Suasana di Akademi Zephyr sunyi seperti biasa, seolah-olah tiada apa yang berlaku.
Di dalam kawasan kampus, para pelajar yang mempunyai masa lapang kelihatan di mana-mana. Semuanya berkumpul dalam kumpulan seramai tiga hingga lima orang dan ketawa sesama sendiri sambil berjalan.
Sewaktu Jun Wu Xie berjalan masuk ke akademi, dia tidak menarik perhatian para pelajar lain. Dia melepasi laluan utama dan berjalan menuju hutan buluh kecil di sisi kampus.
Sebaik dia mahu melangkah masuk, kedengaran satu jeritan yang kuat dari seorang pemuda di belakangnya.
"Jun Xie? Kamu Jun Xie?"
Jun Wu Xie berpaling dan terlihat seorang pemuda yang memakai lambang jed di dadanya, menandakan dia pelajar daripada fakulti Pemulih Roh. Jun Wu Xie memandang pemuda itu tanpa perasaan.
Pemuda itu tiba-tiba menyedari keadaan dirinya yang terlebih teruja itu lalu tersenyum malu-malu.
"Maaf, saya pasti dah buat kamu terkejut. Saya seorang pelajar dari fakulti Pemulih Roh dan sudah lama tidak melihat kamu. Saya cuma terkejut melihat kamu tiba-tiba muncul di sini."
"Ada apa?" tanya Jun Wu Xie dengan perlahan.
Pemuda itu menggaru-garu kepalanya dengan kekok dan berkata, "Tak ada apa-apa. Tapi kamu memang nak pergi ke kediaman di dalam hutan buluh tu?"
Jun Wu Xie mengangguk.
"Macam ni... kediaman tu dah lama tak berpenghuni dan tak ada siapa yang mengemaskannya. Kamu tak mahu duduk di asrama?" tanya pemuda itu dengan teragak-agak. Dia mahu lebih mesra dengan Jun Wu Xie tetapi tak tahu apa yang mahu dikatakan. Dia cuma menyatakan perkara pertama yang terlintas di fikirannya.
Ketika Jun Wu Xie dan Fan Zhuo meninggalkan Akademi Zephyr, tidak ada siapa yang tahu tentangnya kecuali Fan Jin dan Fan Qi. Orang lain menyangkakan Jun We Xie pergi untuk menyelesaikan tugasan yang diberikan oleh Gu Li Sheng. Manakala Fan Qi pula telah menggunakan keadaan kesihatan Fan Zhuo sebagai alasan dia dihantar keluar untuk menerima rawatan.
"Tak ada siapa? Macam mana dengan Fan Jin?" tanya Jun Wu Xie sambil mengangkat keningnya.
Sebelum kembali ke sini, Jun Wu Xie ada terfikir sama ada Ning Rui akan mengapa-apakan Fan Jin setelah membunuh Fan Qi dengan kejam.
Kalau Fan Jin masih ada di sini, dia tidak akan membiarkan kediaman buluh itu tidak terjaga biarpun Jun Wu Xie dan Fan Zhuo tidak ada di situ.
Pemuda itu tergamam dan raut wajahnya kelihatan pelik. Dia cepat-cepat memandang keadaan sekeliling. Setelah memastikan tak ada orang lain di situ, dia berjalan beberapa langkah untuk masuk ke hutan buluh itu lalu melambai ke arah Jun Wu Xie.
Melihatkan pemuda itu seolah-olah mahu memberitahu sesuatu padanya tanpa didengari orang lain, Jun Wu Xie mendekatinya.
"Memandangkan kamu tak berada di akademi ini selama ini, mungkin kamu tak tahu yang Guru Besar tu… telah dibunuh kira-kira dua minggu lalu."
Jun Wu Xie memandang pemuda tersebut tanpa sebarang perasaan.
Pemuda itu meneruskan dengan berkata, "Kamu tahu tak siapa yang bunuh Guru Besar?"
Siapa lagi orangnya kalau bukan Ning Rui? Jun Wu Xie mencemuh di dalam hatinya tetapi wajahnya membatu.
"Pembunuhnya ialah Fan Jin!"
Mata Jun Wu Xie terbeliak sedikit.
Pemuda itu kemudiannya memperlahankan suaranya lalu berbisik, "Sewaktu Guru Besar meninggal dunia, hanya dia dan Fan Jin sahaja yang berada di dalam pejabat. Sejurus sebelum kejadian itu berlaku, para pengawal akademi ada terdengar mereka berdua bertengkar. Ketika pengawal-pengawal ini pergi menyiasat, mereka mendapati Guru Besar sudah pun mati…"
Fan Qi terbunuh serta-merta akibat tusukan pedang tajam ke dadanya. Sewaktu pintu pejabat yang berkunci itu dibuka, hanya Fan Jin seorang saja yang masih hidup. Tangannya memegang pedang berlumuran darah.
Pada ketika itu semua orang tahu Fan Jin yang telah membunuh Guru Besar!
Fan Jin adalah anak Fan Qi dan tidak ada sebab kukuh mengapa Fan Jin mahu membunuh ayahnya. Tetapi Fan Qi selama ini mendakwa Fan Jin adalah anak angkatnya manakala Fan Zhuo adalah anak kandungnya. Ini dilakukan bagi melindungi Fan Zhuo. Namun Fan Qi pasti tidak pernah terfikir yang hal ini akan menjadi sebab Fan Jin dijadikan sasaran ribut yang melanda Akademi Zephyr!
Semua orang di Akademi Zephyr tahu yang selama beberapa generasi, kedudukan terhormat sebagai Guru Besar sentiasa diwarisi oleh generasi seterusnya. Fan Qi memiliki dua orang anak lelaki. Salah seorang anaknya ialah pelajar Akademi Zephyr yang paling popular dan disukai ramai iaitu Fan Jin manakala seorang lagi ialah Fan Zhuo yang sejak kecil lagi amat lemah dan sering sakit.