. Cuma perlu tanamkan di mana-mana kawasan yang sesuai!

Teratai Kecil memerlukan masa untuk bertapa sendiri dan kini tidak lagi boleh berada di sisi Jun Wu Xie sepanjang masa. Tetapi Jun Wu Xie tidak mempedulikan hal itu kerana ketika ini dia sibuk menjaga biji benih teratai di dalam biliknya.

Dalam masa satu malam sahaja, Nektar Jed yang dituang penuh ke dalam besen berbentuk teratai itu sudah berkurangan separuh. Biji benih teratai itu pula sudah menunjukkan tanda-tanda bercambah.

Cepat betul teratai ini tumbuh!

Walaupun Jun Wu Xie sudah mengumpulkan sedikit tenaga rohani, dia tidak tercapai kadar penyerapan Nektar Jed oleh biji benih itu yang terlalu cepat. Kalau keadaan ini berterusan, dalam masa dua hari lagi Nektar Jed akan habis dan dia perlu kembali ke istana untuk mendapatkan bekalan.

Terdengar satu ketukan di pintu dan Jun Wu Xie berpusing lalu berkata, "Masuk."

Dia menunggu dengan lama tetapi tiada siapa yang masuk. Jun Wu Xie berjalan ke pintu dan membukanya. Tiada siapa berada di situ tetapi terdapat satu balang yang cantik berada di atas lantai berdekatan pintu.

Jun Wu Xie membuka tutup balang itu dan satu haruman yang mengasyikkan memenuhi bilik itu sehingga meneggelamkan haruman Nektar Jed.

Haruman dari balang ini lebih kuat daripada haruman Nektar Jed.

"....." Jun Wu Xie tidak perlu memikirkan dari mana datangnya balang ini.

Dia memegang balang itu dan meninggalkan biliknya. Terdengar satu suara ketawa dan Jun Wu Yao tersenyum sambil memerhatikan Jun Wu Xie.

Di dalam bilik bacaannya, Jun Qing sedang menulis sesuatu dan Long Qi berdiri dengan senyap di sebelahnya.

Sebaik Jun Wu Xie memasuki bilik itu, wajah Jun Qing menjadi berseri-seri.

"Wu Xie."

"Pak Cik, wain dalam balang ini untuk kamu." Dia meletakkan balang itu di atas meja.

"Nektar Jed?" Jun Qing tersenyum. Cerita Jun Wu Xie mendapat Nektar Jed dari Mo Qian Yuan sudah sampai ke telinganya.

"Bukan"

"Bolehkah Pak Cik minum wain sekarang? Tak ada kesan buruk pada badan Pak Cik?" Jun Qing tidak mahu bertanya lebih lanjut berkenaan wain itu.

"Tak mengapa kalau minum beberapa cawan kecil sahaja. Kualiti wain ini boleh tahan juga." Jun Wu Xie tidak berminat dengan wain. Nektar Jed itu hanya digunakan khas untuk menanam teratai.

Wain ini bagus, tapi tak boleh membantunya 'berkebun', jadi Jun Wu Xie anggap wain ini tidak berguna.

"Baiknya kamu. Terima kasih." Jun Qing tersengih.

Jun Wu Xie mengangguk dan meninggalkan bilik bacaan itu. Long Qi tunduk hormat sambil memerhatikan Jun Wu Xie berjalan keluar.

Satu susuk tubuh yang tinggi memerhatikan semua yang berlaku di dalam bilik bacaan itu melalui tingkap. Dia juga nampak Jun Wu Xie menghadiahkan Jun Qing wain yang diberikannya. Senyumannya yang tampan semakin melebar. Dia pasti lebih marah sekiranya Jun Wu Xie menuang wain yang diberinya itu ke dalam besen teratai.

Gadis ini tidak minum wain tetapi menggunakannya untuk menanam biji benih teratai. Menarik.

Kalau Nektar Jed itu hanya digunakan untuk menanam bunga, lelaki ini tidak kisah.

Bulan Jed lebih bagus daripada Nektar Jed. Dia tidak marah Jun Wu Xie memberikan Bulan Jed kepada orang lain. Jun Wu Xie mengatakan kualiti wain yang diberinya itu "boleh tahan juga". Itu sudah cukup membuatkan dia gembira.

Menghadiahkan wain itu untuk orang lain dan bukannya untuk menanam bunga. Itu maksudnya gred wain yang diberinya itu jauh lebih tinggi, bukan?

Dua hari kemudian, Jun Wu Xie sekali lagi pergi ke Istana untuk melawat Putera Mahkota. Dia pulang membawa sebekas lagi Nektar Jed.

Nektar Jed milik Putera Mahkota itu terlalu bernilai dan tidak boleh dibeli. Wain ini sentiasa diberikan kepada Jun Wu Xie setiap kali dia berkunjung ke istana. Pulang dari bertemu dengan Putera Mahkota sahaja Jun Wu Xie akan mendapat sebekas Nektar Jed.

Melihatkan perkara ini kerap berlaku, semua orang menganggap mereka berdua ada menjalin hubungan.

Semakin lama perkara ini diperkatakan, semakin banyak cerita yang timbul. Ramai orang menganggap perkara ini sangat melucukan. Masih segar dalam ingatan Mo Xuan Fei dia ditegur secara sinis oleh Mo Qian Yuan sewaktu jamuan hari lahir tempoh hari. Mo Xuan Fei asyik memikirkan hal ini.

Satu hari, sewaktu Jun Wu Xie sedang bertemu dengan Mo Qian Yuan, Mo Xuan Fei datang ke kediaman kakandanya bersama-sama dengan Bai Yun Xian.