Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 702 - Bersedia untuk Membalas (1)

Chapter 702 - Bersedia untuk Membalas (1)

Ah Jing tak henti-henti memukul kepalanya di atas lantai. Dia tahu satu-satunya orang yang boleh menyelamatkan Fan Jin kini ialah Jun Xie. Ah Jing meletakkan seluruh harapannya pada Jun Wu Xie dan terus merayu-rayu. Dia amat malu dengan keadaan dirinya yang tidak berdaya. Setiap bunyi hentakan kepala ke lantai itu bergema di telinga Jun Wu Xie.

"Saya akan selamatkan Fan Jin," kata Jun Wu Xie akhirnya.

Ah Jing mengangkat kepalanya dan darah mengalir ke mukanya. Namun begitu, dia sedang tersenyum lebar. Dia memandang Jun Wu Xie seketika. Hatinya dipenuhi perasaan berterima kasih. Ah Jing baru sahaja mahu menyambung sembah hormatnya apabila Jun Wu Xie mencengkam bahunya.

"Kalau kamu terus berlutut di sini, saya tak akan selamatkan dia," kata Jun Wu Xie untuk mengugut Ah Jing.

Ah Jing terkejut besar. Lama dia terdiam sebelum akhirnya mengambil keputusan untuk berdiri. Walau bagaimanapun, dia masih menunduk hormat pada Jun Wu Xie. Badannya yang terbongkok itu menggambarkan perasaan malu Ah Jing yang tidak bertepi.

[Jun Xie tak mahukan nyawanya mahupun permohonan maafnya.] Ini membuatkan hati Ah Jing hampir meledak dengan kekesalan dan perasaan bersalah yang menyelubunginya.

[Kalaulah dia tidak mudah percaya dengan apa yang didengarnya dan menganggap Jun Xie sebagai orang yang keji, keadaan kini pasti berbeza, bukan?]

[Jun Xie memiliki kebolehan dan kepakaran. Kalaulah dia tidak meninggalkan Akademi Zephyr, mungkinkah kejadian itu tidak akan berlaku pada Fan Qi dan Fan Jin?]

Setelah memikirkan semua itu, air mata Ah Jing tak henti-henti mengalir. Dia tak tahu apa yang boleh dilakukannya untuk mengembalikan keadaan seperti sebelumnya.

"Ye Sha," kata Jun Wu Xie dengan tiba-tiba.

Ye Sha yang baru sahaja pergi sebentar tadi, muncul sekali lagi. Jun Wu Xie mengunjuk tangan pada Ah Jing dan berkata pada Ye Sha, "Bawa dia ke Bandar Chan Lin dan jangan biarkan Fan Zhuo melihatnya."

Ye Sha mengangguk dan Ah Jing merenung Jun Wu Xie dengan perasaan terkejut. Dia baru sahaja mendengar nama Tuan Muda disebut!

"Fan Zhuo tak tahu apa yang dah berlaku di sini. Kalau kamu nak tebus kesalahan kamu yang lalu, teruskan hidup dan gunakan sisa-sisa hidup kamu itu untuk membalas budi. Bukan pada saya… tapi pada Fan Jin." Jun Wu Xie mencampakkan beberapa botol ubat pada Ah Jing. Kecederaannya tidak serius, tapi tak ada cara untuk membuatkan lidahnya kembali pulih.

Menyelamatkan Ah Jing itu bukanlah disebabkan Jun Wu Xie berlembut atau bersifat pemaaf. Tetapi dia cuma merasakan Fan Zhuo dan Fan Jin akan berasa gembira atas pilihannya ini.

Ah Jing memegang botol-botol ubat yang Jun Wu Xie campakkan tadi. Air matanya masih mengalir. Dia faham apa yang Jun Wu Xie katakan. Pasti dia hilang akal ketika dia berasa syak pada Fan Jin sehingga menyebabkan tercetusnya khabar angin di Akademi Zephyr yang mengatakan Fan Jin mahu mengapa-apakan Fan Zhuo. Walaupun Ah Jing tidak berniat membuatkan keadaan jadi begitu, tapi tindakannya itu telah menyebabkan reputasi cemerlang Fan Jin tercalar. Hakikat yang Ning Rui dengan begitu mudahnya dapat menuduh Fan Jin membunuh Fan Qi mungkin dipengaruhi oleh khabar angin yang tersebar pada ketika itu.

Orang lebih suka percaya bahawa di sebalik kebaikan yang ditunjukkan, ada sisi kejahatan yang tersembunyi. Apabila spekulasi tidak berasas itu disuarakan berulang-kali, ia akan bertukar menjadi kenyataan. Tak ada siapa yang akan peduli untuk mempertimbangkan kebenaran di sebaliknya.

"Ah… Ah…" Ah Jing memandang Jun Wu Xie. Suaranya yang serak itu menghasilkan bunyi yang tidak jelas biji butirnya.

Dia mahu memohon maaf, dia mahu berterima kasih. Tetapi dia terlalu malu untuk mengatakannya.

Kini dia telah kehilangan kebolehan untuk bercakap. Mungkin ini hukuman dari syurga, balasan untuk kejahilan dan sikap naifnya yang memudaratkan begitu ramai orang.

Sebelum berlalu pergi dengan Ye Sha, agak lama juga Ah Jing merenung Jun Wu Xie dengan senyap.

Dia berdoa bersungguh-sungguh di dalam hatinya, mengharapkan keadaan akan jadi lebih baik.

Untuk Fan Jin, Fan Zhuo dan Jun Xie.

Ketika Gu Ying kembali ke kediaman kecil di dalam hutan buluh itu, Ah Jing sudah lama pergi. Gu Ying nampaknya tidak menyedari kehilangan Ah Jing. Jun Wu Xie dapat mengesan bau darah yang pekat pada Gu Ying.