Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 770 - Putera Mahkota Telah Tiba (1)

Chapter 770 - Putera Mahkota Telah Tiba (1)

Malam itu, mereka semua tidak begitu memikirkan hal tersebut. Pada pandangan mereka, tidak penting pun kalau Putera Mahkota datang atau tidak. Apa yang mereka kisahkan berbeza dengan orang lain. Kalau pun dia tu Putera Mahkota, kenapa? Kalau bukan sebab hakikat yang dia memiliki peta itu, mereka langsung tidak akan ambil peduli tentangnya. Mereka tidak berniat pun untuk mengambil hatinya.

Sudah tiba waktu makan malam. Pengurus rumah tumpangan Lof Dewa sudah awal-awal lagi mengarahkan kakitangan di dapur untuk bersiap-sedia. Ini kerana orang-orang dari Kediaman Putera Mahkota telah datang ke situ tadi dan tentulah kakitangan rumah tumpangan ini tidak berani berlengah-lengah. Tidak kiralah sama ada Putera Mahkota akan datang atau tidak, mereka perlu bersedia sepenuhnya supaya tidak merosakkan kunjungannya.

Malam mula berlabuh. Tanglung-tanglung dinyalakan dan digantung. Ibu Negara Diraja Negara Yan disinari cahaya yang digantung tinggi di seluruh bandar. Tanglung-tanglung yang bersinar ini menyingkirkan kegelapan malam dan menyerlahkan keindahan bandar Ibu Negara yang makmur ini.

Sebuah kereta kuda yang membawa panji Kediaman Putera Mahkota dipandu di jalan yang panjang itu sebelum akhirnya berhenti di pintu utama Lof Dewa. Ramai para pelajar dari akademi lain yang sedang berjalan-jalan secara santai di kawasan berdekatan. Sebaik terlihat kereta kuda dari Kediaman Putera Mahkota itu berhenti, mereka tertinjau-tinjau dengan perasaan ingin tahu.

Sebelum ini mereka ada terdengar yang Putera Mahkota pada mulanya menghantar mesej pada Akademi Pembunuh Naga yang dia akan melawat kediaman mereka secara rasmi. Tetapi Putera Mahkota kemudiannya telah menerima jemputan Akademi Zephyr. Semua orang merasakan hal ini satu jenaka. Apa situasi Akademi Zephyr sekarang? Akademi itu sudah pun mengalami kejatuhan dan dengan tidak malunya mereka menjemput Putera Mahkota datang melawat mereka? Kebetulan pula waktu jemputan mereka itu telah bertembung dengan waktu pertemuan di antara Akademi Pembunuh Roh dan Putera Mahkota.

Hampir tiada siapa yang menjangka Putera Mahkota akan menerima jemputan Akademi Zephyr kerana akademi itu sudah pun mendapat nama buruk. Jangkanya dalam Kejohanan Pertempuran Roh tahun ini, tidak ada seorang pun pelajar akademi itu akan mendapat kedudukan sepuluh terbaik. Selepas kejohanan tahun ini, Akademi Zephyr akan tersingkir daripada senarai salah satu daripada tiga akademi elit terbaik. Jadi bagaimana mereka boleh menaruh harapan yang Akademi Zephyr mampu bersaing dengan Akademi Pembunuh Naga yang hebat itu?

Sebab itulah sewaktu kereta kuda dari Kediaman Putera Mahkota berhenti di hadapan pintu Lof Dewa, semua pemuda itu terus ternganga luas!

Putera Mahkota muncul di sini!

Sungguh sukar dipercayai!

Kini kereta kuda dari Kediaman Putera Mahkota itu sudah berada di hadapan Lof Dewa. Pasti Akademi Pembunuh Naga akan mendapat berita ini tidak lama lagi. Bukankah ini ibarat tamparan besar pada orang-orang Akademi Pembunuh Naga!?

Semua orang tidak faham mengapa Lei Chen memilih untuk meninggalkan dan mengabaikan Akademi Pembunuh Naga. Sebaliknya, dia menerima pelawaan Akademi Zephyr yang kini sudah lemah dan tidak penting. Mereka semua kini memanjangkan leher, cuba meninjau sama ada orang yang keluar dari kereta kuda itu ialah Putera Mahkota Lei Chen.

Sewaktu Jun Wu Xie menerima berita tersebut, dia sedang sibuk menguruskan bulu Tuan Embek Embek. Bulu yang baru tumbuh di badan Tuan Embek Embek itu halus dan amat kerinting, jadi bulu itu mudah kusut. Sebab itulah Jun Wu Xie kini ada satu lagi tugas harian untuk dilakukan… menyikat bulu Tuan Embek Embek setiap hari!

Tuan Embek Embek yang terbaring di riba Jun Wu Xie itu berasa begitu selesa sehingga menutup mata dalam kegembiraan. Sekali-sekala kambing biri-biri kecil itu akan mengembek lembut.

"Jun Xie, kereta kuda dari Kediaman Putera Mahkota dah sampai," kata Fan Zhuo setelah mengetuk pintu Jun Wu Xie.

Jun Wu Xie berhenti seketika dan meletakkan sikat itu ke atas meja. Tuan Embek Embek yang sedang menikmati perhatian yang diberikan oleh tuannya tiba-tiba terganggu. Kambing biri-biri itu diletakkan ke atas lantai. Matanya penuh perasaan hiba.

"Embek….." Tuan Embek Embek mendongak dan mengangkat sebelah kakinya yang kecil itu lalu terus menyentuh baju Jun Wu Xie. Kambing biri-biri kecil ini seolah-olah sedang merayu pada Jun Wu Xie.

Jun Wu Xie membongkok lalu menggosok-gosok bulu yang lembut dan gebu itu sebelum berkata dengan sabar, "Malam ni saya sikat."

"Embek…" Tuan Embek Embek masih lagi berasa sedih.

[Saya dah begitu lama kelihatan hodoh. Sekarang bulu saya dah tumbuh semula. Baru saja nak dapat layanan khas, diganggu pula! Sedihnya!]