Binatang hitam itu sedang menanggung kesakitan, tetapi sebaik terdengar ngauman yang membingitkan telinga itu, matanya bersinar-sinar. Binatang hitam itu mengangkat kepalanya dan memandang ke arah dari mana datangnya ngauman tersebut!
Sepuluh orang lelaki yang sedang berdiri di sisi itu masih belum pulih daripada berasa terkejut apabila mata mereka tiba-tiba terpandang satu bayang-bayang gergasi muncul di bawah cahaya bulan yang dingin dan meluru ke arah mereka. Kumpulan lelaki itu melihat pokok-pokok dihancurkan ibarat pencungkil gigi sahaja hasil hentakan bayang-bayang hitam itu!
Tanah di bawah kaki mereka bergegar!
Roh-roh berkontrak yang kejam itu mengerekotkan ekor dan merendahkan telinga sebelum cepat-cepat berundur.
Di bawah kilauan cahaya bulan itu, rupa sebenar bayang-bayang hitam tersebut akhirnya didedahkan di hadapan mata mereka!
Seekor Binatang Roh gergasi yang tinggi melangit telah muncul. Roh-roh berkontrak jenis binatang yang kononnya "besar" itu tiba-tiba kelihatan amat kecil apabila berdepan dengan Binatang Roh yang sangat besar ini.
"Apa… apa benda tu…" Ketua kumpulan lelaki itu merenung dengan mata yang terbeliak dan lidah yang kelu. Dia seolah-olah tidak percaya dengan kemunculan Binatang Roh gergasi ini. Badan Binatang Roh itu berwarna putih suci dan kelihatan bersinar-sinar di bawah cahaya bulan. Sembilan ekornya yang menakjubkan itu melambai-lambai dengan begitu memukau. Binatang Roh ini kelihatan begitu menggerunkan, seperti raksasa yang baru memanjat keluar dari jurang yang dalam!
Mereka tidak pernah melihat Binatang Roh yang begitu besar!
"Binatang Roh Gred Penjaga! Ini memang benar-benar Binatang Roh Gred Penjaga!" Satu jeritan kedengaran dari arah lelaki-lelaki tersebut. Tiada siapa di antara mereka yang menyangkakan mereka akan bertemu dengan Binatang Roh Gred Penjaga yang hanya mereka ketahui melalui legenda, di kawasan hutan yang terpencil dan tidak berpenghuni ini!
Kumpulan lelaki itu yang sebelum ini agresif dan ganas, tiba-tiba merasakan kaki mereka menjadi lemah longlai. Sebaik berhadapan dengan Binatang Roh Gred Penjaga ini, keberanian yang mereka tunjukkan tadi terus lenyap ke dalam tanah yang dingin dan keras di bawah kaki mereka. Semuanya terpaku, tidak mampu bergerak walau seinci. Bersungguh-sungguh mereka berdoa agar Binatang Roh yang sangat besar itu tidak akan menyedari kehadiran mereka yang sekecil semut ini.
"Ada… ada orang di atas raksasa itu!" Seseorang yang berpenglihatan tajam menjerit dengan kuat. Dia terus mengangkat tangannya dan menudingkan jari ke arah kepala Binatang Roh ini yang tersangat besar..
Di atas Binatang Roh gergasi itu terdapat satu susuk tubuh kecil yang menghadap arah tiupan angin. Di bawah cahaya bulan, susuk tubuh itu merenung mereka dengan sepasang mata yang membuatkan kumpulan lelaki ini berasa seram sejuk.
Apa yang membuatkan mereka lebih terkejut ialah apabila mendapati susuk tubuh yang berdiri di atas Binatang Roh Gred Penjaga itu hanyalah seorang pemuda manusia!
[Macam mana ini boleh berlaku?]
[Binatang Roh tak mungkin boleh dijinakkan. Apatah lagi Binatang Roh Gred Penjaga yang bertaraf legenda dan memiliki kebijaksanaan yang sama seperti manusia!]
Jun Wu Xie berdiri tinggi di atas kepala Tuan Embek Embek sambil memberi pandangan penuh benci pada kumpulan lelaki yang sedang menggigil di bawah. Renungan dinginnya itu dialih dan dia melihat bintang hitam itu sedang tercungap-cungap manakala Mu Qian Fan, yang telah pengsan akibat kehilangan banyak darah, berada di belakangnya. Keadaan Mu Qian Fan yang berlumuran darah itu terpantul di mata Jun Wu Xie yang menggerunkan.
"Kamu semua cederakan pesakit saya!?" Mata Jun Wu Xie semakin membara dengan kemarahan sewaktu dia menumpukan pandangan pada sekumpulan lelaki yang ketakutan itu.
"Ap.. apa…" Ketua kumpulan lelaki itu tergagap-gagap dengan suara yang hampir tidak kedengaran. Giginya bergelatukan dengan kuat.
[Siapa pemuda ni!?]
[Dia berjaya membuatkan Binatang Roh Gred Penjaga yang bertaraf legenda ini tunduk padanya!?]
"Siapa… siapa...kamu… Kami bukan musuh kamu…" Fikiran lelaki itu berpusar-pusar dalam kekeliruan. Dia tidak memahami kata-kata Jun Wu Xie.
"Oh?" Kening Jun Wu Xie terangkat dengan penuh ancaman. Bibirnya menguntum sedikit senyuman membunuh.
"Sayangnya saya cuma rasa nak bunuh kamu."
Kata-katanya yang menggerunkan itu menusuk jauh ke dalam hati lelaki-lelaki tersebut. Minda mereka menjerit dan kaki mereka terus dapat bergerak. Cepat-cepat mereka berpusing dan lari lintang-pukang balik ke tempat asal mereka.
Mereka jelas dapat merasakan aura kemarahan yang membunuh yang dilepaskan oleh Jun Wu Xie. Mereka tidak diberi peluang untuk mengetahui mengapa pemuda itu tiba-tiba mahu membunuh mereka, tapi itu semua tidak penting lagi. Apa yang mereka tahu…
Kalau mereka tidak cepat-cepat melarikan diri, mereka akan kehilangan nyawa!