Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 778 - Jamuan Makan (5)

Chapter 778 - Jamuan Makan (5)

Tak ada seorang pun pelajar dari akademi lain yang berani bercakap buruk tentang Lei Chen. Jadi Jun Wu Xie yang telah mendapat perhatian khas Lei Chen itulah yang menimbulkan perasaan cemburu pada orang lain.

"Kalau umur tu muda sangat, tak payahlah sertai Kejohanan Pertempuran Roh. Kita di sini bukannya nak bermain-main," kata Lei Yuan sambil mengalihkan pandangannya. Dia tersenyum sinis lalu terus bangun dan memberikan alasan untuk meninggalkan jamuan itu seketika. Dia telah terlihat beberapa orang pelajar dari Akademi Pembunuh Naga mengekori Jun Wu Xie meninggalkan jamuan itu dan dia tahu pasti ada sesuatu yang menarik untuk ditonton. Mana mungkin dia akan melepaskan peluang ini?

Lei Chen memerhatikan Lei Yuan beredar. Wajahnya masih lagi memaparkan senyuman lembut, tetapi matanya terpancar kejahatan.

[Orang yang bijak pandai tak perlu mengotorkan tangan sendiri. Dia boleh menggunakan jalan lain untuk mencapai impiannya!]

…..

Kediaman rasmi Lei Chen sememangnya sesuai untuk Putera Mahkota negara yang paling besar di dunia. Kawasan hadapan dan belakang kediaman ini dipisahkan oleh empat sayap. Setiap satu sayap memiliki halaman sendiri. Di bawah sinaran cahaya bulan, riak-riak terbentuk di permukaan air kolam. Batu-batu semulajadi memenuhi taman batu yang turut dihiasi rumput sehijau batu zamrud. Kawasan yang diterangi tanglung dan sinaran bulan ini amat indah, seolah-olah sebuah lukisan. Setiap aspek di seluruh kawasan itu menonjolkan kemewahan Putera Mahkota yang berlebih-lebihan.

Pada ketika itu, kebanyakan pemuda yang telah tiba di kediaman Putera Mahkota masih berada di dalam jamuan. Mereka lebih sanggup cuba memenangi perhatian Lei Chen daripada menikmati kecantikan Kediaman Putera Mahkota. Lagipun, reputasi negara paling besar dan paling makmur menyokong Lei Chen dari belakang. Kalau mereka benar-benar dapat menarik perhatiannya, mereka akan dapat bertapak dengan kukuh di Negara Yan sebaik Lei Chen menaiki takhta. Dengan adanya peluang untuk meningkatkan taraf kehidupan mereka sehingga setinggi langit, tidak ada seorang pun yang mampu melepaskannya.

Hanya Jun Wu Xie yang berada di sebuah taman di dalam satu kawasan Kediaman Putera Mahkota. Ada pengawal yang lalu-lalang sekali-sekala. Sebaik terlihat pakaian seragam Jun Wu Xie dan yakin bahawa pemuda itu adalah tetamu di jamuan makan tersebut, mereka tidak datang mengganggunya.

Di dalam keheningan malam, taman itu sunyi sepi. Berbanding keriuhan di jamuan makan tadi, Jun Wu Xie lebih selesa berada di sini.

Dia meletakkan Hitam Kecil ke bawah lalu berbisik, "Pergi siasat"

Hitam Kecil memandang sekilas ke atas Jun Wu Xie sekali lagi sebelum meluru pergi. Tubuhnya yang berwarna hitam itu tersembunyi di sebalik kegelapan. Memandangkan saiznya kecil, kebanyakan orang tidak akan perasan pun dengan kehadirannya.

Kalau Lei Chen benar-benar ada memegang satu kepingan peta, ini bermakna dia bersubahat dengan salah satu daripada Dua Belas Istana. Jun Wu Xie masih belum mahu berdepan dengan Istana Dua Belas, jadi dia perlu pastikan tidak ada ahli Dua Belas Istana di dalam Kediaman Putera Mahkota.

Baru beberapa detik berlalu sejak Hitam Kecil meninggalkannya dan Jun Wu Xie sudah pun terdengar bunyi tapak kaki datang dari arah belakangnya.

"Saya rasa Akademi Zephyr memang merosot dan keadaannya semakin buruk. Mereka hantar budak sekecil ini untuk ambil bahagian dalam Kejohanan Pertempuran Roh! Tak eloklah kalau tangan dan kaki yang kurus itu patah sewaktu kejohanan berlangsung." Terdengar satu suara yang berbaur cemuhan. Beberapa orang pelajar yang mengenakan pakaian seragam Akademi Pembunuh Naga melangkah masuk.

Jun Wu Xie berpaling untuk merenung para pemuda yang tinggi lampai itu. Matanya dingin dan tenang seperti kilauan air.

"Hei, budak. Seronokkah membodek Putera Mahkota?" kata salah seorang pelajar daripada Akademi Pembunuh Naga sambil memandang hina pada Jun Wu Xie. Raut wajahnya jelas menunjukkan dia mempunyai niat yang tidak baik.

Hubungan Lei Chen dengan tiga akademi terbaik itu sama sahaja selama ini. Dia hanya lebih rapat sedikit dengan Akademi Panji Perang. Tetapi itu dapat difahami kerana Lei Chen pernah belajar di akademi tersebut sebelum ini. Namun kali ini, Lei Chen telah mengambil inisiatif untuk berbaik-baik dengan Akademi Zephyr. Situasi ini membuatkan orang-orang dari Akademi Pembunuh Naga, yang juga merupakan salah sebuah akademi tertinggi, menjadi tidak berpuas hati.

"Akademi Zephyr sudah merosot teruk dan menggunakan cara terkutuk untuk membodek orang lain? Tak malu betul." Seorang lagi pemuda mencemuh dengan kuat. Matanya merenung Jun Wu Xie yang sedang berseorangan itu dari atas ke bawah.

Related Books

Popular novel hashtag