Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 695 - Menjelmanya Awan Gelap (2)

Chapter 695 - Menjelmanya Awan Gelap (2)

Ketika Gu Ying pertama datang ke fakulti Pemulih Roh, kelakuannya tidak nampak pelik. Malah dia sering bertemu dengan Gu Li Sheng sambil tersenyum dan banyak bertanya tentang Teknik Pemulih Roh. Walaupun Gu Li Sheng tidak begitu sukakan Ning Rui, dia percaya yang dia tidak sepatutnya menolak jika seseorang yang sering tersenyum meminta pertolongannya. Gu Ying bersikap baik dan sopan, sebab itulah Gu Li Sheng telah memberikan beberapa tunjuk ajar ringkas padanya dan tidak begitu mempedulikannya selepas itu. Selepas beberapa hari Gu Li Sheng diterima masuk ke fakulti Pemulih Roh, Guru Besar Fan Qi tiba-tiba meninggal dunia. Fan Jin pula ditangkap kerana dituduh sebagai pembunuh. Kalau Wen Xin Han tidak tiba tepat pada masanya, pasti Fan Jin sudah menerima hukuman.

Selepas semua ini berlaku, kelakuan Gu Ying berubah menjadi biadab dan kasar. Dia tidak menahan sikap kejinya di dalam fakulti Pemulih Roh sekalipun dan telah membunuh dua orang pelajar fakulti tersebut.

Dalam kalangan pelajar Akademi Zephyr, tidak terkira jumlahnya orang yang telah mati secara tragik di tangannya.

Ketika itu barulah Gu Li Sheng menyedari \ada syaitan yang bersembunyi di sebalik pemuda yang sering tersenyum itu.

"Tadi kamu kata siapa yang menyelamatkan Fan Jin?" Selepas mendengar cerita Gu Li Sheng, mata Jun Wu Xie kelihatan bersinar-sinar.

"Wen Xin Han, dekan kehormat Akademi Zephyr. Dia dijemput sendiri oleh Guru Besar Fan Qi ke sini. Saya tak tahu kenapa dia tiba-tiba datang ke sini pada waktu sebegini. Tapi nasib baiklah dia ada di sini. Kalau tidak, makin buruklah keadaan di Akademi Zephyr. Tapi ada sesuatu yang aneh. Wen Xin Han asalnya memiliki roh tahap indigo. Tetapi dia kembali ke sini setelah mencapai roh tahap ungu. Hal ini memang membuatkan semua orang terperanjat," jelas Gu Li Sheng.

"Wen Xin Han….." Mata Jun Wu Xie mengecil sambil dia berfikir. Nama itu tidak asing baginya. Dalam kalangan pakar handalan yang menyertai rombongan Qin Yu Yan, bukankah ada seseorang yang memiliki nama itu? Ketika itu juga disebabkan kata-kata Jun Xian, Jun Wu Xie telah menghadiahkan eliksir pada Wen Xin Han dan memintanya untuk meninggalkan pertempuran.

Tidak pernah dia menyangka yang setelah sekian lama, dia akan bertemu dengan Wen Xin Han di sini sekali lagi!

Jun Wu Xie tidak dapat menahan dirinya daripada bertanya lebih lanjut tentang Wen Xin Han.

Gu Li Sheng tidak mahu menyembunyikan apa-apa daripada Jun Wu Xie, jadi dia memberitahu segala-galanya.

Walaupun Wen Xin Han ada di sini, dia tidak mahu masuk campur dalam urusan lain di Akademi Zephyr. Disebabkan persahabatannya dengan Fan Qi, dia hanya berjuang untuk memastikan Fan Jin terus hidup. Dia tidak mahu melibatkan diri dalam hal-hal lain.

"Kalau Fan Jin dikatakan benar-benar telah membunuh Fan Qi, saya langsung tak akan percaya. Budak itu terlalu jujur dan telus. Tak mungkin dia mampu melakukan perbuatan sebegini." Gu Li Sheng mengeluh dengan tidak berdaya. Kalau ini adalah Akademi Zephyr yang sama seperti dulu, mungkin dia mampu menyatakan pendapatnya. Tapi kini dengan adanya Gu Ying yang akhir-akhir ini kerap muncul di fakulti Pemulih Roh, Gu Li Sheng bimbang untuk meninggalkan fakultinya tanpa pengawasan. Gu Ying tidak akan teragak-agak untuk membunuh setiap pelajar di fakulti Pemulih Roh.

Setelah menyaksikan kekejaman Gu Ying yang menggila dan tidak berbelas kasihan itu, Gu Li Sheng yakin dia mampu melakukan perbuatan terkutuk seperti itu.

Gu Li Sheng terperangkap. Setiap gerak-gerinya diperhatikan oleh Gu Ying.

Jun Wu Xie diam seketika, mempertimbangkan segala petunjuk yang sudah dikumpulnya.

Pada mulanya dia berasa ragu-ragu dengan situasi ini. Berdasarkan personaliti Ning Rui, selepas membunuh Fan Qi, dia tidak akan membenarkan Fan Jin terus hidup sehingga kini. Gu Ying merupakan seorang yang kejam dan tidak ada belas kasihan. Membunuh seseorang itu tidak sukar baginya. Di seluruh Akademi Zephyr ini tidak ada orang yang mampu menentang Gu Ying, jadi sepatutnya mudah sahaja untuk dia membunuh Fan Jin. Jadi kenapa Ning Rui membiarkan Fan Jin terus hidup?

Akhirnya kini Jun Wu Xie faham.

Semuanya disebabkan Wen Xin Han!

Dalam tempoh seratus tahun ini, kemunculan satu-satunya dekan kehormat yang mencapai tahap roh ungu telah merosakkan rancangan Ning Rui dan Gu Ying. Kuasa Wen Xin Han yang luar biasa itu tidak membenarkan mereka bertindak terburu-buru!

Related Books

Popular novel hashtag