Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 756 - Negara Yan (7)

Chapter 756 - Negara Yan (7)

Setelah kenyang makan dan minum, Qiao Chu tersandar puas di kerusinya dan sedawa dengan kuat. Fei Yan yang duduk di sebelahnya, menjeling dengan tidak puas hati sebelum berpaling memandang Jun Wu Xie lalu berkata, "Kamu dah tengok maklumat tentang Negara Yan yang saya dapat cari sebelum ni?"

Dalam tempoh lebih kurang sebulan yang lalu, Jun Wu Xie dan Fan Zhuo kekal berada di Akademi Zephyr dan tidak pergi ke mana-mana. Sementara itu, Qiao Chu, Hua Yao dan Rong Ruo pulang ke Akademi Phoenix untuk memberitahu Yan Bu Gui maklumat tentang rancangan perjalanan mereka selepas ini. Hanya Fei Yan sahaja yang begitu sibuk. Dia perlu memahami situasi di Negara Yan sebelum rakan-rakannya bertolak supaya mereka boleh merancang misi mereka dengan lebih teliti.

Fei Ya tidak hanya duduk diam sahaja sepanjang tempoh itu. Dia hanya pulang pada hari di mana Jun Wu Xie dan yang lain akan bertolak. Sepanjang perjalanan yang melambung-lambung itu dia menyampaikan maklumat yang dikumpulkannya kepada rakan-rakan yang lain. Mereka semua dapat memahami situasi semasa di Negara Yan.

Negara Yan mempunyai empat orang putera. Putera Mahkota ialah putera sulung dan dialah sasaran Jun Wu Xie serta rakan-rakannya bagi misi ini.

Jun Wu Xie mengangguk.

"Apa yang kamu rancangkan? Kita tunggu sehingga dapat mencapai kedudukan yang baik sebelum merapatkan diri dengan Putera Mahkota atau kita terus mulakan sekarang? Saya dengar Putera Mahkota kadangkala akan berhubungan dengan sebahagian peserta dari pelbagai akademi sebelum kejohanan bermula," tanya Fei Yan. Tanpa sedar, dia sudah pun bergantung pada pendapat Jun Wu Xie bagi menentukan langkah mereka sepenuhnya.

Sejak saat dia bertemu dengan Jun Wu Xie sehingga ke saat itu, penilaiannya tentang sesuatu situasi dan cara dia membuat keputusan sentiasa tepat. Dia belum pernah lagi lihat Jun Wu Xie tersilap percaturan.

"Tak perlu terburu-buru dulu. Kita perhatikan saja." Walaupun maklumat yang Fei Yan berikan pada mereka itu berguna, dia perlu mengesahkan dengan matanya sendiri sebelum dapat membuat keputusan yang tepat.

Sehingga kini, sudah dua kali Jun Wu Xie terlibat dengan orang-orang yang bersubahat dengan Dua Belas Istana dan mereka bukannya orang yang baik. Seorang suka menggunakan anak muda yang tampan sebagai bahan uji kaji dalam penyelidikannya tentang racun manakala seorang lagi telah merancang untuk membunuh semua pelajar di sebuah akademi. Berdasarkan maklumat yang diterima, Putera Mahkota Negara Yan boleh dianggap agak sederhana dan merendah diri. Dia telah menjadi Putera Mahkota sejak berusia sepuluh tahun dan dia nampaknya boleh diharap dan tidak pernah bertindak melampau. Selepas kelahirannya, Maharaja mendapat tiga orang lagi anak lelaki dan Putera Mahkota amat mengambil berat serta menyayangi mereka.

Pada dasarnya, dia nampaknya bukan orang yang jahat.

Tapi...

Memandangkan dia terlibat dengan Dua Belas Istana, Jun Wu Xie tidak berani begitu yakin dengan penilaiannya tentang Putera Mahkota.

Sama seperti Mo Xuan Fei dahulu. Kalau mengikut memori pemilik tubuh Jun Wu Xie yang lalu ketika Jun Wu Xie dilahirkan semula di dalam tubuh itu, reputasi Mo Xuan Fei pada dasarnya lebih kurang sama seperti apa yang dia dapat tahu tentang Putera Mahkota Negara Yan. Mereka berdua dikhabarkan merupakan orang yang beradab dan lelaki yang budiman. Kedua-duanya dianggap merendah diri dan bersikap menghormati. Namun dalam hal Mo Xuan Fei, dia sebenarnya hanya seorang hipokrit yang kemas berpakaian dan kelihatan terhormat.

"Bagus juga tu. Saya jangka tak lama lagi dia pun akan datang berjumpa dengan kita. Bukankah Fei Yan kata yang Putera Mahkota tu suka bergaul dengan rakyat biasa macam kita?" kata Qiao Chu sambil ketawa. Setiap tahun sebelum Kejohanan Pertempuran Roh bermula, Putera Mahkota Negara Yan biasanya akan bertemu dengan pelajar dari pelbagai akademi. Dia juga tidak mengamalkan diskriminasi dan melawat akademi-akademi yang besar dan kecil. Walaupun lawatannya merangkumi tiga akademi terbaik, dia tidak akan mengabaikan akademi-akademi kecil yang tidak dikenali ramai.

Hal ini membingungkan ramai orang.

Menjalinkan hubungan dengan tiga akademi terbaik itu pastilah bagi membolehkan seseorang itu merekrut bakat-bakat yang kuat dengan lebih mudah.

Tetapi ramai yang tidak faham kenapa seorang Putera Mahkota akan meluangkan masa melawat akademi-akademi biasa.

Jun Wu Xie menghirup airnya dan tidak memberikan reaksi terhadap kata-kata Qiao Chu.

Fan Jin cuma diam mendengar perbincangan mereka. Dia tidak begitu memahaminya. Fikirnya satu-satunya sebab mereka datang ke Negara Yan ialah untuk menyertai Kejohanan Pertempuran Roh.

Related Books

Popular novel hashtag