Gu Li Sheng tak pasti bagaimana riak wajahnya ketika itu, tetapi kata-kata Hitam Kecil membuatkan dia sedar yang ketika Jun Wu Xie meminta Wen Xin Han melepaskan Fan Jin dari kurungan, matlamatnya melebihi hanya sekadar menyelamatkan Fan Jin!
Dia mahu menggunakan saat ketika perhatian semua orang, termasuklah Gu Ying dan Ning Rui, tertumpu pada tindak-tanduk Wen Xin Han. Jun Wu Xie membuatkan perhatian mereka teralih daripada fakulti Pemulih Roh.
Itu akan memberikan fakulti Pemulih Roh satu-satunya peluang untuk melarikan diri!
Gu Li Sheng tidak berfikir lebih lanjut lagi dan terus memberitahu semua pelajarnya untuk berkumpul secepat mungkin di belakang Hitam Kecil. Seketika kemudian, mereka semua keluar dari fakulti Pemulih Roh dan duduk di dalam kereta kuda yang telah disediakan di hadapan pintu pagar. Mereka kemudiannya bergerak menuju Bandar Chan Lin.
Sebaik tiba di Bandar Chan Lin, Gu Li Sheng menguruskan penginapan para pelajarnya. Setelah itu dia duduk di dalam bilik tanpa melangkah keluar.
Dia merasakan seolah-olah telah sipi-sipi terselamat daripada cengkaman maut. Seluruh tubuhnya dirasakan amat tegang.
"Kalau saya tak suruh kamu meninggalkan akademi ketika itu, kamu nak tunggu sampai bila lagi?" tanya Jun Wu Xie pada Gu Li Sheng. Nada suaranya seperti ingin tahu.
Mulut Gu Li Sheng ternganga. Jun Wu Xie mengatakan semua ini dengan mudah dan logik, tetapi tidakkah dia sedar yang dia baru dua hari pulang ke Akademi Zephyr dan tanpa pengetahuan sesiapa pun, dia telah merancang sesuatu yang licik. Rancangannya… dilaksanakan dengan sempurna!
Adakah seorang gadis muda berusia empat belas mampu bertindak begini? Gu Li Sheng benar-benar berharap yang dia boleh menyelami minda Jun Wu Xie pada ketika itu untuk melihat apa isi di dalamnya.
"Betul, itu memang saat terbaik. Bila kamu membuat rancangan licik ni? Membuatkan Wen Xin Han membuat kekacauan untuk menarik perhatian semua orang supaya kami berpeluang melepaskan diri daripada cengkaman mereka. Semua kereta kuda dan rumah tumpangan…" Gu Li Sheng amat kagum dengan Jun Wu Xie. Dalam masa dua hari sahaja dia berjaya mengatur rancangan yang begitu sempurna dan membuat setiap persiapan yang diperlukan. Daripada kereta-kereta kuda yang menanti di luar kawasan fakulti sehinggalah tempat tinggal mereka sebaik sampai ke Bandar Chan Lin. Tidak ada satu perincian pun yang tertinggal.
Kalau tak kerana dia tahu yang Jun Wu Xie telah meninggalkan Akademi Zephyr sebegitu lama sebelum ini dan baru sahaja pulang dua hari yang lalu, pasti Gu Li Sheng menyangkakan Jun Wu Xie sudah merancang semuanya sejak hari Fan Qi dibunuh.
"Sebaik saya dengar Wen Xin Han ada di situ." Jun Wu Xie tidak menyembunyikan apa-apa dan menjawab soalan Gu Li Sheng dengan bersahaja.
Mata Gu Li Sheng terbeliak. Dia merenung Jun Wu Xie dengan perasaan tidak percaya.
Berapa lama? Dia dapat tahu setelah pulang ke Akademi Zephyr? Separuh hari!?
"Fan Zhuo menginap di rumah tumpangan ini. Kamu beritahulah dia… tentang Fan Qi dan Fan Jin," kata Jun Wu Xie sambil tunduk. Kenapa dia tidak bertemu sendiri dengan Fan Zhuo sebaik sampai ke sini?
Entah mengapa, Jun Wu Xie yang sentiasa tenang itu tiba-tiba merasakan kata-kata tersebut… tak mampu diucapkannya.
Jadi dia datang untuk meminta Gu Li Sheng melakukannya.
"Beritahu dia sekarang?" Setelah mendengar nama Fan Zhuo, senyuman di wajah Gu Li Sheng terus lenyap dan digantikan dengan riak wajah kesedihan.
[Menyatakan kata-kata itu pada Fan Zhuo pasti akan memberikan tamparan yang besar terhadapnya!]
[Dalam tempoh sebulan yang singkat, keluarganya terpisah dan ada ahli keluarganya sudah meninggal dunia…]
Jun Wu Xie mengangguk perlahan.
"Dia perlu tahu. Kalau tidak, langkah seterusnya tidak dapat diteruskan…"
Ketika mendengar jawapan Jun Wu Xie, Gu Li Sheng tahu gadis itu pasti ada merancang sesuatu. Maka dia tidak bertanya lebih lanjut lagi. Dia cuma bertanyakan di mana Fan Zhuo berada dan bingkas bangun untuk bertemu dengannya.
Jun Wu Xie duduk membatu di meja itu. Dia hanya menggigit bibirnya sambil berfikir.
[Kalau dia dianggap sebagai doktor dewa dan genius pun apa gunanya? Dia masih lagi gagal menyelamatkan ayah Fan Zhuo…]