Lei Chen duduk di tingkat satu di Lof Dewa dan berbual-bual dengan Fan Jin. Ketika Jun Wu Xie dan yang lain turun, mereka lihat dia berpakaian mewah dan duduk tegak di kerusi sambil tersenyum mesra dan lembut. Sejujurnya, rupa paras Lei Chen agak elok. Dia kelihatan menawan tetapi tidak berlebih-lebihan atau kelihatan jahat. Ini membuatkan orang merasakan dia seorang yang beradab dan mudah didekati.
Fan Jin menyedari Jun Wu Xie dan yang lain sedang mendekati mereka dan dia terus bangun lalu berkata sambil tersenyum, "Ini ialah Putera Mahkota Negara Yan, Yang Mulia Lei Chen."
Lei Chen bangun lalu mengangguk pada mereka yang lain. Perlakuannya kelihatan lemah lembut.
Qiao Chu dan yang lain menyapanya secara sambil lewa dan sebelum mengambil tempat duduk dan memerhatikan Lei Chen dalam diam.
Lei Chen memiliki reputasi yang baik dan mendapat pujian daripada rakyatnya di Negara Yan, tidak kiralah dari segi perlakuannya yang sopan dan baik mahupun bakatnya yang mengagumkan. Tahun ini Lei Chen berusia dua puluh lima tahun dan dia sudah pun mencapai roh tahap hijau. Walaupun dia tidaklah berbakat besar dan hebat, masih dianggap bagus bagi seorang bakal pemerintah. Apa yang penting ialah mindanya, bukan kekuatannya.
"Boleh Beta buat anggapan yang kamu semua ini adalah pelajar elit Akademi Zephyr? Semuanya kelihatan hebat. Guru Besar Fan Jin memang tahu memilih bakat." Lei Chen memandang mereka semua. Pandangan matanya kelihatan sopan dan lembut.
Fan Jin membalas, "Tuanku terlalu banyak memuji."
"Kamu semua dah menyesuaikan diri di Negara Yan? Kalau ada apa-apa yang tak memenuhi kehendak kamu, tolong maklumkan pada Beta. Hakikat yang kamu semua datang ke Negara Yan untuk mengambil bahagian dalam Kejohanan Pertempuran Roh ini amat Negara Yan hargai. Kami tidak mahu ada kekurangan dari segi layanan pihak kami pada kamu," kata Lei Chen dengan sopan.
Sekumpulan rakan itu hanya tersenyum dan mengangguk. Dalam diam-diam, Qiao Chu memusingkan badannya sedikit lalu berbisik ke telinga Hua Yao, "Kenapa saya rasa yang Putera Mahkota ni terlalu merendah diri dan pemurah. Bukankah dia nampak terlalu sopan bagi seseorang yang berada dalam kedudukannya?"
Hua Yao mengangguk sedikit. Kalau situasi ini berlaku sebelum ini, boleh juga difahami mengapa Lei Chen begitu sopan. Dalam keadaan Akademi Zephyr sekarang, sikap Lei Chen yang beradab sopan itu pada dasarnya nampak tak salah. Malah menunjukkan yang dia masih memandang tinggi pada mereka. Tapi kalau dilihat daripada sudut berbeza, bukankah kunjungan Lei Chen ke Lof Dewa malam ini boleh dianggap sebagai tamparan hebat pada Akademi Pembunuh Naga? Negara Yan memang mempunyai hubungan yang baik dengan tiga akademi teratas dan mereka tak pernah pilih kasih. Namun tindakan Lei Chen malam ini menunjukkan tanda-tanda berat sebelah yang amat jelas.
Seorang putera biasa tidak akan mampu mengukuhkan kedudukan sebagai Putera Mahkota Negara Yan dan mendapat sokongan besar daripada rakyat. Kalau mereka diberitahu yang Lei Chen tidak mempunyai sebarang niat tersembunyi, sampai mati pun mereka langsung tidak akan percaya.
Ketika Lei Chen terus berbual-bual dengan Fan Jin, dalam diam ekor matanya menjeling Jun Xie yang sedang duduk diam di satu sudut. Sebelum ini sewaktu di rumah lelong, perhatiannya tertarik pada lelaki tampan di sebelah Jun Xie dan dia tidak memerhatikan anak muda kecil molek itu dengan teliti. Hanya selepas menyedari identitinya yang mengagumkan barulah Lei Chen mahu meneliti anak muda ini dengan lebih dekat lagi.
Pada mulanya dia menyangkakan pemuda itu boleh tahan menarik juga, tetapi dia tidak menyangka yang selepas dia memandang dengan lebih teliti, dia menyedari mata pemuda itu amat menarik jiwanya. Dingin dan jernih, seolah-olah terasing dari segalanya di dunia ini. Namun mata itu juga bersinar-sinar, memberikan perasaan yang menyenangkan setiap kali mata itu memandang seseorang.
Lei Chen terkejut apabila mendapati anak muda yang kelihatan biasa sahaja itu memiliki sepasang mata seperti itu.
Bagi tidak mendedahkan niat tersembunyinya, Lei Chen mengelak daripada bercakap terus dengan Jun Xie. Dia hanya menyebut nama Jun Xie sambil lalu ketika berbual dengan Fan Jin. Dia juga akan menyebut nama-nama mereka yang lain tanpa terlalu tertumpu pada Jun Xie untuk mengelakkan niat sebenarnya diketahui.