Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 704 - Bersedia untuk Membalas (3)

Chapter 704 - Bersedia untuk Membalas (3)

Selepas beberapa lama, Jun Wu Xie akhirnya menghabiskan nasinya. Dia meletakkan kayu penyepitnya dan duduk dengan diam sambil menunggu. Ketika itu, satu susuk tubuh yang tidak asing baginya diheret masuk melalui pintu oleh Gongcheng Lei.

Ketika pandangan mata Jun Wu Xie tertumpu pada orang itu, hatinya bergetar sedikit. Tetapi reaksi itu tidak kelihatan pada luaran dan mata Jun Wu Xie masih tampak dingin.

Gongcheng Lei telah mengheret Fan Jin sejauh ini secara paksa!

Pemuda yang dahulunya tampan dan bergaya serta berada di kemuncak keremajaannya, kini kelihatan menyedihkan. Wajahnya cengkung, badannya kurus kering. Bajunya yang berlumuran darah itu begitu kotor sehinggakan warna asalnya tidak lagi dapat dilihat. Wajah yang sering gembira dan dihiasi gelak ketawa itu kini tidak menunjukkan perasaan. Mata yang dahulunya bersinar-sinar kini kelihatan malap. Fan Jin hanya mampu merenung kosong.

Bibir Fan Jin yang kering itu terbuka sedikit. Kekurangan air telah menyebabkan bibirnya menjadi begitu kering sehingga merekah dan luka. Sedikit darah mengalir dari sisi bibirnya terus ke rahang dan dagunya. Pakaiannya yang kotor itu melindungi tubuhnya yang kini tinggal tulang. Badannya tidak lagi sasa dan berotot sehinggakan pakaiannya menjadi amat longgar. Fan Jin kini jauh lebih kurus berbanding Fan Zhuo ketika adiknya itu sakit tenat dahulu! Rambut Fan Jin kusut masai dan dikotori rumput dan debu.

Kaki dan tangannya dirantai. Gongcheng Lei memegang rantai itu dan mengheret Fan Jin yang diam dan tidak bermaya itu. Fan Jin dipaksa bergerak selangkah demi selangkah sehingga sampai ke hadapan Jun Wu Xie!

Pada setiap langkahnya, rantai yang tebal di buku lalinya akan memukul lantai. Bunyi dentang denting itu bergema di telinga mereka.

Siapa yang akan mengaitkan pemuda gila yang kelihatan seperti pengemis ini dengan Tuan Muda Sulung Keluarga Fan yang pernah menggemparkan Akademi Zephyr?

Kalau tak kerana rupa paras Fan Jin masih tidak banyak berubah, Jun WU Xie tidak akan dapat mengenalinya.

Jun Wu Xie sudah tahu yang keadaan Fan Jin amat teruk berdasarkan kejadian yang menimpanya. Tetapi dia tidak menyangka keadaan Fan Jin seteruk apa yang dilihatnya kini!

Mujurlah ada Wen Xin Han yang melindunginya. Kalau Wen Jin Han tidak ada di situ, Fan Jin tentu sudah mati, sudah menjadi mayat!

Disebabkan kematian Ning Xin, Ning Ruo menjadi begitu benci terhadap Fan Jin dan Keluarga Jun. Pada ketika ini dia tidak mampu untuk menentang Istana Lin dan Fan Qi pula sudah dibunuh. Jadi dia menumpukan segala kekejaman dan kebenciannya hanya pada Fan Jin.

Memanglah Fan Jin masih hidup.

Tapi… kehidupan seperti ini lebih menyeksakan daripada kematian.

Dalam keadaan begini, nasib baik Fan Jin sudah hilang akal. Kalau tidak, pasti dia tidak akan dapat bertahan selama ini.

Imej keadaan Fan Jin ketika itu terpahat kemas di minda Jun Wu Xie. Matanya masih lagi tenang, tetapi mindanya sudah pun menganalisa pelbagai masalah kesihatan yang sedang dan mungkin melanda Fan Jin.

Kekurangan air, keradangan, demam panas…

Hakikat yang Fan Jin masih hidup sehingga ke hari ini pun sudah boleh dianggap sebagai keajaiban.

"Fan Jin, kamu dah sampai. Mari duduk." Wajah Ning Rui kelihatan lembut. Dia tersenyum, berpura-pura sebagai orang tua yang mesra.

Tapi Fan Jin tidak lagi menyedari apa-apa. Dia tidak tahu apa yang Ning Rui katakan. Berbeza dengan nada suara dan kelakuan Ning Rui yang "lembut", wajah Gongcheng Lei kelihatan gelap. Dia terus menyeret Fan Jin yang terhincut-hincut itu ke meja. Kelakuannya yang ganas dan kasar itu membuatkan Fan Jin tersandung kakinya sendiri dan terus jatuh tersembam ke tanah!

Setelah dipaksa menyaksikan pemuda yang dahulunya tegap dan sasa itu terjatuh dengan tidak berdaya, lemah seperti anak kecil. Fan Jin sedikit pun tidak bersuara. Tiba-tiba Jun Wu Xie merasakan hatinya pedih.

Fan Jin tidak sepatutnya berada dalam keadaan begini.

Dia langsung tidak layak menerima nasib sebegini!

"Macam mana kamu boleh jatuh? Gongcheng Lei, cepat tolong dia," kata Ning Rui sambil ketawa kejam.

Gongcheng Lei mencengkam bahu Fan Jin dan mencampakkan pemuda itu ke kerusi. Fan Jin diselubungi tanah dan debu. Wajahnya kelihatan bingung dan renungan matanya kelihatan kosong.