Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 671 - Krisis (2)

Chapter 671 - Krisis (2)

Suhu sekeliling begitu sejuk sehingga terasa menggigil. Setelah kehilangan perlindungan daripada bulu-bulunya dan mengalami luka parah, Tuan Embek Embek amat lemah. Kesakitan daripada luka-lukanya serta suhu yang dingin itu membuatkan Tuan Embek Embek menggigil tidak terkawal. Jun Wu Xie terlihat keadaan ini dan matanya menjadi sayu.

Hitam Kecil muncul secara tiba-tiba. Tanpa perlu disuruh, ia bertukar rupa menjadi binatang hitam yang besar lalu melingkarkan seluruh tubuhnya di sekeliling Jun Wu Xie dan Tuan Embek Embek, seboleh mungkin cuba memindahkan kehangatan tubuhnya.

Jun Wu Xie melonggarkan lapisan luar bajunya dan memeluk Tuan Embek Embek lebih rapat ke perutnya. Dia mahu memastikan kambing biri-biri kecil itu kekal hangat.

Tuan Embek Embek merupakan Binatang Roh Gred Penjaga. Di Alam Bawahan ini, hampir tidak ada makhluk lain yang dapat menentangnya apatah lagi mencederakannya. Tetapi satu serangan bebola api hijau itu sahaja sudah membakar Binatang Roh Gred Penjaga ini dan mengakibatkan kecederaan yang parah padanya!

Jika Tuan Embek Embek tidak melompat dan menolak Jun Wu Xie ke tepi, tahap kuasa Jun Wu Xie yang rendah pasti menyebabkan dia mati sebaik sahaja bebola api hijau itu menyentuhnya!

Jun Wu Xie tidak mungkin berpeluang untuk melepaskan diri dari maut.

"Raksasa tu akan kejar kitakah?" Binatang hitam itu bertanya dengan suara yang sedih. Semuanya berlaku terlalu pantas dan ia langsung tidak berpeluang untuk muncul sebelum mendapati kejadian itu telah berakhir. Melihatkan keadaan Tuan Embek Embek yang menyedihkan, binatang hitam itu dapat membayangkan betapa kuatnya raksasa yang telah menimbulkan perasaan gerun di hati Tuan Embek Embek yang gagah perkasa itu.

Bukan Tuan Embek Embek sahaja, gabungan serangan serentak Teratai Mabuk dan semua roh berkontrak milik Qiao Chu dan yang lain pun belum tentu mampu menentang raksasa tersebut. Malah….

Semua roh berkontrak itu tak akan dapat menahan serangan raksasa itu malah turut gagal melengahkan masa untuk membolehkan Jun Wu Xie dan rakan-rakannya melarikan diri.

Pada ketika itu binatang hitam tersebut amat berterima kasih dengan pengorbanan Tuan Embek Embek yang tidak mementingkan diri. Kalau bukan kerana pengorbanannya, mungkin Jun Wu Xie sudah mati pada ketika itu juga.

Binatang Roh Gred Penjaga pun mendapat kecederaan parah akibat serangan itu. Tidak syak lagi apa yang akan berlaku pada Jun Wu Xie sekiranya dia menerima serangan tersebut.

"Tak." Suara Jun Wu Xie sedikit serak. Dia menundukkan kepala dan memandang Tuan Embek Embek yang mengerekot di dalam pelukannya. Hati Jun Wu Xie berasa pedih.

"Sebelum kita terpelanting tadi, saya terdengar bunyi kelenting rantai belenggu yang berat. Dengan adanya raksasa yang begitu kuat menjaga tempat itu, jangan kata orang yang dihantar oleh Dua Belas Istana, Pemerintah mereka sendiri pun mungkin tidak dapat mengalahkan raksasa tersebut. Sewaktu ibu bapa Qiao Chu dan yang lain menemui lokasi makam Maharaja Kegelapan, pasti mereka ada menemui cara untuk mengelak raksasa itu. Pergerakan raksasa itu tadi pastinya dah dikekang dan dihalang oleh rantai belenggu. Kalau tak kita semua dah mati sekarang ni," kata Jun Wu Xie. Dia dengan tenangnya menganalisa segala aspek kejadian yang mereka alami tadi.

Sipi-sipi sahaja mereka terlepas daripada cengkaman maut kali ini.

Kaki kirinya patah di bahagian betis dan memerlukan rawatan segera. Disebabkan Jun Wu Xie sedang memegang Tuan Embek Embek, dia tidak berani untuk bergerak terlalu banyak jadi dia terpaksa melambatkan proses rawatannya sendiri. Dia mengeluarkan senjata beruas tiga terakhir di dalam Beg Kosmos kemudian membalutnya pada kaki yang tercedera sebagai penganduh. Setelah itu, Jun Wu Xie memerhatikan keadaan di sekelilingnya.

Kawasan muka bumi di sini amat berbeza dengan mana-mana tempat yang pernah mereka lalui sebelum ini. Tempat ini bebas daripada lumut dan lubang benam. Seluruh bahagian tanah di sini kelihatan hangus, seperti kesan terbakar yang ditinggalkan oleh api yang marak. Tanah di situ sedikit lembap tapi masih lagi keras. Berbanding dengan kawasan yang dipenuhi lubang benam, keadaan di sini lebih selamat.

Jun Wu Xie merasakan dirinya agak bertuah kerana tercampak ke sini. Walaupun kakinya patah, nasib baik juga dia tidak jatuh ke dalam tanah paya yang tidak berdasar.

Kalau mereka tercampak ke dalam lubang benam sewaktu tidak sedarkan diri tadi, mereka akan mati begitu sahaja.

Jun Wu Xie menggunakan cahaya dari Glob Api Roh itu untuk terus meninjau-ninjau kawasan sekeliling.Setelah mendapati tiada tanda-tanda Qiao Chu dan yang lain di situ, dia akhirnya pasti yang dia kini bersendirian di dalam lapangan kelabu putih yang tidak berpenghujung itu.