Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 75 - Khabar Angin

Chapter 75 - Khabar Angin

Jun Wu Xie tidak terfikir tindakan sekecil itu akan mengakibatkan kekecohan yang besar.

Dalam masa setengah hari, wujudnya satu gosip baru.

Jun Wu Xie dari Istana Lin, baru sahaja ditinggalkan oleh Putera Kedua. Namun, sewaktu jamuan hari lahir Putera Mahkota, dia telah menggoda Baginda. Awal pagi tadi Putera Mahkota telah meminta izin dari Maharaja untuk membenarkan gadis itu melawat kediaman Baginda. Selama setengah hari mereka berkurung berdua-duaan di dalam bilik. Malahan sebelum Jun Wu Xie pulang, Putera Mahkota telah menghadiahkan Nektar Jed berharga miliknya. Apa yang lebih mengejutkan ialah Putera Mahkota sendiri telah berjalan bersama Jun Wu Xie sehingga ke kereta kudanya. Selepas gadis itu pulang, dia terpaku lama di situ dan senyum sepanjang masa! Apa maksud semua ini?

Berita ini tersebar luas di dalam Bandar Diraja.

Tuanku Maharaja hanya mempunyai dua orang anak lelaki. Putera sulung Baginda ialah Putera Mahkota Mo Qian Yuan manakala Putera Kedua ialah Mo Xuan Fei.

Reputasi Putera Mahkota jauh mengatasi Putera Kedua. Namun selepas kematian Maharani, Putera Mahkota yang dikenali sebagai seorang yang mempunyai penampilan dan kebijaksanaan luar biasa, telah berubah secara tiba-tiba. Bukan sahaja dia berkelakuan pelik, adabnya turut berubah. Perangainya bertukar sehingga 180 darjah. Reputasinya merosot sehinggakan orang ramai kini sukar untuk membandingkan Putera Mahkota dan Putera Kedua.

Dari segi penampilan, Mo Qian Yuan tidak kalah pada Mo Xuan Fei. Namun disebabkan oleh perangainya yang tidak menentu, orang ramai mula memulaukannya. Sebaliknya, Mo Xuan Fei aktif berinteraksi dengan rakyat biasa dan perlahan-lahan mula mendapatkan sokongan.

Malah pada malam jamuan itu, sewaktu Mo Qian Yuan membela Jun Wu Xie, orang ramai menganggap apa yang dilakukannya itu tidak wajar dan imejnya semakin merosot.

Hari ini orang ramai terkejut mendengarkan Putera Mahkota yang kelakuannya sering berubah-ubah, dipadankan dengan Jun Wu Xie yang kejam itu.

Pasangan ini jarang bertemu, Sebenarnya mereka hanya pernah bertemu dua kali dan kedua-duanya sewaktu jamuan hari lahir Mo Qian Yuan.

Sewaktu jamuan pertama, Jun Wu Xie telah terpikat dengan Mo Xuan Fei dan menggunakan kedudukan keluarganya untuk membolehkan dia bertunang dengan lelaki itu.

Di jamuan kedua, tidak lama selepas pertunangannya dengan Putera Kedua dibatalkan, Jun Wu Xie telah menemui sasaran baru.

Buat seketika, khabar angin mengenai perangai Jun Wu Xie yang gemar bersuka-suka itu tersebar. Ramai yang menganggap Mo Qian Yuan mengambil kembali 'kasut lama' yang telah dibuang oleh Mo Xuan Fei.

Sesetengah orang mencemuh Mo Qian Yuan dan mengatakan dia mempunyai mata tetapi buta. Ada juga yang mengetawakan 'pasangan sampah' yang sempurna ini.

Dalam masa beberapa jam, pelbagai versi cerita ini tersebar dan orang ramai semua memperkatakan tentangnya.

Sewaktu Jun Xian nampak Jun Wu Xie membawa jag berisi wain itu, wajahnya menjadi gelap.

Jemputan secara tiba-tiba dari Mo Quan Yuan itu sudah boleh menimbulkan salah faham. Kini dia menghadiahkan Jun Wu Xie Nektar Jed, hartanya yang berharga?

Memang sudah diketahui umum yang Putera Mahkota amat menghargai Nektar Jed ini. Sehinggakan jika Maharaja sendiri mahu minum wain ini, wajah Putera Mahkota menunjukkan perasaan tidak rela. Pernah terjadi sewaktu jamuan hari lahirnya sebelum ini, Mo Xuan Fei telah minum secawan kecil Nektar Jed. Mo Qian Yuan telah memarahinya dengan amat tegas.

Sejak kejadian itu, semua orang tahu wain berharga ini hanya untuk dirinya sahaja.

Keluarganya sendiri juga tidak layak untuk menikmati wain ini tetapi dia telah memberikan satu jag penuh Nektar Jed yang berharga ini kepada Jun Wu Xie. Siapa yang boleh menjelaskan perkara ini?

Berjuta-juta soalan berada di hujung lidah Jun Xian, namun sebaik terpandang mata Jun Wu Xie yang masih waras, Jun Xian menelan sahaja soalannya.

Memandangkan dia telah dibuli oleh Mo Xuan Fei jahanam itu, bukankah elok jika ada seseorang yang boleh mengalihkan perhatiannya?