Selepas mengesahkan hubungan sekutu dengan Lei Chen, Kejohanan Pertempuran Roh seterusnya akan menjadi tempat bagi Jun Wu Xie dan rakan-rakannya menyerlahkan diri.
Namun begitu, ketika Jun Wu Xie melangkah ke pusingan keempat kejohanan itu, hal yang tidak disangka berlaku sekali lagi. Pemuda yang sepatutnya bertempur dengan Jun Wu Xie dalam pusingan itu telah menarik diri daripada kejohanan, sama seperti lawan Jun Wu Xie yang terdahulu. Malah kali ini keadaan lebih serius!
Pemuda itu bukan sahaja gagal muncul untuk perlawanan tersebut, malah telah kehilangan nyawa di satu kawasan di Ibu Negara Diraja. Sejak penubuhannya, inilah kali pertama satu pembunuhan telah berlaku di Kejohanan Pertempuran Roh. Berita ini terus menarik perhatian semua peserta!
Dalam beberapa pusingan perlawanan yang terbatal sebelum ini ada kaitan dengan Jun Wu Xie. Sebab mengapa para peserta itu memutuskan untuk menarik diri telah pun hangat didebatkan oleh semua orang. Insiden ini juga dikaitkan dengan Putera Mahkota Negara Yan, Lei Chen, kerana semua orang mengesyaki bahawa Lei Chen telah terlibat secara rahsia di belakang tabir. Dia menggunakan rasuah dan ancaman untuk memaksa anak-anak muda ini melupakan peluang mereka dalam kejohanan ini. Tetapi kali ini, situasi sudah menjadi begitu melampau.
Ada orang telah kehilangan nyawa!
Kerumunan orang ramai di arena itu berasa ingin tahu dengan apa yang bakal berlaku dan kini mereka berasa amat marah! Para pelajar yang telah mara ke pusingan kelima berang kerana mereka semua tidak tahu siapa dalam kalangan mereka yang akan menjadi lawan Jun Xie selepas ini! Jelas sekali di mata mereka kini bahawa Lei Chen telah melakukan pembunuhan demi membolehkan Jun Xie menang. Bukankah itu satu mesej pada mereka bahawa jika mereka terus bertempur dalam kejohanan ini, jalan yang ada di hadapan mereka nanti hanya menuju kematian!?
Apabila hal yang belum begitu jelas ini tiba-tiba dicemari pertumpahan darah, para pelajar yang telah ke pusingan seterusnya itu menjadi semakin takut. Mereka amat tertekan dan berasa gelisah. Insiden ini sudah mencapai kemuncak. Pada mulanya, para pelajar daripada akademi lain hanya membenci Akademi Zephyr kerana merapatkan diri dengan Lei Chen. Tetapi kini, Akademi Zephyr dihina dan disumpah seranah tanpa belas kasihan.
Kemusnahan seperti ini tidak lagi boleh dianggap remeh. Sebaik Akademi Zephyr menanggung kesalahan sebagai penyebab kematian seseorang, tak kiralah betapa kuatnya para pelajar Akademi Zephyr di Kejohanan Pertempuran Roh, mereka tidak akan dapat menebus kembali nama yang sudah tercemar!
Jun Wu Xie terus memanggil Lei Chen untuk menyoalnya tentang hal sebenar di sebalik insiden itu.
Kali ini, Lei Chen benar-benar tidak bersalah. Selepas mengesahkan perjanjian untuk bersekutu, Lei Chen tahu yang dia tidak lagi boleh bertindak sendirian ataupun meneruskan tipu helahnya. Dia telah melupakan niat asalnya dan kali ini… dia langsung tidak mendekati pemuda yang sepatutnya berlawan dengan Jun Xie di pusingan keempat. Malah, dia tidak tahu pun siapa yang menjadi lawan Jun Xie!
"Bukan kamu?" tanya Jun Wu Xie sambil memandang Lei Chen.
Lei Chen hampir-hampir bersumpah. Dia merintih tanpa tangisan, "Bukan Beta! Mungkin Beta ni nampak dungu, tapi Beta tak akan memilih saat ini untuk bertindak melampau. Bukankah itu ibarat mencurah minyak ke dalam api yang marak?"
Jun Wu Xie ligat berfikir. Kalau bukan Lei Chen yang melakukannya, pasti ini tindakan tangan tersembunyi yang mahu menyingkirkan Lei Chen daripada kedudukannya iaitu Maharaja Negara Yan. Hanya Maharaja ini yang mampu berbuat begitu pada ketika ini.
"Dia memang tak berbelas kasihan, ya?" Mata Jun Wu Xie mengecil. Demi memaksa Lei Chen melepaskan kedudukannya sebagai Putera Mahkota, Maharaja Negara Yan dalam diam-diam telah mengapa-apakan para peserta yang datang ke sini untuk menyertai kejohanan itu. Kalau berita ini tersebar, Negara Yan boleh lupakan sahaja hasrat untuk menganjurkan Kejohanan Pertempuran Roh ini di masa hadapan.
"Apa kita nak buat sekarang? Akademi-akademi yang mengambil bahagian dalam kejohanan ini sudah pun menyatakan bantahan dan hal ini sudah dibawa ke perhatian Maharaja. Kalau Ayahanda benar-benar menggunakan hal ini untuk memaksa Beta tunduk pada kehendaknya…" Lei Chen berasa amat gelisah. Dia terlalu cemas sehingga tidak dapat memikirkan sebarang jalan keluar.
Sebaliknya Jun Wu Xie masih kekal tenang. Namun ketenangan ini membuatkan Lei Chen menjadi semakin gelisah.
"Kamu tak bimbang? Kejadian ini… akan memberi kesan pada kamu juga, tahu?" Lei Chen memandang Jun Wu Xie dengan penuh harapan.
Jun Wu Xie masih lagi kelihatan tidak terkesan sewaktu dia berkata perlahan-lahan, "Kamu tak perlulah risaukan hal ini. Saya akan uruskan. Kalau Maharaja berkeras mahu mencari salah kamu dalam hal kematian pelajar itu, apa yang kamu perlu lakukan hanyalah melengahkan hal ini selama yang boleh. Itu saja sudah cukup."