Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 710 - Bersedia untuk Membalas (10)

Chapter 710 - Bersedia untuk Membalas (10)

"Macam mana kalau saya perlu menentang mereka?" Jun Wu Xie memandang Wen Xin Han dengan wajah yang serius.

Wen Xin Han terkejut seketika sebelum membalas dengan nekad, "Saya tak akan mungkir janji."

Jun Wu Xie mengangguk sedikit setelah mendengar Wen Xin Han menyatakan tekadnya.

"Kamu tak perlu berdepan dengan Gu Ying, hanya perlu jaga Fan Jin sepanjang tempoh ini. Pastikan dia terus hidup. Ini cukup untuk menunaikan janji kamu pada saya." Ketika mengatakan dia mahu menggunakan nyawa Wen Xin Han, Jun Wu Xie bermaksud mahu meminta dia bergadai nyawa bagi melindungi Fan Jin.

Wen Xin Han kelihatan terkejut lalu berkata, "Cik Muda Jun tak perlu kata begitu. Fan Jin itu anak kawan lama saya. Kalau Cik Muda Jun tak cakap pun saya tetap akan melindunginya."

Jun Wu Xie menggelengkan kepala.

"Saya mahu kamu bebaskan dia dari penjara. Secepat mungkin."

Jika Fan Jin dibiarkan terkurung, walau nyawanya dapat dilindungi sekali pun, dia masih akan diseksa dengan dahsyat. Kini setelah Jun Wu Xie kembali, dia tidak boleh sekadar berdiam diri dan tidak berbuat apa-apa!

Wen Xin Han terdiam seketika.

"Cik Muda Jun pasti?"

Jun Wu Xie mengangguk tegas.

Wen Xin Han mempertimbangkan hal ini seketika sebelum berkata, "Baiklah. Saya akan bebaskan dia hari ini. Tapi kamu perlu tahu walaupun dia terlepas hari ini, selamanya dia akan menanggung kesalahan membunuh ayahnya." Bukannya Wen Xin Han berat hati untuk melepaskan Fan Jin. Tapi kalau dia melarikan diri, Fan Jin tidak akan membersihkan namanya daripada segala tuduhan. Dia akan dipaksa hidup dalam persembunyian dan melupakan namanya untuk mengelak daripada dikeji dan dihina. Fan Jin seorang budak yang telus dan periang. Jika dia dipaksa menanggung beban jenayah yang tidak dilakukannya dan menghadapi malu dan hanya bersebunyi seumur hidupnya, ini adalah satu penghinaan kejam terhadap nama Keluarga Fan.

Sebab itulah Wen Xin Han mahu mencari bukti yang menyatakan Fan Jin tidak bersalah.

Jun Wu Xie memandang tepat ke mata Wen Xin Han lalu berkata, "Saya akan bersihkan namanya."

Kalau dia bertindak, dia pasti akan memastikan semuanya berjalan lancar sehingga ke akhirnya supaya mereka tidak ada sesalan nanti.

"Baiklah." Wen Xin Han memberi kepercayaan penuh pada Jun Wu Xie dan tidak meminta apa-apa lagi.

Jun Wu Xie kemudian menyuruh Wen Xin Han membawa Fan Jin ke Bandar Chan Lin setelah melepaskannya dari penjara.

Selepas mengatakan apa yang perlu, Jun Wu Xie terus berlalu pergi. Tempoh perbualan mereka singkat, tapi niat mereka sudah dinyatakan dengan jelas. Ketika Jun Wu Xie melangkah keluar dari pejabat itu, Gu Ying masih menanti di luar pintu dan merenungnya sambil tersenyum lebar. Jun Wu Xie terus berjalan tanpa memberikan sebarang reaksi dan Gu Ying mengekorinya.

Selepas Gu Ying dan Jun Wu Xie beredar, Gu Li Sheng berterima kasih pada Wen Xin Han sekali lagi. Walaupun dia mahu menyelamatkan Fan Jin, dia tidak mampu melakukannya. Tetapi memandangkan Jun Wu Xie berjaya membuatkan Wen Xin Han membantu mereka, hal ini tidak lagi menjadi masalah.

"Selepas ini kami terpaksa menyusahkan Senior Wen untuk menjaga Fan Jin buat sementara waktu," kata Gu Li Sheng dengan ikhlas.

Wen Xin Han mengangguk dan hilang tanpa jejak.

Gu Li Sheng mendapati dirinya berdiri kaku di dalam pejabat yang tiba-tiba kosong. Seluruh badannya tegang. Jun Wu Xie tidak banyak bercakap selain meminta Wen Xin Han membawa Fan Jin pergi dari situ. Tetapi Gu Li Sheng tahu yang Jun Wu Xie pasti mempunyai rancangan balas yang hebat. Sebaik menyedari hakikat ini, darahnya membuak-buak dan dia berasa amat teruja. Penumbuknya digenggam dengan ketat, tak sabar-sabar menantikan ketibaan hari pembalasan itu.

Petang itu, ketika Gu Ying dan Jun Wu Xie sedang makan malam, Gongcheng Lei tiba-tiba berlari masuk dengan muka yang pucat lesi.

"Tuan Muda Gu! Ada masalah!" Gongcheng Lei menjeling sekilas pada Jun WU Xie yang sedang duduk di sisi kemudian berpaling dengan cemas untuk memandang Gu Ying,

"Oh? Apa yang dah berlaku?" Gu Ying bertanya perlahan-lahan sambil memandang Gongcheng Lei. Sejak makan malam semalam, Jun Xie enggan menikmati hidangan dengan Ning Rui. Gu Ying tidak kisah kerana setelah mendapati Jun Wu Xie tidak memberikan reaksi terhadap keadaan Fan Jin yang menyedihkan itu, dia terus hilang minat untuk terus menggunakan cara sebegitu untuk mencemuh Jun Xie lagi.