Semua pelajar Akademi Zephyr dari segenap sudut sedang merenung Ning Rui dengan kebencian yang membara di mata mereka. Kata-kata cemuhan yang Ning Rui lemparkan ketika dia begitu yakin akan beroleh kemenangan tadi tiba-tiba memakan dirinya, ibarat pedang tajam yang tergantung di atas kepalanya.
Lelaki ini yang cuba menggunakan nyawa semua orang di Akademi Zephyr untuk mendapatkan kekuatan dan kekuasaan akhirnya akan menghadap pengadilan!
Fan Zhuo tidak terus mencabut nyawa Ning Rui dan Gongcheng Lei, tetapi hanya memenjarakan mereka. Walaupun kebenciannya yang membara itu mahu memaksanya untuk menghiris mereka seribu kali ketika itu, dia tetap menahan dirinya. Orang yang perlu melihat mereka dihukum bukanlah dia, tetapi Fan Jin.
Para pengawal mengheret Ning Rui pergi bersama-sama dengan Gongcheng Lei. Tanpa sedar, Fan Zhuo berpaling memandang Fan Jin. Wajah yang tidak asing baginya ini memedihkan matanya. Di dalam hatinya, dia sedar yang ini bukanlah abang kesayangannya…
Krisis di Akademi Zephyr sudah pun selesai dan semua orang di situ akhirnya mengeluh lega. Mereka merasakan seolah-olah sudah mendapat nyawa baru setelah ditarik keluar dari keadaan putus harapan. Semua di situ amat berterima kasih dengan Jun Xie yang telah menyelamatkan mereka semua. Mereka juga turut menghormati dan mengagumi lelaki yang amat berkuasa itu.
Gu Ying telah mengalami kecederaan parah. Ning Rui dan orang-orangnya telah dipenjarakan. Bencana yang melanda Akademi Zephyr akhirnya dapat dipatahkan.
Baru-baru ini Akademi Zephyr mengalami begitu banyak cabaran dan mereka amat perlu mengembalikan diri ke landasan yang betul. Menurut peraturan, jawatan Guru Besar perlu diambil alih oleh Fan Jin. Dia tersenyum mesra dan terus menerimanya. Arahan pertamanya sebagai Guru Besar Akademi Zephyr ialah menyuruh para pelajar dan guru untuk kembali dan berehat. Dia memberitahu yang Akademi Zephyr akan bercuti selama beberapa hari untuk membolehkan semua orang bertenang.
Keadaan semakin reda sekarang ini tetapi Jun Wu Xie masih tidak dapat kembali ke rumahnya.
Jun Wu Yao memegang tangan kecil Jun Wu Xie dan bergerak menuju hutan buluh kecil.
"Kamu ni memang gadis kecil yang berani. Baru saja belajar meningkatkan kuasa ke roh ungu dah berani berlawan? Kalau Abang tak sampai tepat pada masanya tadi, kamu nak cedera lagi?" Jun Wu Yao membawa Jun Wu Xie duduk di sebuah meja. Ye Mei dan Ye Sha yang mengekori mereka hanya diam sahaja. Mereka berdua kemudiannya menundukkan kepala dan perlahan-lahan berundur untuk berdiri di pintu. Kedua-duanya berusaha sedaya-upaya untuk menyembunyikan kehadiran mereka.
"Kenapa Abang ada di sini?" Jun Wu Xie tidak menjawab soalan Jun Wu Yao, sebaliknya lebih berminat dengan kemunculan tiba-tibanya itu.
Jun Wu Yao datang dan pergi secara mengejut. Jun Wu Xie tidak tahu ke mana dia pergi selama ini.
Jun Wu Yao menjawab, "Ye Mei datang cari Abang. Dia kata kamu hilang di dasar Cenuram Penghujung Syurga."
Jun Wu Xie terdiam seketika. Setelah memikirkan kembali saat ketika dia bertemu semula dengan yang lain barulah dia teringat yang dia tidak terlihat Ye Mei bersama-sama mereka. Rupa-rupanya Ye Mei telah pergi mencari Jun Wu Yao.
"Jadi macam mana Abang boleh ke sini pula?" Jun Wu Xie teringat yang Cenuram Penghujung Syurga itu agak jauh dari Akademi Zephyr.
"Mestilah Abang pergi ke mana saja kamu pergi," kata Jun Wu Yao sambil ketawa. Ketika dalam separuh perjalanan mencari Jun Wu Yao, Ye Mei menerima maklumat yang Ye Sha hantarkan kepadanya, mengatakan Jun Wu Xie sudah ditemui. Tetapi memandangkan Ye Mei ada hal yang perlu dilaporkan pada Jun Wu Yao, dia telah meneruskan pencariannya.
Ketika itulah Jun Wu Yao akhirnya tahu tempat yang digelar Cenuram Penghujung Syurga itu sebenarnya adalah makam Maharaja Kegelapan. Nampaknya Adik Xie ini begitu berminat dengan artifak-artifak yang dikuburkan di "makam" tersebut.
"Kebetulan saja. Sebaik Abang tiba, Abang lihat kamu dalam masalah. Kamu nak cedera lagi dan bergadai nyawa menentang lelaki tadi?" tegur Jun Wu Yao dengan lembut sambil memegang tangan Jun Wu Xie. Jari-jemari Jun Wu Xie begitu runcing. Hujung jarinya bulat dan lembut. Kukunya yang berwarna merah jambu itu ibarat kuntuman bunga dan begitu cantik untuk dipandang. Jun Wu Yao menggenggam dan bermain-main dengan tangan kecil itu tetapi Jun Wu Xie nampaknya tidak merasakan apa-apa. Wajahnya tenang dan tidak berperasaan. Jun Wu Yao pula tidak dapat menahan dirinya daripada memicit-micit hujung jari Jun Wu Xie pula.
Tangan itu begitu kecil dan terasa lembut ketika disentuh.
"Tak," kata Jun Wu Xie sambil memandang lelaki yang telah mempunyakan tangannya dan sedang memicit tangannya itu tanpa henti. Kemudian Jun Wu Xie menyambung, "Saya tak cedera."