Akademi Zephyr telah menghadapi bencana besar. Walaupun krisis itu dapat dielakkan pada saat akhir, segala yang berlaku telah menyebabkan para pelajar dan guru akademi itu berasa gelisah serta takut.
Semuanya kelihatan jelas pada pandangan Fan Jin. Walaupun orang-orang ini tidak berkata apa-apa ketika pulang bercuti pada hujung tahun, setelah tempoh sebulan berlalu, dia menjangkakan kurang daripada separuh yang akan kembali.
Kalau para pelajar tidak kembali kerana mereka berasa takut, memang patutlah. Tapi kalau guru-guru juga meninggalkan akademi, apa yang akan berlaku pada Akademi Zephyr selepas ini?
Ayahnya sudah mati. Dua orang ahli fakulti akademi yang sangat rapat dengannya sehingga dianggap sebagai saudara pula telah mengkhianati mereka. Akademi Zephyr sedang berhadapan dengan krisis yang besar. Fan Jin merasakan dia seolah-olah baru terjaga daripada mimpi. Realiti yang dihadapinya pula merupakan halangan dan cabaran tanpa henti yang tidak terkira jumlahnya, sama seperti bintang-bintang di langit.
"Perlahan-lahanlah, ambil masa. Keadaan pasti jadi lebih baik. Sekurang-kurangnya kita masih hidup," pujuk Fan Zhuo. Dia menepuk-nepuk bahu abangnya.
Fan Jin tersenyum pahit padanya lalu berkata, "Betul tu. Selagi saya boleh mengembalikan kegemilangan Akademi Zephyr, saya percaya lebih ramai yang akan datang. Saya tak akan biarkan akademi ini terus merosot." Fan Jin tidak mahu lagi memikirkan tentang keperitan dan seksaan. Dia cuba kedengaran tabah walaupun dalam situasi itu lalu berkata, "Saya tak boleh terus sakit dan perlu merawat tubuh badan saya ini untuk kembali pulih. Harapnya sempat untuk saya sertai Kejohanan Pertempuran Roh Besar-besaran antara akademi pada tahun depan."
Melihatkan Fan Jin kembali bersemangat, mereka semua berasa lega. Qiao Chu bertanya sambil tersenyum, "Ada Kejohanan Pertempuran Roh antara akademi?"
Fan Jin mengangguk. "Biasanya, setiap akademi akan mengadakan Kejohanan Pertempuran roh masing-masing. Setiap tahun, pelajar di sepuluh tempat teratas dari setiap akademi akan pergi ke Negara Yan dan bertanding dalam kejohanan antara akademi. Tahun lepas Akademi Zephyr dapat mencapai kedudukan yang agak bagus juga."
Fan Jin bercakap secara bersahaja. Tetapi setelah mendengar kata-katanya, Qiao Chu yang tersengih nakal itu tiba-tiba merenung Fan Jin dengan mata terbeliak.
"Kamu kata tadi kejohanan itu akan diadakan di mana?"
Fan Jin mengulangi kata-katanya, "Negara Yan. Ketika ini, Negara Yan merupakan kuasa paling besar. Mereka juga yang menganjurkan Kejohanan Pertempuran Roh Besar-besaran antara akademi di mana mereka menjemput semua akademi yang bertanding pada tahun sebelumnya. Dalam masa sebulan lagi tahun baru akan bermula. Saya rasa kejohanan itu akan diadakan pada waktu itu."
Kejohanan Pertempuran Roh Akademi Zephyr tahun ini telah dibatalkan disebabkan kekecohan yang melanda mereka. Pelajar yang memegang kedudukan sepuluh teratas pada tahun lepas pula hanya separuh sahaja yang masih ada di akademi. Fan Jin bercadang mahu cepat-cepat pulih supaya dia boleh mewakili Akademi Zephyr di dalam pertandingan itu.
Qiao Chu dan rakan-rakannya saling bertukar pandangan dengan satu sama lain.
Kata-kata Fan Jin itu terus menarik perhatian mereka. Ini kerana, kepingan peta seterusnya yang menjadi sasaran mereka secara kebetulan berada di Negara Yan!
"Di kawasan Negara Yan mana pertandingan ini akan diadakan?" tanya Jun Wu Xie secara tiba-tiba. Dia juga terfikirkan hal yang sama.
Fan Jin tidak sedar yang kata-katanya telah menarik perhatian semua orang di situ. Dia memberitahu mereka sambil tersenyum. "Di Ibu Negara Diraja Negara Yan. Kejohanan Pertempuran Roh Besar-besaran ini selalunya menarik ramai orang dan biasanya dianjurkan oleh Negara Yan. Tapi kalau difikirkan dari sudut yang lain, Negara Yan sanggup melakukannya supaya mereka boleh meluaskan jaringan untuk merekrut bakat baru. Khabarnya, Keluarga Diraja Negara Yan akan memerhatikan kejohanan ini secara senyap-senyap. Kalau mereka mendapati ada pelajar yang berbakat besar, mereka akan menghampiri pelajar ini secara peribadi dan cuba merekrut mereka. Kedudukan saya tahun lepas tidaklah begitu tinggi, jadi saya tidak menerima layanan sebegitu. Tapi saya dengar ada beberapa orang yang mendapat kedudukan sepuluh tertinggi di Kejohanan Pertempuran Roh yang terus tinggal di Negara Yan setelah berakhirnya kejohanan."
Fan Jin cuma memberitahu mereka untuk sekadar berkongsi berita yang menarik.
Tetapi setelah mendengar tentang hal ini, Jun Wu Xie dan yang lain menjadi begitu teruja.
Mata Jun Wu Xie menunjukkan dia sedang berfikir dengan mendalam. Pada mulanya mereka mahu terus menuju Negara Yan untuk mencari lokasi kepingan peta keempat sebaik Fan Jin sedar. Tidak pernah sekali pun mereka terfikir yang Kejohanan Pertempuran Roh antara akademi akan diadakan di Negara Yan. Mereka kini berada di Akademi Zephyr dan boleh muncul di sana secara sah sebagai wakil akademi. Dengan cara ini, mereka tidak akan menarik perhatian yang tidak diingini.