Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 757 - Negara Yan (8)

Chapter 757 - Negara Yan (8)

Tetapi Fan Jin tidak bertanya apa-apa mahupun mahu menyiasat lebih lanjut. Dia tahu baik Jun Wu Xie mahupun rakan-rakan di sekelilingnya, semuanya memiliki latar belakang yang luar biasa. Kalau mereka tak beritahu dia apa yang mereka mahu lakukan, dia anggap sahaja mereka ada sebab tersendiri.

Fan Jin perlahan-lahan berpaling memandang Fan Zhuo. Melihat senyuman berseri-seri yang ikhlas di wajah adiknya itu, Fan Jin berasa lega.

"Kamu semua teruskan berbual. Saya perlu pergi jumpa Penasihat Agung," kata Fan Jin sambil berdiri. Dia bimbang Jun Wu Xie dan yang lain mungkin kurang selesa berterus-terang jika dia terus berada di situ. Jadi dia mencari alasan untuk pergi dari situ.

"Penasihat Agung? Kenapa Abang nak jumpa dia?" tanya Fan Zhuo.

Penasihat Agung Negara Yan memegang kedudukan yang penting dan dia sangat dihormati. Reputasi dan statusnya di bawah Maharaja tetapi lebih tinggi daripada pewaris takhta, Putera Mahkota. Tetapi Penasihat Agung jarang masuk campur dalam urusan Negara Yan dan dia hanya muncul apabila diperlukan.

Kalau Maharaja Negara Yan dianggap sebagai pemerintah yang berkuasa, Penasihat Agung pula dianggap sebagai Pemimpin Rohani Negara Yan. Dia amat disayangi dan dihormati oleh rakyat.

Fan Jin menjawab sambil ketawa, "Senior Wen Xin Han ada beri surat pada Abang sebelum kita bertolak. Dia mahu Abang serahkan pada Penasihat Agung."

Fan Zhuo mengangguk dan tidak bertanya lebih lanjut. Mereka semua tidak ada di akademi, jadi Wen Xin Han dan Gu Li Sheng yang menguruskannya. Memandangkan Akademi Zephyr baru melalui kekecohan, Fan Jin dengan ikhlasnya menjemput Wen Xin Han untuk tinggal sementara di Akademi Zephyr dan Wen Xin Han juga tidak menolak.

Setelah Fan Jin berlalu pergi, Fei Yan menggosok-gosok dagunya, "Seingat saya, nama keluarga Penasihat Agung Negara Yan adalah Wen." Matanya memandang Jun Wu Xie dengan penuh makna.

Walaupun nama keluarga Wen itu tidaklah terlalu jarang ditemui, hakikatnya Wen Xin Han telah menyuruh Fan Jin menghantar surat kepada Penasihat Agung Negara Yan. Mereka pula berkongsi nama keluarga yang sama iaitu Wen. Tentulah mereka akan dianggap bersaudara.

"Nama Penasihat Agung Negara Yan ialah Wen Yu?" tanya Jun Wu Xie.

Fei Yan mengangguk.

"Ini hal peribadi Senior Wen dan tak elok kita menyisatnya. Tapi sekurang-kurangnya kita boleh yakin yang Wen Yu bukannya musuh kita," kata Fan Zhuo sambil tersenyum. Walaupun dia tidak tahu apa yang tertulis di dalam surat Wen Xin Han, lelaki itu telah menyuruh Fan Jin sendiri menghantarkan surat tersebut. Dia yakin tindakan Wen Xin Han itu mempunyai motif peribadi. Mungkin dia minta Wen Yu melindungi mereka atau sesuatu yang seumpamanya.

"Ehem… Saya juga dengar yang… Penasihat Agung Negara Yan ni… luar biasa tampannya," kata Qiao Chu secara tiba-tiba. Wajahnya sedikit kemerah-merahan.

Fei Yan menjeling Qiao Chu dengan penuh kecaman. Dia tidak berdaya untuk berkata apa-apa.

[Sebaik si dungu ni terlihat orang yang cantik, tak kiralah lelaki atau perempuan, mesti dia buat muka tak malu ni!]

"Katanya dia sangat tampan dan memiliki rupa paras yang paling cantik di Negara Yan. Tapi jangan sebut di luar. Penasihat Agung katanya tak suka orang bercakap tentang rupa parasnya," kata Fei Yan untuk mengingatkan.

"Saya tak akan buat macam tu. Mana ada orang lelaki yang suka dipanggil cantik?" Qiao Chu mengomel.

Jun Wu Xie mendengar sambil diam. Tanpa disedari, setelah mendengar tentang kecantikan Wen Yu, dia berpaling memandang Jun Wu Yao yang berada di sebelahnya. Renungan matanya yang dingin itu memandang wajah Jun Wu Yao yang sempurna dan tidak tercela itu. Dia meneliti wajah lelaki itu.

Mungkin renungan Jun Wu Xie itu terlalu ketara sehinggakan Qiao Chu yang berada jauh dari situ juga menyedarinya.

"Adik Xie, tak perlulah tenung sangat. Saya berani jamin! Si Wen Yu tak mungkin setampan Abang Jun kita ni." Seumur hidupnya, Qiao Chu tak pernah lihat ada orang yang lebih menawan daripada Jun Wu Yao! Kalau ada orang beritahu dia yang wujudnya seseorang yang lebih tampan daripada Jun Wu Yao, dia tidak dapat membayangkan betapa hebatnya orang tersebut.

Jun Wu Xie terkejut dan cepat-cepat mengalihkan pandangan. Dia tunduk untuk menghirup teh. Namun aksinya yang terlalu jelas mahu bersembunyi itu disedari Jun Wu Yao yang terus ketawa kecil.