Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 730 - Tamparan Kelapan (11)

Chapter 730 - Tamparan Kelapan (11)

Fan Jin mematahkan segala pernyataan yang Ning Rui suarakan sehinggakan dia tidak boleh lari lagi. Dia terlihat pandangan mata para pelajar dan guru Akademi Zephyr yang dipenuhi perasaan tidak percaya dan benci. Jelas sekali mereka sudah mula mempercayai kata-kata Fan Jin.

Tambahan pula, sebaik Fan Zhuo mendedahkan identiti sebenar Fan Jin, alasan Ning Rui yang menuduh Fan Jin membunuh Fan Qi kerana menginginkan kedudukan Guru Besar sudah pun dapat disangkal!

Selain itu, penjelasan Fan Jin mengenai kejadian yang berlaku itu jelas dan tepat. Ini membuatkan orang lain sedar yang jika Fan Jin mahu membunuh Fan Qi, dia tidak akan merancanganya dengan begitu teruk sehinggakan dirinya begitu mudah ditangkap!

Mereka berdua pasangan ayah dan anak. Fan Jin sentiasa mempunyai hubungan yang rapat dengan Fan Qi. Ini membuktikan lagi yang Fan Jin tidak akan ada sebab yang kukuh untuk membunuh Fan Qi.

Sebaliknya Ning Rui pula…

Nasib Ning Xin sudah diketahui ramai dan mereka memuji-muji Ning Rui yang menghukum anaknya sendiri atas nama keadilan. Tetapi sekarang ini nampaknya pada ketika itu Ning Rui tidak mempunyai pilihan lain!

Pandangan tajam yang semua orang lemparkan padanya membuatkan Ning Rui berpeluh-peluh. Gongcheng Lei yang berdiri di sebelahnya sudah kelihatan pucat lesi. Dia memandang Fan Jin dengan gelisah, memikirkan apa yang Fan Jin masih ingat tentang hari kejadian itu. Gongcheng Lei juga tertanya-tanya jika Fan Jin ingat yang dia telah bersubahat dengan Ning Rui...

Ning Rui sedar yang dalam keadaan sekarang ini, tak kira betapa dia memutarbelitkan fakta, dia tetap tidak akan dapat menafikan penglibatannya dalam hal ini lagi!

Fan Zhuo ada di sisi Fan Jin. Selagi Fan Zhuo berada di situ sebagai saksi dan mengesahkan identiti Fan Jin, sebarang bantahan yang Ning Rui suarakan hanya akan menyebabkan dia dianggap sebagai bahan jenaka.

Ning Rui menggenggam penumbuknya dengan kuat. Dia tidak dapat menerima yang hidupnya akan berakhir di sini tak lama lagi. Dia hanya memerlukan selangkah lagi untuk menyelesaikan keseluruhan isu ini. Dia cuma perlu membawa para pelajar Akademi Zephyr ini ke Cenuram Penghujung Syurga. Gu Ying tidak akan mengganggunya lagi selepas itu dan dia boleh mengekalkan kedudukannya sebagai Guru Besar Akademi Zephyr. Kalau pun seluruh pelajar dan guru Akademi Zephyr terkorban dalam ekspedisi ini, dia dengan mudahnya boleh mengambil para pelajar kampus cawangan. Dalam masa beberapa tahun sahaja, dia boleh mendapatkan kembali status Akademi Zephyr sebagai salah satu akademi terbaik di seluruh dunia! Dia boleh menjadi Guru Besar Akademi Zephyr yang disegani!

Status dan kedudukan yang diimpikan seluruh hidupnya kini berada di depan matanya dan hampir dapat dicapai. Tapi semua ini dihancurkan oleh dua orang budak remaja yang telah merosakkan rancangannya dan menghancurkan impiannya!

Mana mungkin Ning Rui tidak membenci mereka!?

Kini tidak ada cara lagi untuk dia menyelamatkan keadaaan. Cuma...

Ning Rui berpaling dan menumpukan pandangan matanya yang berbisa itu pada Gu Ying yang sedang jauh mengelamun di sisinya. Sinar kejahatan muncul di mata Ning Rui yang tiba-tiba berkilauan.

[Kalau Fan Jin dilepaskan daripada tuduhannya pun apa gunanya? Kalau niat jahatnya sudah terdedah di hadapan semua orang, apa masalahnya?]

[Semua orang di Akademi Zephyr ini tidak akan hidup lebih lama pun. Sebaik sampai di Cenuram Penghujung Syurga, mereka akan mati di sana. Tak ada siapa yang akan tahu tentang kejadian yang berlaku hari ini!]

"Gu Ying, kamu masih mahu orang-orang ini pergi ke Cenuram Penghujung Syurga?" tanya Ning Rui dengan suara yang perlahan, berbisik pada Gu Ying yang berada di sebelahnya.

Gu Ying sedang cuba menentukan sama ada Jun Xie berada di dalam kereta kuda itu apabila dia tiba-tiba terdengar kata-kata Ning Rui. Dia berkerut sedikit dan bertanya, "Apa? Kamu nak tarik diri?"

Sebaliknya Ning Rui ketawa dan berkata, "Saya tak akan mungkir janji. Tapi ada orang-orang di sini yang cuba mengganggu rancangan kita. Kamu dah berniat untuk menghapuskan ketiga-tiga orang ahli Keluarga Fan selama ini dan dua orang yang kita lepaskan dulu sudah datang menyerah diri. Baik hati mereka kerana tidak membuatkan kita membazir masa mencari mereka, bukan?"

Gu Ying mengangkat keningnya dan membalas dengan ringkas, "Kalau kamu mahu mereka mati, saya boleh bunuh saja."

Dia tidak berminat dengan Fan Zhuo dan Fan Jin pada ketika itu. Satu-satunya hal yang dia ingin tahu ialah lokasi Jun Xie, orang yang telah memperdayakannya berkali-kali!

Setelah mendapatkan persetujuan Gu Ying, Ning Rui berasa sedikit lega. Riak wajahnya tidak lagi kelihatan gerun. Selagi mereka semua mati, tiada siapa yang akan tahu tentang perbuatan jahatnya. Dia akan tetap kekal sebagai Guru Besar, satu kedudukan yang sering dia impikan!