Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 806 - Putera Mahkota Negara Yan (3)

Chapter 806 - Putera Mahkota Negara Yan (3)

"Minum ni dan kamu tak akan dipersalahkan." Suara Jun Wu Xie kedengaran perlahan tetapi sedikit dingin.

Lei Chen terkejut kerana dia tidak menyangka Jun Wu Xie akan berkata begitu dan langsung tidak mempedulikan kedudukannya sebagai seorang putera raja. Tetapi perasaan terkejut itu hanya seketika sebelum Lei Chen tersenyum dan mengambil cawan berisi wain yang Jun Xie hulurkan kepadanya. Dia meneguk wain itu dengan pantas sebelum menterbalikkan cawan untuk menunjukkan tidak ada setitis pun yang tinggal.

"Beta pegang kata-kata Adik Jun. Memandangkan Beta dah habiskan secawan wain ini, Adik Jun tak boleh lagi menyalahkan Beta."

"Sudah tentulah, kata Jun Wu Xie. Dia berpaling, menyembunyikan matanya yang bersinar aneh.

Selepas mendengar kata-kata Jun Wu Xie, Lei Chen akhirnya berasa lega dan anginnya bertambah baik. Dia berbual dan minum dengan gembira bersama-sama Jun Wu Xie serta mereka yang lain. Balang demi balang wain berkualiti dibawa ke meja itu sebelum dengan pantasnya habis diminum. Selepas tiga pusingan, masa kian berlalu dan malam pun semakin lewat. Lei Chen duduk dengan pening-pening mabuk di meja makan.

Jun Wu Xie dan yang lain sudah pun mabuk teruk dan sebahagian daripada mereka sudah pun tersandar tidak sedarkan diri.

Lei Chen bangun dengan terhuyung-hayang dan menggelengkan kepalanya untuk menghilangkan pening-pening kepalanya.

"Pengawal! Iring tetamu kehormat kita…" Lei Chen mulanya mahu menghantar Jun Xie dan rakan-rakannya kembali ke Lof Dewa. Tetapi setelah berfikir seketika, dia menukar fikiran dan berkata, "Aturkan bilik tetamu di Rumah Agam Barat untuk mereka berehat."

Walaupun kepalanya masih pening, Lei Chen masih tidak melepaskan peluang untuk menarik Jun Xie ke pihaknya.

Bagi Putera Mahkota itu, pada ketika ini para pemuda dari Akademi Zephyr itu terlalu penting.

Para pengawal di Kediaman Putera Mahkota menurut perintah dan membantu pelajar-pelajar Akademi Zephyr itu ke bilik tetamu untuk tidur. Sementara itu, Lei Chen yang sudah pun tewas dengan kesan arak, dipapah masuk ke dalam biliknya oleh orang-orang suruhannya.

Kediaman Putera Mahkota menjadi sunyi. Di dalam keheningan malam, Jun Wu Xie yang sepatutnya sudah lena dibuai mimpi, tiba-tiba membuka matanya. Dalam kegelapan, sepasang mata yang kelihatan dingin itu nampak jernih dan langsung tidak mabuk.

Jun Wu Xie bangun dari katilnya dan melangkah ke lantai. Hitam Kecil melompat naik ke bahu Jun Wu Xie dengan senyap sewaktu gadis itu membuka pintu dan perlahan-lahan berjalan keluar.

Rumah Agam Barat di Kediaman Putera Mahkota digunakan secara eksklusif oleh para tetamu yang bermalam di situ. Pengawal hanya ditugaskan di pintu masuk supaya tidak mengganggu waktu rehat para tetamu yang bermalam di situ.

Di dalam kegelapan malam, muncul beberapa susuk tubuh di halaman yang sunyi itu.

"Eliksir Adik Xie memang berkesan. Selepas minum dengan banyak pun saya langsung tak merasakan kesan arak," kata Qiao Chu sambil berjalan ke arah Jun Wu Xie. Selain bau wain yang kuat pada badannya, wajahnya kelihatan tenang, seolah-olah langsung tidak minum walau setitis wain sekali pun.

Hua Yao dan yang lain sudah pun berdiri di sekeliling Jun Wu Xie. Sebelum jamuan itu bermula tadi, mereka semua sudah pun mengambil eliksir pembatal kesan arak yang Jun Wu Xie telah hasilkan. Tak seorang pun daripada mereka berasa mabuk setelah minum wain berkualiti yang Lei Chen tidak henti-henti hidangkan. Malah kalau mereka teruskan minum beberapa pusingan lagi pun, mereka tetap akan berasa segar seperti sekarang.

"Kamu semua tahu lokasi bilik Lei Chen?" tanya Fan Zhuo sambil membetulkan pakaiannya. Disebabkan dia banyak makan ubat dan eliksir dalam selama bertahun-tahun ini, Fan Zhuo tidak menyentuh walau setitis arak pun. Biarpun dia tidak mabuk setelah banyak minum tadi, bau alkohol yang kuat pada badannya itu masih membuatkan dia berasa tidak selesa.

Jun Wu Xie mengangguk dan meletakkan Hitam Kecil ke bawah. Kucing hitam kecil itu menggeliat ketika kakinya menyentuh tanah. Tidak lama kemudian, langkah kakinya semakin panjang. Dengan pantas dan senyap, Hitam Kecil melompat ke luar.

Ketika itu malam sudah lanjut dan tiba masanya di mana perasaan mengantuk itu paling sukar dielak. Kedua-dua orang pengawal di pintu masuk Rumah Agam Barat berusaha sedaya upaya untuk kekal berjaga.

Related Books

Popular novel hashtag