Jun Wu Xie tiba-tiba menggelengkan kepala.
"Berita ini bukan Lei Chen yang dedahkan sendiri."
"Kenapa kamu kata begitu?" tanya Qiao Chu.
Jun Wu Xie berkata, "Memang Lei Chen yang melakukannya. Tidak syak lagi. Tapi berita ini bukannya dia yang dedahkan. Kalau Lei Chen mahukan pelajar-pelajar itu menarik diri daripada kejohanan, dia tak akan begitu bodoh dan meninggalkan kecederaan yang terlalu jelas. Lagipun, orang yang dilihat tercedera itu adalah lawan saya bagi pusingan ketiga dan dia hanyalah pelajar daripada akademi yang tidak terkenal. Dengan kedudukan dan kuasa Lei Chen, dia tak perlu pun cederakan pelajar tu. Cukup dengan hanya memberi rasuah untuk membuatkan pelajar itu tunduk. Sebaliknya, pelajar itu muncul di depan semua orang dengan wajah yang cedera. Kamu semua tak rasa hal ini agak pelik? Kalau betul tekaan saya, orang yang mendedahkan hal ini pasti sedang cuba mensabotaj reputasi Lei Chen."
Mata Jun Wu Xie mengecil. Dia langsung tidak berminat dengan masalah dalaman Negara Yan tetapi dalang kejadian ini telah mempergunakan dia untuk mencapai matlamatnya. Malah Akademi Zephyr juga turut terpalit dan mendapat nama buruk.
Lei Chen memiliki reputasi yang hampir sempurna di Negara Yan. Penganjuran Kejohanan Pertempuran Roh tahun ini juga telah diserahkan sepenuhnya di bawah tanggungjawabnya. Kalau ada apa-apa masalah timbul dalam kejohanan tahun ini, pasti reputasi cemerlang yang Lei Chen bina selama ini akan musnah.
Walaupun Jun Wu Xie tidak begitu sukakan Lei Chen, dia masih percaya yang sikap dan perwatakan Lei Chen tidak akan memungkinkan dia memberi peluang sebegitu mudah pada musuh-musuhnya.
Orang yang bijak sepertinya tahu cara untuk melindungi reputasi sendiri.
"Maksudnya ada orang yang berniat jahat terhadap Lei Chen? Tapi siapa? Dia tu Putera Mahkota Negara Yan dan mendapat sokongan Maharaja. Siapa yang boleh menentang dia?" Fan Zhuo juga turut berfikir lebih mendalam. Tekaan Jun Wu Xie tidak salah. Namun pada pendapat Fan Zhuo, kejadian-kejadian yang berlaku itu agak aneh.
Seorang Putera Mahkota yang begitu mementingkan nama baik dan reputasinya. Mana mungkin dia akan melakukan sesuatu yang begitu mudah akan mencemarkan namanya?
Jadi siapa yang berani merancang untuk mengenakan Lei Chen?
Jun Wu Xie menundukkan pandangannya. Entah mengapa dia tiba-tiba teringat pada Mo Qian Yuan kerana dia dan Lei Chen merupakan Putera Mahkota bagi negara masing masing. Pada mulanya, situasi Mo Qian Yuan di Kerajaan Qi benar-benar teruk. Dia hanya memegang gelaran kosong dan dalam diam ayahandanya, Maharaja Kerajaan Qi, dan adindanya sendiri telah membuat rancangan jahat ke atasnya secara diam-diam.
Pada luarannya, situasi Mo Qian Yuan dan Lei Chen nampak begitu berbeza. Tapi...
Jun Wu Xie masih ingat lagi. Sebelum mendiang Maharani Kerajaan Qi mangkat, reputasi Mo Qian Yuan di kalangan rakyatnya sama seperti reputasi Lei Chen sekarang. Setelah kematian Maharani akibat gering dan seluruh keluarga bondanya itu dibunuh lalu melenyapkan segala sokongan bagi Putera Mahkota Mo Qian Yuan, barulah keadaannya bertambah buruk. Dia akhirnya dianggap sebagai Putera Mahkota yang dungu.
Insiden menggemparkan di Kejohanan Pertempuran Roh ini tiba-tiba membuatkan Jun Wu Xie mula mencurigai sesuatu.
Adakah Lei Chen sedang mengalami nasib yang sama dengan apa yang Mo Qian Yuan lalui sebelum ini?
Penganjuran Kejohanan Pertempuran Roh merupakan satu tanggungjawab yang berat. Namun hal ini telah diserahkan sepenuhnya ke tangan Lei Chen. Tidak lama selepas itu pula, satu kesilapan besar telah berlaku!
"Ada empat orang putera semuanya di Negara Yan?" Jun Wu Xie tiba-tiba mengangkat kepalanya dan bertanya pada Fei Yan.
Fei Yan mengangguk, "Ya, betul. Ada empat orang putera. Selain Lei Chen, Maharaja ada tiga orang lagi anak lelaki. Di antara mereka, kita sudah pun bertemu dengan Putera Kedua, Lei Yuan, sewaktu di jamuan dulu. Dua orang putera lagi yang tak datang ke jamuan adalah Putera Ketiga, Lei Qiu dan Putera Keempat, Lei Fan. Lei Qiu paling kurang menonjol di antara keempat-empat orang putera ini. Walaupun Putera Keempat, Lei Fan, bukan dilahirkan oleh Maharani, dia dijaga dan dibesarkan oleh Maharani sejak dia kecil lagi. Sebab itulah Lei Chen dan Lei Fan mempunyai hubungan yang agak rapat."