Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 808 - Serendipiti (1)

Chapter 808 - Serendipiti (1)

Jun Wu Xie berdiri di hadapan Lei Chen dan merenung mata yang kelihatan kosong itu.

"Apa nama kamu?" tanya Jun Wu Xie dengan perlahan.

"Lei Chen." Lei Chen menjawab dengan lembap. Dia membuka mulut tanpa sebarang ekspresi wajah, tetapi suaranya terang dan jelas.

Qiao Chu yang sedang berdiri di tepi terkebil-kebil kehairanan sambil memerhatikan perlakuan Lei Chen yang pelik.

"Kesan eliksir ni hebat betul! Kalau kita menghadapi situasi macam ni lagi lain kali, kita boleh suruh Adik Xie beri makan eliksir tu pada seseorang dan dapat maklumat yang kita perluan dari orang tu!" Qiao Chu berbisik perlahan sambil menyandarkan bahunya pada Hua Yao yang berdiri di sebelahnya.

Hua Yao tidak mengalihkan pandangan matanya daripada Lei Chen sewaktu membalas dengan suara yang perlahan, "Tak semua benda berkesan untuk setiap orang."

Qiao Chu mengangkat bahu dan tidak berkata apa-apa lagi.

Di bawah cahaya lilin yang malap itu, Lei Chen hanya duduk diam dan tidak bergerak-gerak. Dia hanya menjawab apa sahaja yang Jun Wu Xie tanyakan.

Jun Wu Xie bertanyakan tiga soalan mudah secara berturut-turut untuk memastikan eliksir itu sudah berkesan ke atas Lei Chen. Kemudian mata Jun Wu Xie mengecil dan dia bertanya dengan suara yang dingin, "Kamu pernah berhubungan dengan orang-orang dari Alam Pertengahan?"

Lei Chen yang selama ini menjawab semua soalan tanpa teragak-agak, tiba-tiba kelihatan buntu. Wajahnya yang tidak berperasaan itu mengherot, seolah-olah dia sedang bergelut.

Jun Wu Xie terkejut sedikit melihatkan reaksi ini. Eliksir yang dia berikan pada Lei Chen adalah sejenis ubat yang akan membuatkan minda sedar dan sistem saraf seseorang itu menjadi kebas. Kesan ubat ini hanya dapat dilihat setelah diambil sekali dengan sejumlah arak yang banyak. Inilah kali pertama dia menggunakannya setelah kelahiran semulanya ke dunia ini, walaupun dia telah banyak menggunakannya sebelum ini sewaktu berkhidmat dengan organisasinya. Reaksi Lei Chen membuatkan satu perasaan aneh timbul di dalam hati Jun Wu Xie.

Di dalam keadaan ini, mustahil Lei Chen akan menunjukkan apa-apa ekspresi. Ini kerana otaknya sudah kebas sepenuhnya dan sistem sarafnya tidak akan dapat menyalurkan sebarang emosi.

"Dia… kenapa dia tak jawab soalan lagi?" Qiao Chu teruja menantikan Lei Chen mendedahkan hal sebenar pada mereka. Sebaik mereka hampir menemui jawapan, Lei Chen pula tiba-tiba diam dan buntu.

Kening Jun Wu Xie terangkat dan matanya tertumpu pada wajah Lei Chen yang herot-berot.

"Ada apa-apa yang tak kena?" Fan Zhuo menyedari yang Jun Wu Xie tidak berkelakuan seperti biasa, lalu dia terus bertanya.

Jun Wu Xie menjawab, "Ada masalah."

"Masalah?"

Jun Wu Xie menggigit bibir dan berkata, "Melainkan dia telah melalui latihan khas sebelum ini, dalam keadaan ini dia sepatutnya menjawab apa-apa sahaja yang saya tanya tanpa sedikit pun teragak-agak." Di dalam kehidupannya sebelum ini, memang Jun Wu Xie pernah bertemu dengan sekumpulan orang yang telah menjalani latihan anti hipnosis. Kumpulan itu mempunyai ketahanan tinggi dan imun terhadap jenis dadah yang memanipulasi sistem saraf. Jun Wu Xie tidak dapat menghipnosis mereka sepenuhnya hanya dengan penggunaan dadah tersebut.

Tetapi setelah dilahirkan semula di dunia ini, dia tidak ada menemui apa-apa rekod atau ada yang menyebut tentang kewujudan hipnosis di dunia ini. Jadi kalau hipnosis tidak wujud di dunia ini, mana mungkin Lei Chen boleh menjalani latihan untuk melindungi dirinya daripada hipnosis?

Lama Jun Wu Xie berfikir sebelum memutuskan untuk menukar soalan. Dia membuka mulut untuk bertanya, "Kamu ada hantar sekumpulan orang untuk ke Cenuram Penghujung Syurga sebelum ini?"

Sebaik Jun Wu Xie bertanyakan soalan itu, pergelutan di wajah Lei Chen terus lenyap dan wajahnya kembali kelihatan kosong dan tidak berperasaan. Lei Chen terus menjawab, "Ya."

"Ketika itu kamu ada berikan peta pada mereka. Di mana salinan asli peta itu?" tanya Jun Wu Xie.

"Tak ada yang asli. Peta itu dipintas dari tangan pengawal ayahanda Beta." Ketika bercakap, wajah Lei Chen yang tidak berperasaan itu langsung tidak berubah. Tetapi kata-kata itu membuatkan semua orang yang berada di dalam bilik itu menjadi kaku kerana terkejut.

[Peta itu tak ada di tangan Lei Chen!? Apa yang sedang berlaku ni!?]