Jun Wu Xie baru sahaja berdiri dan berjalan mendekati Jun Wu Yao apabila lelaki itu dengan bersahaja memegang tangan Jun Wu Xie dan mereka bersama-sama berjalan menuju dewan di tingkat dua.
Jun Wu Xie nampaknya sudah terbiasa dengan aksi mesra Jun Wu Yao. Pada mulanya dia tidak begitu selesa. Tetapi dia teringat satu kejadian yang pernah dilihatnya di dalam kehidupannya yang lalu. Dia terlihat sepasang adik-beradik yang masih kecil. Ketika itu si abang juga telah memegang tangan adik perempuannya.
Tetapi Jun Wu Xie tidak menyedari sesuatu. Ketika si abang itu memegang tangan adiknya, mereka sedang melintas jalan dan waktu itu mereka berdua berusia dalam lingkungan lapan tahun…
Qiao Chu dan yang lain sudah pun duduk di dalam dewan tingkat dua itu. Apabila terlihat Jun Wu Xie dan Jun Wu Yao, Qiao Chu dengan selamba melambaikan tangan untuk menyuruh mereka cepat-cepat sampai.
"Mana Ye Sha dan Ye Mei?" Qiao Chu memandang di belakang mereka tetapi tidak terlihat kelibat Ye Sha dan Ye Mei lalu dia bertanya dengan perasaan ingin tahu.
Jun Wu Yao membalas "Mereka keluar uruskan sesuatu."
Qiao Chu mengangguk dan tidak berani bertanya lagi. Walaupun mereka tidak lagi begitu takut pada Jun Wu Yao, mereka masih berwaspada dalam menghadapi kuasa Jun Wu Yao yang begitu hebat serta misteri yang menyelubunginya. Misteri itu termasuklah dua orang suruhannya yang selalu muncul dan hilang tanpa dijangka.
Tak lama kemudian pelayan di rumah tumpangan itu menghidangkan makanan dan minuman yang memenuhi meja sebelum cepat-cepat keluar. Kini hanya mereka berlapan yang ada di tingkat dua itu.
Qiao Chu makan beberapa suapan dan terus berkerut.
"Makanan ni nampak sedap tapi rasanya tak selazat masakan Ye Mei." Walaupun hanya Jun Wu Xie dan Jun Wu Yao yang duduk di hutan buluh, penyediaan makanan diuruskan oleh Ye Sha dan Ye Mei. Pada mulanya Qiao Chu tidak berani datang terlalu kerap, namun mereka tetap muncul sekali-sekala untuk mengecek sedikit makanan.
Sekali makan di situ sahaja sudah cukup untuk Qiao Chu jatuh cinta dengan kemahiran memasak Ye Mei. Dengan tidak malunya dia mula merayu dan mengheret Hua Yao untuk pergi ke hutan buluh kecil itu selang sehari. Dia menggunakan alasan remeh untuk kononnya berbincang dengan Jun Wu Xie tentang rancangan mereka untuk mendapatkan kepingan peta keempat. Tetapi sebenarnya apa yang dia mahukan hanyalah sekali lagi menjamah makanan yang lazat seperti hidangan di syurga.
Hua Yao turut merasa makanan itu. Dia mengangguk sedikit, seolah-olah mengesahkan penilaian Qiao Chu.
Ye Mei yang tersembunyi rapi di sebalik bayang baru sahaja mahu berlalu pergi dengan Ye Sha untuk meninjau-ninjau di Ibu Negara Diraja Negara Yan. Kebetulan pula dia terdengar penilaian jujur dan spontan dari Qiao Chu. Wajah Ye Mei terus menjadi suram.
Namun begitu…
Tidak boleh dinafikan yang itu adalah pujian terhadap masakannya. Kenapa dia langsung tidak gembira mendengarnya?
[Aduh, dia bukannya tukang masaklah!]
[Ya Tuhan! Komen kamu tu tak diperlukan pun ya!]
Ye Sha dalam diam menepuk-nepuk bahu Ye Mei sebagai tanda simpati.
Sebagai saudara yang berhadapan dengan kesengsaraan yang sama, dialah yang paling faham dengan perasaan Ye Mei pada ketika itu.
Tangan-tangan mereka berdua dicipta untuk memegang pedang tajam, mencetuskan kemusnahan dalam ribut berdarah, menimbulkan perasaan gerun yang tidak berkesudahan di dalam hati musuh-musuh mereka. Tapi Tuanku sendiri telah memaksa mereka mempelajari kemahiran memasak, menjahit dan pelbagai kerja-kerja kasar berkaitan pengurusan rumahtangga sampaikan mereka hampir naik gila. Menggunakan pedang pembunuh untuk menyembelih ayam… Malah mereka juga menggunakan jarum pengait demi Tuanku. Hal ini mereka tidak akan sebutkan pada sesiapa pun. Buat selama-lamanya.
"Sebaik kita tinggalkan Alam Bawahan ni, saya bersumpah untuk tak masuk ke dapur walau selangkah pun!" kata Ye Mei sambil mengetap gigi. Matanya membara dengan keyakinan yang teguh.
[Memalukan!]
[Sangat-sangat memalukan!]
Memasak untuk Tuanku dan Cik Muda pun sudah sedikit melampau. Sekarang ini dia dilabelkan pula sebagai "tukang masak yang bagus". Dia langsung tidak mampu berasa bangga!
Ye Sha terus mengangguk tanda faham.
"Tak mahu menjahit lagi!" Sebaik terfikirkan kali pertama dia menyentuh jarum menjahit untuk menyiapkan pakaian bagi kambing biri-biri kecil itu, dia benar-benar mahu menghantukkan kepala ke dinding dan membunuh dirinya.
Walaupun merupakan pembunuh berkemahiran tinggi dan kejam, mereka dipaksa mengambil tugasan yang bersifat lembut dan keperempuanan seperti ini. Kalau berita ini terbocor, mereka berdua akan terus membunuh diri.
Ye Sha mengeluh dan meninggalkan rumah itu bersama-sama Ye Mei dengan hati yang berat.