Mereka belum pernah dengar lagi ada orang dapat mara melalui "jalan belakang" di Kejohanan Pertempuran Roh.
Zhao Xun keihatan tidak kisah. Dia minum wain sambil berkata dengan bersahaja, "Kamu fikir menarik diri daripada kejohanan ini akan memusnahkan kamu? Satu kata janji daripada Putera Mahkota lebih bernilai berbanding kita usaha gigih kita dalam kejohanan ini. Bagi orang seperti kita yang menyertai kejohanan itu, kita tak akan dapat capai sepuluh kedudukan tertinggi pun. Tapi kita masih di sini, berharap untuk mendapatkan masa depan yang lebih baik. Kalau kita masih dijanjikan benda yang sama, apa salahnya saya menarik diri?"
Para pemuda ini saling berpandangan. Mereka dapat mengesan ada sesuatu yang tidak kena berdasarkan kata-kata Zhao Xun tadi.
Walau bagaimanapun, Zhao Xun bersikap seolah-olah dia tidak sedar kata-katanya tadi kedengaran aneh. Dia meneruskan, "Kamu ingat lagi tak sewaktu kita berada di jamuan yang diadakan sebelum kejohanan bermula? Betapa megah dan mewahnya jamuan itu? Sepanjang hidup ini, kita biasanya tak akan dibenarkan pun untuk menjejak kaki ke tempat seperti itu. Saya tak akan lepaskan peluang sebegini. Menarik diri daripada kejohanan seperti ini bukannya hal yang besar pun…"
Selepas selesai bercakap, dia tersenyum lebar dan minum beberapa cawan wain lagi dengan gembira.
Beberapa orang pemuda yang duduk di meja yang sama dengan Zho Xun merasakan kata-kata itu agak pelik. Mereka saling berpandangan secara senyap-senyap, tetapi tidak mahu berkata apa-apa lagi di hadapan Zhao Xun.
"Baiklah! Saya perlu balik! Erp… Semoga berjaya dalam perlawanan esok! Saya tak akan sertai kamu." Zhao Xun yang sudah sedikit mabuk itu berdiri dengan terhuyung-hayang dan meninggalkan restoran. Baru saja dia melangkah keluar, para pemuda di meja itu terus berhimpit-himpit dan berbisik-bisik di antara satu sama lain.
"Zhao Xun cakap begitu, maksudnya Putera Mahkota dah pun datang bertemu dengannya?"
"Patutlah dia mampu bersuka ria sebelum perlawanannya. Nampaknya khabar angin itu betul! Putera Mahkota memang menggunakan segala kaedah dan cara untuk menolak budak nama Jun Xie itu ke kedudukan sepuluh teratas!"
"Saya pernah nampak Jun Xie. Badannya kecil dan kurus! Apa yang Putera Mahkota nampak padanya!?"
"Aduhai, Kejohanan Pertempuran Roh ini dulunya begitu dipandang tinggi. Sekarang ni sudah bertukar menjadi sandiwara yang jijik dan keji. Memang…"
Cemburu, kesal dan tekaan yang tidak berpenghujung. Hanya beberapa patah perkataan daripada Zhao Xun sudah membuatkan para pemuda di meja itu berdebat.
Zhao Xun berjalan keluar dari restoran itu dengan terhuyung-hayang. Dia tidak terus pulang ke rumah tumpangan yang disediakan untuk Akademi Hua Wan tetapi berjalan menuju satu lorong kecil yang lengang. Sebaik masuk ke lorong kecil itu, riak wajah mabuk Zhao Xun terus lenyap. Di dalam lorong tersebut ada seorang lelaki yang berjubah hitam. Nampaknya dia menanti kemunculan Zhao Xun.
"Tuan!" Sebaik terlihat lelaki berjubah hitam itu, Zhao Xun tunduk hormat.
Lelaki itu merenung Zhao Xun yang seluruh tubuhnya berbau arak yang kuat. Dia bertanya sambil berkerut, "Dah selesai semuanya?"
Zhao Xun menghilangkan sikap bersahaja yang ditunjukkan di restoran tadi. Wajahnya menjadi serius ketika dia berkata, "Saya sudah pun menyebarkan berita. Saya percaya sebelum malam ini berakhir, sebelum perlawanan esok bermula pun, semua akademi akan tahu yang saya telah menerima rasuah daripada Putera Mahkota secara diam-diam dan membuat keputusan untuk menarik diri daripada kejohanan."
Lelaki berjubah hitam itu mengangguk dengan puas hati, "Bagus. Jangan bimbang. Selagi kamu buat kerja dengan baik, apa yang kamu akan dapat di masa hadapan nanti akan lebih bernilai daripada apa yang kejohanan ini dapat berikan pada kamu."
"Saya berterima kasih pada Tuan kerana percaya pada saya. Memang saya yang mendapat tuah kerana dapat membantu Tuan," kata Zhao Xun. Matanya bersinar kegembiraan. Sewaktu pertama kali lelaki berjubah hitam itu mendekatinya, dia agak takut. Dia tidak sangka kejadian itu ibarat bulan jatuh ke riba.
"Orang yang berubah mengikut keadaan sememangnya akan berjaya. Selagi kamu jalankan tugas dengan baik, tentulah kamu akan mendapat manfaat. Kalau tugas itu tidak terlaksana… nasib orang sebelum kamu yang kehilangan nyawanya itu akan menjadi nasib kamu juga." Suara lelaki berjubah hitam itu tiba-tiba kedengaran menggerunkan.
Zhao Xun menggigil ketika perasaan gerun itu menyelubunginya. Dia menelan air liur dengan kuat dan cepat-cepat mengangguk.