Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 752 - Negara Yan (3)

Chapter 752 - Negara Yan (3)

"Mulanya Akademi Zephyr ada lebih daripada seribu orang pelajar di kampus utama. Tapi jumlah yang kembali ke akademi kali ni hanya sebahagian kecil daripada jumlah itu. Malah kebanyakan guru-guru juga dah meninggalkan akademi. Sekarang ni, tak ada ramai guru-guru yang masih mengajar di Akademi Zephyr. Pelajar-pelajar pun bukanlah begitu bodoh nak balik semula ke situ. Saya dengar ramai dalam kalangan pelajar yang mewakili Akademi Zephyr sewaktu Kejohanan Pertempuran Roh tahun lalu kini dah berpindah ke Akademi Panji Perang dan Akademi Pembunuh Naga."

"Betulkah? Bukankah Akademi Zephyr masih ada fakulti Pemulih Roh. Itu fakulti yang unik. Kenapa pula begitu ramai yang mahu meninggalkan akademi?" tanya pemuda itu dengan wajah yang kelihatan terkejut. Memandangkan dia datang dari akademi yang tidak begitu dikenali, dia tidak pernah terfikir yang Akademi Zephyr yang begitu gah itu akan tumbang dan jatuh merudum dalam tempoh masa yang begitu singkat.

Pemuda seorang lagi itu tersenyum sinis dan mendengus, "Kalau tak kerana fakulti Pemulih Roh, saya rasa tak ada seorang pun pelajar yang akan kembali. Saya dengar kejadian tu bukan saja melibatkan kedua-dua orang Guru Besar di Akademi Zephyr, tapi ramai para pelajar yang turut terlibat sekali. Ramai dalam kalangan mereka yang terpaksa membayar dengan nyawa mereka. Siapa yang berani kembali ke tempat yang begitu menggerunkan? Tak kiralah betapa hebatnya kekuatan yang kamu boleh capai di akademi tu, nyawa masih lebih penting! Betul tak?"

"Jadi, bukankah itu maksudnya tahun ini Akademi Zephyr akan berdepan masalah besar? Semua pelajar elit mereka dah lari dan Fan Jin pula dah jadi Guru Besar. Jangan beritahu saya yang dia masih layak menyertai kejohanan ini sebagai seorang pelajar?" Sebagai Guru Besar sesebuah akademi, dia tidak sepatutnya perlu bersusah-payah bersaing dengan para pelajarnya di dalam kejohanan itu. Kalau hal ini tersebar, mereka akan dianggap sebagai bahan jenaka.

"Siapa tahu? Tak banyak yang Akademi Zephyr boleh tunjukkan tahun ni. Mungkin dalam cubaan untuk menyelamatkan reputasi mereka yang menyedihkan tu, Fan Jin mungkin benar-benar akan menyertai kejohanan ini. Tapi… kalau sayalah, saya akan beritahu mereka yang memandangkan kedudukan Akademi Zephyr sudah begitu merosot, tak perlulah datang sertai Kejohanan Pertempuran Roh kali ni. Kemunculan mereka di sini akhirnya akan memalukan diri sendiri."

Kedua-dua pemuda ini terus berbual sambil berjalan-jalan di Ibu Negeri Diraja. Di setiap sudut yang mereka lalui, terdengar perbualan dan perdebatan yang hampir sama dengan apa yang mereka bincangkan.

Akademi Zephyr yang dahulunya berprestij dan amat dicemburui telah musnah dalam masa lebih kurang sebulan. Sumber pendapatan mereka yang agak kukuh sebelum ini kini sudah pun menyusut dengan begitu banyak. Setelah para pelajar dan guru yang elit keluar dari kampus utama, Akademi Zephyr hanya mampu bergantung pada para pelajar yang dinaikkan pangkat dari kampus cawangan untuk menyelindungkan keadaan sebenar. Banyak akademi lain yang kini menanti untuk melihat sama ada Akademi Zephyr akan memalukan diri sendiri. Sementara itu, akademi-akademi lain yang berada di kedudukan begitu jauh di bawah berbanding Akademi Zephyr mula menjadi teruja dan menggila. Setiap akademi ini memasang impian untuk merampas kedudukan Akademi Zephyr.

Kereta-kereta kuda dari Akademi Zephyr akhirnya berhenti di hadapan sebuah rumah tumpangan.

Kawasan ini merupakan salah satu daerah yang paling makmur di Ibu Negara Diraja. Satu kawasan yang luas sudah diperuntukkan pada pelbagai akademi sebagai tempat untuk mereka berehat dan memulihkan diri. Semua bangunan di kawasan ini sudah dipenuhi para pelajar dari akademi berbeza. Berbanding dengan tempat-tempat lain di bandar ini, keadaan di sini lebih senyap.

Para pengawal yang memakai perisai ringan sedang berdiri tegak di luar rumah tumpangan tersebut. Sebaik kereta kuda Akademi Zephyr berhenti di situ, kedua-dua pengawal itu sudah pun melangkah menuju mereka.

Di satu bangunan bertentangan, beberapa orang pemuda sedang merenung kereta-kereta kuda Akademi Zephyr dengan mata yang kelihatan mencemuh. Walaupun insiden di Akademi Zephyr cuba disembunyikan, para pelajar yang sudah meninggalkan Akademi itu tidak akan berdiam diri. Kini kekecohan berbelit-belit yang telah melanda seluruh Akademi Zephyr itu sudah tersebar menjadi berita di seluruh dunia!

Para pemuda ini ingin melihat sendiri barisan orang tak guna mana yang Akademi Zephyr hantar untuk mencukupkan jumlah peserta mereka.

Namun begitu,sebaik terlihat orang pertama melangkah keluar dari kereta kuda itu para pelajar yang sedang merenung dan bersedia untuk ketawa itu tiba-tiba terbeliak. Mereka tidak mampu berkata apa-apa!