Pada hari pertama Kejohanan Pertempuran Roh sahaja, Akademi Zephyr telah mencapai kemasyhuran yang tidak terbanding! Mereka terus menarik perhatian orang lain. Akademi Zephyr telah mengalami kejatuhan daripada kemuncak kedudukan mereka yang tinggi melangit dan semua orang membenci mereka. Tetapi pada hari pertama kejohanan itu bermula, mereka telah memberi tamparan yang hebat pada semua orang!
Memandangkan pusingan pertama kejohanan itu masih belum berakhir, Hua Yao dan yang lain ada masa lapang pada keesokan harinya. Sebelum pusingan kedua kejohanan itu bermula, mereka dibenarkan untuk menggunakan masa lapang itu dengan sesuka hati.
Jun Wu Xie dijadualkan untuk bertarung pada keesokan harinya. Namun begitu, beberapa situasi yang tidak dijangka telah muncul di arena tempur daerah pertama.
Biasanya, perlawanan di pusingan pertama akan selesai dalam masa dua hari. Tetapi sesuatu yang tidak dijangka telah berlaku di daerah pertama. Tidak diketahui sama ada masalah ini ada kaitan dengan cabutan undian atau tidak, tetapi kebanyakan anak muda di situ telah mendapat lawan yang hampir sama tahap kuasa dengan mereka. Perlawanan-perlawanan yang sepatutnya singkat sahaja telah menjadi pertempuran berpanjangan. Hanya dua belas perlawanan yang selesai pada hari pertama. Jun Wu Xie yang mendapat giliran agak terkebelakang menyedari bahawa dia tidak akan mendapat peluang untuk menyelesaikan pertempurannya di hari kedua juga.
Memandangkan gilirannya masih belum tiba dan Jun Wu Xie tidak berminat untuk berjalan-jalan di seluruh bandar, dia mahu menghabiskan masanya dengan menghasilkan eliksir di Lof Dewa. Tetapi tanpa diduga, Lei Chen sekali lagi menghantar undangan kepada ahli rombongan Akademi Zephyr. Kali ini bukan untuk makan tetapi bersiar-siar di tasik.
Selepas makan malam pada hari sebelumnya, Lei Chen akhirnya merasakan Jun Xie sudah "berlembut" dalam layanan terhadapnya. Melihatkan orang lain di Akademi Zephyr juga bersikap sopan terhadapnya, dia meneruskan usaha untuk membuatkan hubungan mereka lebih rapat. Lei Chen tekad mahu mendapatkan mereka semua sebelum kuasa-kuasa lain mula bertindak.
Tentulah Jun Wu Xie tidak menolak pelawaan Lei Chen yang "menyerah diri" padanya. Jadi dia, Qiao Chu dan yang lain pergi bersama-sama untuk memenuhi undangan tersebut.
Tidak lama kemudian, satu berita tersebar luas di Ibu Negara Diraja. Pemuda-pemuda dari Akademi Zephyr yang tiba-tiba mencapai kemasyhuran itu telah ditarik ke bawah panji Putera Mahkota Lei Chen.
Sebaik berita itu tersebar, semua orang dari kuasa berbeza yang bersungguh-sungguh mensasarkan Akademi Zephyr terus berasa kecewa. Tak kira betapa kuat dan berkuasanya pihak yang mereka wakili, tidak ada siapa yang berani berdiri di bumi Negara Yan dan berebut pelajar berbakat dengan Putera Mahkota Negara Yan!
Secara tiba-tiba, jumlah orang yang berkerumun di sekeliling Lof Dewa mula berkurangan. Fan Jin yang keletihan kerana terpaksa melayan mereka, akhirnya dapat mengeluh lega.
Ketika Jun Wu Xie dan yang lain kembali dari bersiar-siar, tak ada lagi orang-orang yang terhendap-hendap di Lof Dewa.
"Nampaknya memang berkesan," kata Fan Zhuo sambil tersenyum. Dia memerhatikan keadaan di sekeliling Lof Dewa yang sudah kembali lengang. Mereka merasakan orang-orang yang berkumpul sebelum ini amat menyusahkan. Memandangkan Lei Chen sendiri datang menawarkan diri untuk menyelesaikan kekusutan mereka, sudah tentulah mereka amat menghargai sikap "timbang rasa" itu.
"Pffft….. Saya tertanya-tanya kalau Lei Chen tahu sebab sebenar Adik Xie akhirnya sanggup melayannya adalah kerana mahu menggunakan dia untuk menghentikan orang-orang itu daripada mengganggu kita dan disebabkan kita mahu mendapatkan peta itu daripadanya. Kalaulah dia tahu, macam mana agaknya reaksinya?" Qiao Chu tidak dapat menahan diri daripada ketawa apabila teringat kembali betapa Lei Chen begitu ambil berat terhadap Jun Wu Xie. Lei Chen juga asyik tersenyum ramah dan mesra pada mereka sepanjang mereka bersiar-siar tadi. Qiao Chu merasakan semua ini amat kelakar.
Malah seseorang yang agak dungu sepertinya pun sedar yang Lei Chen pada mulanya hanya menunjukkan minat terhadap Jun Wu Xie seorang. Tapi kini dia tiba-tiba sudah "melihat mereka dengan pandangan baru". Semuanya disebabkan prestasi mereka di Kejohanan Pertempuran Roh.
Tindakan Lei Chen itu tidaklah begitu ketara. Orang lain mungkin akan berasa amat gembira kerana mendapat perhatian Putera Mahkota sehingga tidak menyedari hal lain. Namun begitu, tidak ada seorang pun dalam kalangan pemuda-pemuda ini yang ambil peduli dengan pangkat Lei Chen sebagai Putera Mahkota.
Lei Chen memikirkan yang dia sedang mengawal semuanya. Tanpa disedari, dia sebenarnya sudah termasuk perangkap rancangan Jun Wu Xie.
Qiao Chu rasa agak menghiburkan juga melihat orang-orang yang begitu memandang tinggi pada diri mereka sendiri, langsung tidak menyedari hal sebenar yang disembunyikan daripada mereka!