Fan Zhuo merenung hidangan yang lazat yang diletakkan di atas meja di hadapannya. Ekspresi wajahnya menunjukkan perasaan kagum. Dia mengangkat kepalanya dan mengalihkan pandangannya untuk melihat Jun Wu Xie yang tenang, namun terlihat kilauan aneh di matanya.
[Betulkah orang itu benar-benar ialah abang Jun Wu Xie ?]
[Mungkinkah dia sekadar pembantu peribadi?]
Meja itu dipenuhi hidangan hebat. Semuanya pasti tidak kurang hebatnya berbanding masakan yang disediakan oleh tukang masak terkemuka. Ini membuatkan Fan Zhuo tidak dapat menahan perasaan curiga dalam fikirannya.
Hanya dengan melihat hidangan ini sahaja, dia tahu semuanya itu sudah pasti sangat lazat!
Walaupun wajah Jun Wu Xie tidak menunjukkan banyak ekspresi, tetapi matanya akhirnya tetap memandang Jun Wu Yao yang sedang duduk di satu sudut meja itu. Mata Jun Wu Xie dipenuhi dengan syak wasangka, seolah-olah menyoal Jun Wu Yao, sama ada meja yang penuh dengan hidangan lazat itu benar-benar telah disediakan olehnya!
Dia langsung tidak mampu mengaitkan apa yang dihidangkan di hadapannya ini dengan Jun Wu Yao.
"Semua masakan ini kelihatan sangat lazat!" Fan Jin mengesat air liurnya, perutnya sudah berkeroncong.
"Boleh... saya... cuba?" Fan Jin membulatkan mata merenung Jun Wu Yao.
Jun Wu Yao tersenyum dan mengangguk.
Fan Jin menghulurkan penyepitnya serta-merta. Dengan tergesa-gesa, penyepitnya mengambil makanan daripada beberapa hidangan masuk ke dalam mangkuknya. Kemudian dia mula makan dengan gembira.
Suapan pertama yang masuk ke dalam mulutnya hampir membuatkan Fan Jin menangis kegirangan.
"Sangat-sangat… enak… nyam… nyam... nak nangis..." Mulut Fan Jin penuh dengan makanan. Dia menyuruh Fan Zhuo dan Jun Wu Xie mencuba beberapa hidangan. Mata Fan Jin berair kerana terharu dengan keenakan makanan yang disediakan.
Fan Zhuo tersenyum kekok lalu mengangguk kepada Jun Wu Yao sebelum dia mengambil kayu penyepitnya.
Jun Wu Xie teragak-agak seketika sebelum dia menggerakkan tangannya.
Sebaik merasai makanan tersebut, Jun Wu Xie tiba-tiba berpaling memandang Jun Wu Yao.
"Sedap."
Wajah Jun Wu Yao ceria, berasa puas hati.
Selepas Fan Jin memuji "bakat memasak" Jun Wu Yao. Ye Sha dan Ye Mei, yang bersembunyi di bawah bendul tingkap sambil mencuri dengar, hampir-hampir menangis.
"Cik Muda kata sedap," kata Ye Sha.
"Jika Cik Muda menyukainya, maksudnya Tuan kita pasti suka juga. Pujian Cik Muda akan menjadi pujian Tuan kita. Saya agak teruja mendengarnya." Ye Mei menggosok-gosok kedua tapak tangannya, merasakan pencapaiannya seolah-olah tinggi sehingga mencapai bumbung.
Dua lelaki yang telah mengembara ke seluruh muka bumi, meragut nyawa yang tak terhitung jumlahnya, kini bersembunyi di bawah bendul tingkap. Mereka berasa sangat bangga dengan bakat masakan mereka sehingga berasa terharu.
Asalkan Cik Muda gembira, memasak untuknya ialah hal yang remeh sahaja.
Bahkan, jika Cik Muda meminta sulaman sekalipun, mereka sanggup menyahut cabaran!
Memuaskan hati Tuan mereka adalah tugas yang sukar, sama sukarnya seperti mencapai langit. Nampaknya Cik Muda sangat mudah "berpuas hati". Ye Sha dan Ye Mei serta-merta mencapai kesimpulan yang sama. Memenangi hati Cik Muda lebih mudah berbanding cuba memenangi hati Tuan mereka.
Setelah tertawan dengan "kemahiran masakan" Jun Wu Yao, Fan Jin bersungguh-sungguh mengucapkan terima kasih kepada pemuda itu sebelum dia pergi dari situ. Jun Wu Yao mengangguk dan tersenyum saja sehingga Fan Jin berlalu.
Fan Zhuo bingkas bangun, berasa malu dengan perbuatan abangnya.
"Saya minta maaf. Abang saya memang agak dungu sedikit. Kalau dia ada menyinggung perasaan kamu, tolong maafkan dia."
Tuhan sahaja yang tahu bahawa waktu makan tadi adalah saat yang paling menyakitkan pernah dia lalui sepanjang hidupnya.
Jun Wu Yao mengangkat keningnya.
"Dia tahu," kata Jun Wu Xie sebagai penjelasan.
Jun Wu Yao terus tahu apa yang Jun Wu Xie cuba sampaikan.
"Tak apa. Asalkan Jun Xie gembira, tak mengapa ." Jun Wu Yao berpaling untuk memandang Jun Wu Xie. Sebenarnya, dia telah melupakan apa yang dikatakan Fan Jin tadi.
Selain Jun Wu Xie, tidak ada orang lain yang layak mendapat perhatiannya.
Jun Wu Xie memandang Jun Wu Yao, seolah-olah ingin mengatakan sesuatu. Namun Jun Wu Xie tidak tahu bagaimana mahu mengucapkannya dan dia akhirnya menyerah kalah.
Jun Wu Yao akan tinggal di kediaman buluh itu buat sementara waktu. Fan Jin telah pun memaklumkan Fan Qi tentang hal itu demi membolehkan Jun Wu Yao kekal di Akademi Zephyr sebagai pembantu peribadi Jun Wu Xie .
Mengikut peraturan Akademi Zephyr, para pelajar tidak dibenarkan membawa pembantu peribadi mereka masuk ke dalam akademi.