Ye Sha dan Ye Mei hampir naik gila! Dari celah mana pula munculnya makam Maharaja Kegelapan ni?
"Cik Muda… dari mana Cik Muda dapat tahu tentang makam Maharaja Kegelapan?" tanya Ye Sha dengan penuh hati-hati.
"Semua orang di Alam Pertengahan tahu tentang hakikat ini. Bertahun-tahun yang lalu, Maharaja Kegelapan telah mangkat dan orang-orang dari Rejim Kegelapan telah mendirikan makam. Lokasinya adalah satu misteri. Khabarnya, segala harta karun dan barangan ajaib yang Maharaja Kegelapan perolehi sepanjang pemerintahan baginda telah dikebumikan di dalam makam itu. Sebab itulah Dua Belas Istana tak putus-putus berusaha menghantar orang mereka ke Alam Bawahan untuk mencari makam tersebut." Qiao Chu tahu yang Jun Wu Xie tidak begitu pandai memberikan penjelasan panjang lebar, jadi dia telah membuka mulutnya untuk membantu.
Mata Ye Sha dan Ye Mei semakin terbeliak. Terutama sekali sewaktu terdengar ayat "Maharaja Kegelapan telah mangkat." Mata mereka membara dengan kemarahan.
Tapi apa yang semakin membuatkan mereka berang adalah apabila mendapat tahu yang Dua Belas Istana juga terlibat dalam hal ini!
"Maharaja telah ma… siapa yang menyebarkan berita ni?" Ye Sha tidak berani untuk menggunakan perkataan "mangkat" sekalipun sewaktu bercakap tentang Tuanku. Tidak kiralah jika perkataan itu digunakan sebagai perumpamaan sahaja, dia tetap menganggapnya satu hinaan terhadap Tuanku yang amat dimuliakan itu.
"Emm… tak tahu pula saya. Tapi pada ketika itu banyak kekecohan yang berlaku di dalam Rejim Kegelapan. Sebab dan bagaimana Maharaja Kegelapan itu mangkat tidak diketahui. Tetapi menemui makam Maharaja Kegelapan itu sememangnya sesuatu yang menjadi impian semua orang di Alam Pertengahan." balas Qiao Chu sambil menggaru-garu kepalanya. Dia pernah menyaksikan kemahiran Ye Sha sebelum ini. Kemahiran lelaki itu cukup kuat untuk menentang orang-orang dari Dua Belas Istana. Tentulah Qiao Chu menyangkakan Ye Mei dan Ye Sha berasal dari Alam Pertengahan. Tetapi…
Mereka nampaknya tak tahu apa-apa tentang kemangkatan Maharaja Kegelapan yang memang diketahui ramai itu.
"Selepas Maharaja Kegelapan mangkat pada beberapa abad yang lalu, makam itu terus didirikan pada tahun berikutnya. Ada apa-apa yang tak kena?" tanya Qiao Chu dengan naif.
Ye Sha dan Ye Mei merasakan mulut mereka menggerenyet.
"Tunggu sebentar ya."
Setelah berkata begitu, mereka berdua cepat-cepat berjalan jauh dari situ lalu berbisik-bisik.
"Tak ada siapa yang tahu tentang hal Tuanku dikurung di Alam Bawahan. Jangan cakap orang-orang bodoh dalam Rejim Kegelapan itu benar-benar anggap Tuanku… emm… dah tak ada?" Ye Sha berbisik sambil berkerut.
Ye Mei mengangguk.
"Betullah tu rasanya. Saya tiba-tiba sedar yang hanya beberapa orang daripada kita saja yang ada bersama-sama dengan Tuanku ketika itu. Hanya kita saja yang tahu Tuanku telah dikurung di sini. Masa itu pun kita hanya tahu Tuanku berada di Alam Bawahan, tapi tak tahu lokasinya. Kita semua tercari-cari dengan menggelabah. Sepanjang tempoh itu, tak ada seorang pun daripada kita yang balik memberitahu Rejim Kegelapan. Saya rasa orang-orang dalam Rejim Kegelapan benar-benar menyangkakan Tuanku dah… Sebab itulah mereka bina makam." Ye Mei merasakan kepalanya semakin pening.
Kejadian yang berlaku ketika itu tidak diketahui oleh mereka yang berada di Alam Pertengahan. Hanya mereka yang berada dengan Jun Wu Yao sahaja yang mengetahui apa yang sebenarnya telah berlaku. Sebaik Jun Wu Yao dikurung, mereka semua menjadi tak tentu arah. Langsung tidak terfikirkan apa-apa selain mencari Jun Wu Yao. Tidak ada seorang pun yang terfikir untuk kembali ke Rejim Kegelapan dan menyampaikan berita tersebut.
"Drama besar betul!" kata Ye Sha sambil mengeluh.
"Tapi kita tak tahu ini yang sebenarnya telah berlaku dan hanya meneka-neka sahaja. Kita tak pasti pun sama ada tempat ini telah dibina oleh Rejim Kegelapan." Ye Mei mengingatkan Ye Sha.
"Tapi Cik Muda nampaknya berminat betul dengan tempat ni!" Ye Sha telah kehilangan memori silamnya dan dia sering tertanya-tanya mengapa Jun Wu Xie memilih untuk mengembara bersama-sama Qiao Chu dan yang lain. Kini segalanya semakin jelas.
Cik Muda benar-benar mahu pergi bersama-sama budak-budak ini dan menggali makam "palsu" Tuanku!
Ye Sha tiba-tiba tidak pasti sama ada dia patut ketawa atau menangis.
"Patutkah kita beritahu hal sebenar pada Cik Muda?" Ye Sha agak serba salah. Kalau tempat di dasar Cenuram Penghujung Syurga itu sememangnya direka dan dibina oleh Rejim Kegelapan, dia pasti tempat itu amat kejam dan berbahaya.