"Sakit?" tanya Jun Wu Xie dengan serius sambil mengangkat kucing hitam kecil itu.
Kucing itu mengangkat sebelah kaki hadapannya untuk menyapu air matanya kemudian berhenti sejenak sebelum menggelengkan kepalanya dengan perlahan-lahan.
[Peliknya, tak rasa sakit pun.]
[Tapi terkejut jugalah!]
[Siapa saja yang tak akan lari lintang-pukang bagai nak gila kalau tiba-tiba mendapati diri mereka dijilat api!?]
Jun Wu Xie mengecilkan matanya dan berfikir tentang apa yang baru dilihatnya tadi. Dia benar-benar nampak ada api pada badan kucing hitam kecil itu sebelum ini. Walaupun kucing hitam kecil itu ialah sejenis makhluk rohani, selepas bergabung dan mengambil bentuk luarannya sekarang, kucing itu tetap akan berasa sakit. Api itu tadi telah menyelubunginya dengan sepenuhnya. Seolah-olah akan membakar kucing hitam kecil itu sehingga rentung. Namun kucing tersebut langsung tidak berasa sakit mahupun tercedera.
Mata Jun Wu Xie menyorot kembali laluan yang diambil oleh kucing hitam kecil itu. Kesan hitam terbakar daripada api yang marak itu tadi masih jelas dapat dilihat di atas lantai. Malah, satu bahagian hujung langsir juga hangus. Semua ini memberitahu Jun Wu Xie yang api itu memang benar dan bukannya ilusi.
Tapi kenapa
Jun Wu Xie masih sedikit bingung. Tetapi ketika terpandang bahagian meja tempat kucing itu berada sebelum melompat turun, mata Jun Wu Xie tiba-tiba menjadi bersinar-sinar.
"Sebelum terbakar tadi, kamu ada terpijak apa-apa tak?" Jun Wu Xie bertanya pada Hitam Kecil dengan nada yang serius.
Kucing hitam kecil itu menggelengkan kepalanya.
Jun Wu Xie menunjuk pada contengan simbol yang dibuatnya dengan jarinya yang dicelupkan ke dalam air teh. Simbol-simbol di atas meja itu masih basah. Kemudian dia bertanya, "Ada terpijak ni?"
Kucing hitam kecil itu terdiam sejenak sebelum mengangkat kaki hadapannya, membelek-beleknya dengan teliti.
[Mungkin… saya mungkin… ada terpijaknya…]
Samar-samar dalam ingatannya… sebelum api itu tiba-tiba menjilatnya, ada sedikit rasa basah di bawah kakinya.
Mata Jun Wu Xie berkilauan. Sebelum kucing hitam kecil itu dapat memberikan reaksi, dia sudah pun membawa kucing tersebut ke meja. Sambil memerhatikan simbol yang masih basah di meja itu, Jun Wu Xie menekapkan kaki kucing hitam kecil itu ke atas salah satu simbol tersebut!
Tiba-tiba angin bertiup kencang!
Kucing hitam kecil di dalam pelukan Jun Wu Xie itu mendapati dirinya terperangkap di dalam tiupan angin yang tidak kelihatan dan ditarik keluar dari dakapan Jun Wu Xie.
"MEOOOOW!!!" Kucing hitam kecil yang terperangkap oleh tiupan angin itu melambung ke udara dan ekornya terus kembang!
Kucing hitam kecil itu dapat merasakan empat kuasa berlainan berpusar-pusar di sekeliling empat kakinya. Kuasa yang tidak dikenali ini membuatkan kucing hitam kecil itu merasakan dirinya sedang menunggang angin. Amat sukar untuk membiasakan dirinya memijak udara.
Kucing itu terapung-apung di udara sambil berpusing dan bergolek ke semua arah. Ekornya yang panjang dan berbulu itu bergoyang-goyang membentuk bulatan.
Tiba-tiba kuasa aneh itu lenyap. Kucing hitam kecil itu yang tidak bersedia terus jatuh dari kedudukan yang tinggi sambil memekik. Mujurlah Jun Wu Xie sudah bersedia, menghulurkan tangan untuk menyambut kucing hitam kecil yang malang itu dalam pelukannya.
Pengalaman penuh trauma yang berlaku berturut-turut itu menjadikan Hitam Kecil berasa pening dan keliru. Kepalanya masih dirasakan berpusing-pusing ketika berbaring dalam pelukan Jun Wu Xie.
"Jadi inilah salah satu cara untuk menggunakannya." Keraguan Jun Wu Xie menjadi lebih jelas pada ketika itu dan satu senyuman yang hampir tidak terlihat muncul di bibirnya.
[Hapa… Ci… ckap…] Kucing hitam kecil itu menggeleng-gelengkan kepala untuk memulihkan mindanya yang sedang bingung. Lidahnya dirasakan kelu.
Jun Wu Xie meletakkan kucing itu ke atas meja dengan berhati-hati, lalu berjalan ke katilnya untuk mengambil Tuan Embek Embek yang sedang nyenyak tidur. Kemudian dia mencelupkan jarinya ke dalam air teh sekali lagi dan terus melukis satu siri simbol di atas meja. Selepas itu Jun Wu Xie menghulurkan sebelah kaki Tuan Embek Embek dan menekapnya pada simbol yang telah dilukisnya tadi!
"Embek~" Tuan Embek Embek yang masih mengantuk itu mengembek dan menggoyangkan ekornya yang kontot itu, langsung tidak sedar apa yang berlaku. Kemudian Tuan Embek Embek kembali terlena.
"Nampaknya simbol-simbol ini hanya berkesan pada makhluk rohani." Jun Wu Xie membaringkan Tuan Embek Embek ke atas katil semula sebelum kembali berjalan ke meja untuk duduk berfikir. Dia memandang Tuan Embek Embek yang terus lena tidur.