Pengkhianatan Yin Yan sebelum ini, ketika dia mendedahkan segala-galanya melalui tuduhannya, sudah pun menentukan nasib malang Ning Xin…
Sebelum dia menyedari identiti sebenar Jun Wu Xie, Ning Xin masih lagi ada sinar harapan. Tapi kini, dia sudah pun jatuh ke jurang kekecewaan yang paling dalam!
Jun Wu Xie tak mungkin akan biarkan dia terus hidup. Tak mungkin…
Pada ketika itu Ning Xin dipenuhi sesalan. Kalaulah dia tahu identiti sebenar Jun Wu Xie sejak awal lagi, walau apa sekalipun berlaku, dia tidak akan berani menimbulkan kemarahan seseorang seperti Jun Wu Xie.
Namun sesalan ini tiba terlalu lewat.
Tiada siapa menyangka Ning Xin akan bertahan sehingga kini. Ning Rui yang sudah pun memutuskan untuk mengabaikan Ning Xin tadi, tiba-tiba terfikirkan hal yang sama seperti anaknya. Dia mahu bersuara tetapi asyik teragak-agak. Akhirnya dia tidak dapat menahan dirinya lagi lalu melangkah ke hadapan untuk bertanya, "Cik Jun."
Jun Wu Xie menjeling tajam pada Ning Rui.
"Walaupun Ning Xin sudah melakukan kesalahan yang tidak boleh dimaafkan, dia masih lagi anak kandung saya. Saya mungkin katakan tadi yang saya tidak akan mengakui dia sebagai anak lagi. Tapi, saya mahu bertanya pada Cik Jun. Kalau Ning Xin mampu bertahan setelah menjalani hukuman ketenteraan di bawah Tentera Rui Lin ini, maksudnya dia boleh dibebaskan?" Ning Rui berasa agak tertekan apabila Jun Wu Xie merenungnya.
Jun Wu Xie mengalihkan pandangannya dan bercakap tanpa perasaan, "Ya."
Ning Rui mengeluh lega dalam diam. Semua orang yang ada di situ juga begitu. Selepas mampu menahan seratus pukulan yang dahsyat, mungkin Ning Xin juga mampu menghadapi tiga puluh sebatan cemeti.
Ning Xin melihat Ning Rui melakukan usaha terakhir itu dan matanya dipenuhi perasaan putus asa.
Betapa dia ingin memberitahu ayahnya yang dia tidak ada peluang untuk terus hidup. Dia mahu memberitahu Ning Rui, Cik Jun yang angkuh dan dingin daripada Keluarga Jun itu adalah orang yang sama telah dijemput oleh Gu Li Sheng untuk kembali ke fakulti Pemulih Roh. Dia ialah Jun Xie.
Tentunya situasi Jun Xie yang tiba-tiba meninggalkan Akademi Zephyr itu bukan kebetulan. Hal ini telah dirancang dengan rapi oleh Jun Wu Xie supaya hari ini dia dapat muncul dengan identiti sebenarnya. Dia mahu menjalankan hukuman terhadap orang-orang yang telah membangkitkan niat membunuh di dalam dirinya!
Ning Xin cuba membuka mulut walaupun berasa amat sakit. Namun dia mendapati tekaknya yang kering itu tidak mampu mengeluarkan sebarang bunyi sekalipun.
"Long Qi, mulakan." Jun Wu Xie tak ingin lagi mendengar tentang Ning Xin lalu terus memberikan arahan.
Bahagian hujung cemeti panjang yang Long Qi pegang itu melayang ke udara dengan siulan yang kuat dan menuju tepat pada Ning Xin!
Pukulan pertama cemeti itu terkena tepat pada wajah yang Ning Xin sering anggap amat jelita itu. Satu sebatan yang memedihkan itu menambahkan torehan yang merah dan dalam pada wajah Ning Xin. Torehan berdarah itu bermula dari batang hidungnya dan terus menghiris sehingga ke pipinya sebelum berakhir di tulang bahunya.
Ning Xin meraung kesakitan. Suaranya serak sewaktu dia menjerit sekuat hatinya.
Tak ada apa yang lebih menyeksanya daripada kemusnahan wajah cantik yang amat dibanggakan itu.
Keperitan pada mukanya itu amat memedihkan, berterusan mengingatkan Ning Xin pada hakikat yang kecantikannya sudah musnah dengan satu sebatan cemeti. Kecantikannya telah dirampas tanpa belas kasihan!
Cemeti pada tangan Long Qi melayang berterusan. Tiada siapa tahu kalau ini sengaja dilakukan, tetapi pada setiap sebatan, hujung cemeti itu pasti menyentuh wajah Ning Xin. Walaupun tidak begitu sakit jika dibandingkan dengan sebatan ke badan, bahagian paling lembut bagi seorang perempuan adalah di mukanya. Tak mungkin bahagian ini dapat menahan sebatan cemeti.
Seketika kemudian, wajah Ning Xin yang dianggap cantik dan menggoda itu sudah pun dipenuhi torehan sebatan yang saling bersilang. Kulit yang tersiat itu mendedahkan luka dan menyebabkan darah mengalir deras. Jumlah luka di wajahnya semakin bertambah. Wajah yang dahulunya cantik itu semakin lenyap di bawah pendarahan yang mengerikan!
Sewaktu menyaksikan seorang gadis muda yang menawan dan memiliki kecantikan yang halus kini berubah menjadi raksasa hodoh yang mengerikan, para pelajar Akademi Zephyr menutup mulut mereka dengan tangan. Mereka cuba menahan jeritan yang hampir terlepas keluar dari tekak mereka!
Terlalu kejam!
Wanita amat mementingkan kecantikan….