Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 678 - Melarikan Diri dari Cenuram Penghujung Syurga (3)

Chapter 678 - Melarikan Diri dari Cenuram Penghujung Syurga (3)

Qiao Chu dan yang lain menghampiri rumah batu itu selangkah demi selangkah. Sebaik mereka hampir tiba di muka pintu rumah batu itu...

Tiba-tiba pintu yang tebal dan berat itu perlahan-lahan terbuka.

Pada masa yang sama, Qiao Chu dan yang lain serentak meningkatkan kuasa rohani mereka ke tahap ungu!

Kuasa rohani mereka bersinar dengan warna ungu. Mereka mengumpulkan semua kuasa rohani di tapak tangan dan terus mahu meluru ke dalam rumah itu!

Namun...

Seraut wajah yang halus terjengul keluar di hadapan mata para sahabat ini. Badannya diselubungi cahaya ungu. Jun Wu Xie merenung mereka semua dengan mata yang tenang.

"….."

Suasana tiba-tiba menjadi senyap sunyi.

Kuasa rohani yang terkumpul pada tapak tangan Qiao Chu dan rakan-rakannya tadinya membara bagai api yang marak. Namun kini kuasa itu seolah-olah telah disembur dengan gelombang air sejuk sehingga terus padam dan lenyap tanpa sebarang kesan.

"Ju… Jun Xie?" Qiao Chu bingung seketika sebelum kembali sedar. Dia merenung Jun Wu Xie dengan keliru, memandang gadis yang sudah lama mereka semua tidak lihat. Matanya terbeliak, terkejut sewaktu terlihat cahaya ungu yang semakin malap di sekeliling tubuh Jun Wu Xie.

[Ada yang tak kena dengan matanya!]

[Mana mungkin Jun Xie dapat mempunyai roh tahap ungu… Baru berapa lama mereka terpisah? Kalau dia ni dewa sekalipun, tak mungkin dia dapat mencapai tahap ini dengan begitu pantas…]

"Mesti saya terlalu letih ni… Saya masih tidurkah?" Wajah Qiao kelihatan kaku. Dia mencubit pahanya dengan kuat. Sakitnya sehingga air matanya mengalir.

[Cis, ini memang betul! Saya bukan bermimpi!]

Hua Yao akhirnya kembali pulih. Dia memandang Jun Wu Xie dengan mata yang dipenuhi kekeliruan.

"Jun Xie… macam mana kamu… boleh capai tahap ungu?" Walaupun selama ini Jun Wu Xie mampu mengembangkan dan mempertingkatkan kuasa rohaninya dengan pantas, mustahil dia dapat mencapai roh tahap ungu dalam masa beberapa hari sahaja!?

Lagipun mereka berada di Alam Bawahan. Kalau ini adalah Alam Pertengahan sekalipun, mereka tak mungkin dapat menemui keadaan yang begitu luar biasa ini.

Mata Fan Zhuo menunjukkan perasaan terkejut, tapi dia pantas kembali sedar.

"Kamu belajar kaedah Alam Pertengahan yang membolehkan kuasa rohani kamu meningkat?"

Kata-kata Fan Zhuo akhirnya membuatkan Qiao Chu dan yang lain kembali sedar sepenuhnya. Sebelum ini Ye Sha ada menyebut bahawa orang di dalam rumah batu itu bukanlah pemilik roh tahap ungu yang sebenar. Sebab itulah mereka membuat andaian bahawa orang itu datang daripada Dua Belas Istana. Mereka memikirkan orang itu menggunakan kaedah eksklusif Alam Pertengahan untuk meningkatkan kuasa rohaninya untuk mencapai tahap ungu buat sementara waktu.

Mereka langsung tidak menyangka orang di dalam rumah batu itu ialah Jun Wu Xie!

Ini juga bermakna Jun Wu Xie sudah dapat menangkap konsep di sebalik kebolehan untuk meningkatkan kuasa rohani ke tahap ungu buat seketika. Tapi dari mana dia belajar buat begitu?

Soalan demi soalan berputar di minda mereka. Setelah mencari-cari selama beberapa hari mereka akhirnya menemui Jun Wu Xie. Tetapi satu perubahan besar telah berlaku ke atasnya.

[Budak ni manusia atau syaitan?]

Jun Wu Xie memandang semua sahabatnya yang berdiri di muka pintu itu. Dia diam seketika sebelum berkata, "Mari masuk dan berbual."

Keadaan di luar ini terlalu sejuk dan tidak sesuai untuk berbual-bual.

Semua orang cepat-cepat masuk. Sewaktu Ye Sha berjalan melepasi Jun Wu Xie, dia berhenti sebentar lalu berkata, "Saya gagal melindungi Cik Muda dengan baik. Mohon Cik Muda jatuhkan hukuman ke atas saya."

Jun Wu Xie menggelengkan kepala dan menyuruh Ye Sha masuk ke dalam rumah batu itu.

Rumah itu kecil sahaja. Selepas Qiao Chu dan yang lain meluru masuk, keadaan terus menjadi sempit. Qiao Chu dan yang lain merenung "tilam" yang ringkas tapi berguna di sudut rumah tersebut. Satu susuk tubuh berwarna hitam dan berbalut dengan lapisan pakaian terbaring di atas tilam tersebut. Susuk tubuh itu sedang tidur nyenyak sambil mengerekot.

Mata Fan Zhuo terbeliak kerana mengenali susuk tubuh itu. Dia berpaling memandang Jun Wu Xie.

"Itu Tuan Embek Embek?"

Jun Wu Xie mengangguk.

Fan Zhuo tidak dapat menahan diri daripada berasa hiba. Ketika Jun Wu Xie tinggal di hutan buluh kecil dahulu, Tuan Embek Embek turut ada bersamanya. Walaupun pada masa itu Tuan Embek Embek tidak begitu mempedulikan Fan Zhuo, hati Fan Zhuo tetap simpati melihatkan keadaan makhluk yang comel itu kini begitu menyedihkan.