Di dalam bilik peribadi di tingkat dua itu, Fu Xuan membetulkan pakaiannya dengan menggoda. Dia memandang Lei Chen yang sedang tersenyum jahat. Pandangan mata Lei Chen tertarik pada lelaki tampan di tingkat bawah yang telah membuat bidaan yang melampau tingginya.
"Ketepikan dulu hal lain. Walaupun Akademi Zephyr sedang mengalami kejatuhan, mereka masih ada banyak duit lagi. Jadi Adik Xuan tak akan rugi." Lei Chen mengangkat tangannya dan memintalkan rambut Fu Xuan yang terasa dingin di jarinya. Dia bercakap dengan penuh makna tersembunyi.
Fu Xuan berpaling. Dia berpura-pura marah sambil menolak lembut dada Lei Chen.
"Tuanku tak ada hati perut betul, ya? Cepat betul Tuanku tolak saya pada orang lain? Kalau Tuanku buat saya marah, nanti saya buruk-burukkan Tuanku di depan Ling Yue."
Lei Chen ketawa tetapi tidak berkata apa-apa. Namun tanpa disedari, ekor matanya masih tertarik pada dua orang yang berada di tingkat bawah. Walaupun Akademi Zephyr memiliki kuasa yang kuat, jumlah sebanyak itu tetap mustahil dapat dipegang oleh seorang guru. Jumlahnya terlampau tinggi. Lelaki itu melemparkan sepuluh juta dengan begitu sahaja. Sifat murah hatinya itu melangkaui jangkaan Lei Chen dan tindakan tiba-tiba ini mencetuskan kembali minat Lei Chen terhadap Akademi Zephyr yang sudah jatuh merudum. Sewaktu bergerak meninggalkan bilik peribadi itu, Lei Chen telah mengarahkan orang suruhannya untuk menyiasat lebih mendalam tentang sepuluh orang ahli rombongan Akademi Zephyr itu.
Tidak lama selepas dia kembali ke kediaman Putera Mahkota, maklumat itu sudah dikumpulkan dan diserahkan pada tangannya.
"Ha! Akademi Zephyr itu benar-benar malang! Mereka hantar empat orang pelajar yang baru sahaja dinaikkan pangkat dari kampus cawangan ke kampus utama untuk ambil bahagian dalam Kejohanan Pertempuran Roh!?" Lei Chen memandang nama-nama di dalam senarai itu dan maklumat peribadi mereka. Hua Yao, Qiao Chu, Fei Yan dan Rong Ruo. Mulutnya membentuk senyuman mengejek. Ketika terlihat potret Fei Yan, satu cahaya yang aneh terpancar sekilas di matanya.
Berdasarkan maklumat yang diberikan, mereka berempat itu nampaknya hanya pelajar biasa. Mereka asalnya merupakan pelajar di kampus cawangan Akademi Zephyr dan telah mendapat keputusan cemerlang sewaktu pemilihan kenaikan pangkat pada penghujung tahun lepas. Sebab itu mereka mendapat peluang untuk masuk ke kampus utama. Tetapi sehebat mana sekalipun kuasa mereka di kampus cawangan, itu tetap kampus cawangan. Kuasa mereka tidak boleh dibandingkan dengan para pelajar yang telah berada di kampus utama sejak awal-awal lagi.
Setelah mengetepikan data terkumpul tentang empat orang pelajar itu, Lei Chen menyelak-nyelak maklumat mengenai Fan Jin dan Fan Zhuo. Dia hanya memnadang sekilas sahaja sebelum melemparkan maklumat itu ke tepi. Tetapi maklumat yang tertera dengan tiga patah perkataan berbunyi "Jun Wu Yao", amat menarik minatnya.
Di atas seluruh manuskrip kulit itu hanya ada satu ayat yang pendek. Ayat itu mengatakan Jun Wu Yao merupakan guru baru yang digajikan oleh Akademi Zephyr. Selain nama dan kedudukannya sebagai guru di Akademi Zephyr, orang-orang suruhan Lei Chen tidak berjaya menemui apa-apa maklumat lain tentang lelaki itu. Ini benar-benar menarik minat Lei Chen. Sebagai Putera Mahkota Negara Yan, Lei Chen mempunyai keyakinan penuh pada kebolehan orang-orangnya. Tapi orang-orang inilah yang tidak berjaya menemui apa-apa tentang lelaki itu. Ini sememangnya sangat aneh.
Tetapi sebelum Lei Chen dapat berfikir lebih mendalam tentang keanehan yang menyelubungi Jun Wu Yao, matanya tiba-tiba tertarik dengan maklumat terakhir yang berada di hadapan matanya!
Dia cepat-cepat mengambil manuskrip kulit itu dan menelitinya. Matanya terbeliak kerana terkejut.
"Si Jun Xie tu benar-benar memiliki kebolehan ini?" Lei Chen memegang sekeping manuskrip kulit yang menerangkan tentang pencapaian Jun Xie. Kemudian dia berpaling memandang pengawal peribadi yang berdiri di belakangnya.
Lelaki itu mengangguk. "Sewaktu Patik menemui semua maklumat itu, Patik juga agak terkejut. Tapi Jun Wu Xie merupakan seseorang yang amat terkenal di Akademi Zephyr. Gu Li Sheng juga pernah mendedahkan identiti orang itu di Akademi Zephyr dan mengakui sendiri kehebatan Jun Wu Xie. Semua ini sudah tersebar dan diketahui oleh seluruh akademi. Jadi maklumat ini pastinya benar."
Perasaan terkejut di mata Lei Chen tiba-tiba digantikan dengan perasaan riang dan gembira. Dia ketawa dengan kuat.