Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 709 - Bersedia untuk Membalas (8)

Chapter 709 - Bersedia untuk Membalas (8)

"Kita tak sepatutnya tahu tentang kewujudan Tiga Alam. Tapi tak lama dulu, penyakit cucu saya berjaya Cik Muda Jun sembuhkan. Kerisauan yang mencengkam hati saya sejak sekian lama akhirnya lenyap. Tanpa disangka-sangka, ini membolehkan saya mengembangkan kuasa dan mencapai tahap roh ungu," kata Wen Xin Han dengan berhati-hati sambil mengeluh panjang.

Wen Xin Han sendiri pun tidak menyangka dia boleh mencapai tahap roh ungu yang begitu tinggi itu.

Jun Wu Xie bukan sahaja menyelamatkan nyawa cucunya, tetapi turut menghilangkan kemelut di dalam hatinya yang telah menghalang dia daripada mencapai peringkat yang tidak terjangka ini.

Kira-kira sebulan selepas Wen Xin Han mencapai tahap roh ungu, seorang lelaki misteri tiba-tiba muncul di tempat di mana dia berada. Wen Xin Han hidup terasing di dalam kawasan gunung sejak sekian lama. Lokasi tempat itu dirahsiakan dan dia tidak pernah menyebutnya pada orang lain sebelum ini. Namun lelaki misteri itu tetap berjaya mencarinya. Sebelum Wen Xin Han sempat bertanyakan apa-apa, lelaki itu terus menyerangnya.

Wen Xin Han baru sahaja mencapai tahap ungu pada ketika itu dan kuasa rohaninya telah meningkat dengan banyak. Dia menyangkakan yang dia akan dapat mengalahkan lawannya dengan mudah. Namun tanpa disangka-sangka, setelah bertempur selama tiga hari tiga malam pun mereka masih tidak dapat menentukan siapakah pemenangnya. Hanya selepas mereka berdua tidak lagi dapat terus bertempur barulah mereka berhenti dan pertarungan itu berakhir.

Selepas itu lelaki tersebut menyerahkan jemputan kepada Wen Xin Han dan memberitahunya tentang Tiga Alam.

Pada ketika itu barulah Wen Xin Han mendapat tahu yang dunia yang mereka semua diami ini dipanggil Alam Bawahan. Di atas mereka terdapat suatu tempat yang dinamakan Alam Pertengahan. Lelaki misteri itu mendakwa dia datang daripada Alam Pertengahan, dari tempat yang dipanggil Tokong Naga.

Menurut lelaki itu, hanya orang yang sudah mengembangkan kuasa dan mencapai roh tahap ungu akan layak untuk masuk ke Alam Pertengahan. Dahulu, semua orang di Alam Bawahan yang dapat mencapai tahap ini akan menerima jemputan daripada Alam Pertengahan. Sebab itulah pemilik roh ungu yang muncul di Alam Bawahan dahulu akan lenyap selepas beberapa lama. Jemputan itu sah selama satu tahun.

Dalam masa setahun, jika Wen Xin Han bersetuju, dia akan memaklumkan mereka dengan cara menulis surat. Kemudian mereka akan mengaturkan untuk membawa Wen Xin Han masuk ke Alam Pertengahan.

Kalau Wen Xin Han mahu menolak, dia tidak perlu berbuat apa-apa. Tawaran tersebut akan lupus sebaik tamat tempoh satu tahun.

Dalam sejarah Alam Bawahan, ada beberapa orang yang sudah mencapai tahap ungu. Tetapi selepas mendapat kemasyhuran yang tidak tercapai tingginya, mereka biasanya akan lenyap tanpa kesan. Hanya seorang dua sahaja yang akan tetap ada dan terus diperkatakan. Akhirnya, jumlah pemilik roh tahap ungu semakin menurun di Alam Bawahan sehinggakan dalam tempoh seratus tahun ini Wen Xin Han adalah yang pertama mendapat jemputan ke Alam Pertengahan.

Lelaki yang memberikan jemputan tersebut pada Wen Xin Han telah berjanji, jika Wen Xin Han menerimanya, dia akan dapat mengejar kuasa yang tiada tandingannya. Kuasa yang lebih tinggi daripada tahap ungu.

Setelah dapat mencapai tahap ungu, seseorang itu perlu mengejar kuasa yang lebih kuat sepanjang hidup mereka demi mengatasi diri mereka sendiri. Jaminan bahawa mereka akan dapat mencapai kuasa yang lebih kuat semestinya merupakan godaan terhebat bagi mereka.

"Lelaki misteri itu kelihatan seperti baru berusia empat puluhan dan dia sudah pun setanding dengan saya dalam pertempuran. Ini membuatkan saya tertanya-tanya bagaimana orang muda seperti itu dapat mencapai kuasa yang begitu hebat. Sebaliknya dia memberitahu saya bukan dia sahaja, anak-anak remaja di Alam Pertengahan juga mampu melakukannya. Berkenaan dengan Gu Ying pula, walaupun saya tak pernah lihat betapa kuat atau lemahnya kuasa roh yang dia ada dalam keadaan biasa. Tetapi saya pernah menyaksikan kuasa roh ungu yang dilepaskannya. Saya sudah menjangkakan sesiapa sahaja yang mampu memiliki kuasa begitu pada usia yang muda pastinya datang dari Alam Pertengahan," kata Wen Xin Han sambil mengeluh. Dia tidak mahu melibatkan diri dalam konflik di Akademi Zephyr kerana ada orang-orang Alam Pertengahan yang terlibat. Dia tidak mahu masuk campur dalam urusan mereka.

"Cik Muda Jun, melainkan benar-benar perlu, lebih baik kita tidak menimbulkan kemarahan orang-orang dari Alam Pertengahan." Wen Xin Han ikhlas ingin melindungi Jun Wu Xie. Walaupun Wen Xin Han sudah mencapai tahap ungu, dia juga tidak berani untuk bersikap terlalu yakin setelah melihat sendiri kekuatan Alam Pertengahan.