Selepas mendengar kata-kata Ning Xin, barulah Yin Yan boleh bernafas lebih selesa. Dia berhati-hati memapah Ning Xin yang masih berasa sedikit lemah itu dan mereka berdua patuh berdiri di dalam kerumunan tersebut.
"Siapa gadis muda tu?" tanya Ning Xin. Dia memandang Jun Wu Xie yang berdiri di sebelah Long Qi.
Wajah Jun Wu Xie yang tidak tercela dan kejelitaannya yang tiada bandingan itu terus menusuk mata Ning Xin.
Ning Xin yang sering bangga dengan kecantikannya, tiba-tiba merasakan dirinya dalam kekurangan berbanding Jun Wu Xie.
Daripada segi kecantikan dan gaya, dia tidak dapat menafikan yang Jun Wu Xie memiliki kelebihan dalam kedua-dua aspek!
Walau bagaimanapun, Yin Yan menggelengkan kepala. Dia tidak pernah melihat Jun Wu Xie sebelum ini.
"Lelaki budiman ini ialah Naib Guru Besar Akademi Zephyr, Ning Rui." Fan Qi memperkenalkan Ning Rui sambil ketawa kekok. Dia menarik rakan segurunya itu keluar dari kerumunan untuk berdiri di hadapan Jun Wu Xie dan Long Qi. Kemudian dia berkata pada Ning Rui, "Ini ialah dua tetamu kehormat kita. Lelaki budiman ini ialah Long Qi, seorang jeneral daripada Tentera Rui Lin dan gadis ini ialah Cik Muda Istana Lin, Jun Wu Xie."
Ning Rui terkejut tetapi cepat-cepat menyembunyikan perasaan tersebut sewaktu dia menyapa tetamu-tetamu itu.
Jauh sedikit dari situ, pengenalan rasmi Fan Qi itu telah membuatkan mata seseorang terbeliak kerana terkejut.
Sewaktu Fan Jin menerima panggilan itu, dia baru sahaja terjaga daripada tidur akibat mabuk dan mindanya masih lagi bingung. Dia belum sedar sepenuhnya sewaktu diheret ke situ. Sebelum sempat memikirkan apa yang sedang berlaku, telinganya tiba-tiba terdengar ayat " Cik Muda Istana Lin, Jun Wu Xie". Ini telah membuatkan dia terkejut dan cepat-cepat mengangkat kepalanya untuk memandang gadis muda di sisi Long Qi.
Sekali pandang sahaja dan Fan Jin tidak dapat mengalihkan matanya.
Cahaya matahari sedang menyinari gadis yang amat cantik itu dan menyelubunginya dengan pancaran keemasan yang lembut. Rambut gadis itu hitam seperti dakwat. Reben-reben pelbagai warna dijalin di celahan rambut yang lebat itu dan terjurai lembut di belakangnya. Kulitnya putih melepak, diserikan dengan sedikit warna merah jambu. Pada wajah halus dan kecil itu, Fan Jin dapat mengesan kedinginan yang menandakan gadis itu sukar didekati. Ini membuatkan orang ramai menjauhkan diri daripadanya.
Satu pandangan tanpa sengaja ini cukup membuatkan Fan Jin tidak akan mampu menghapuskan imej ini daripada fikirannya. DI masa hadapan, walau begitu lama masa telah berlalu, dia masih lagi tidak akan dapat melupakan apa yang dilihatnya hari ini. Kejadian ini akan kekal segar di mindanya.
Inil ialah Jun Xie…
Hati Fan Jin bergetar. Ciri-ciri pada wajah itu amat berbeza, tetapi kedinginan yang terpancar pada mata itu amat dikenalinya.
Dia tahu Jun Wu Xie ialah seorang perempuan, tetapi dia tidak menyangka penampilan sebenar gadis itu sangat mengagumkan.
Akhirnya dia faham kenapa askar-askar Tentera Rui Lin tidak mempedulikan kecantikan Ning Xin. Jika dibandingkan dengan Jun Xie, kecantikan Ning Xin itu ibarat bunga layu yang tidak layak untuk disebut sekalipun.
Fan Jin berdiri terpaku. Lama kemudian barulah dia pulih daripada berasa terkejut.
"Hampir semua orang yang terlibat sudah pun berada di sini. Kami sudah membincangkan hal ini dan mengambil tindakan sewajarnya. Adakah Cik Jun berpuas hati?" kata Fan Qi dengan berhati-hati sambil memandang Jun Wu Xie dengan resah. Gadis ini jelas lebih muda daripada kedua-dua anak lelakinya, tetapi entah mengapa dia membuatkan Fan Qi berasa amat tertekan.
"Boleh saya tahu, tindakan apa yang diambil oleh pihak akademi yang terhormat ni?" tanya Jun Wu Xie, langsung tidak terkesan.
"Uhuk uhuk….. Para pelajar yang bersalah, bersama-sama dengan ketua mereka iaitu Lu Wei Jie, telah dihalau keluar dari Akademi Zephyr dan tidak dibenarkan kembali. Saya sudah pun menyatakan dan menulis kritikan rasmi tentang sikap serta perwatakan mereka yang keji itu pada akademi-akademi lain. Saya percaya, ini akan membuatkan mereka sedar." Fan Qi melaporkan dengan jujur.
Salah satu kening Jun Wu Xie terangkat dan dia tersenyum sinis.
"Ini yang Guru Besar anggap hukuman setimpal?"
Fan Qi menelan air liurnya dan teragak-agak seketika sebelum mengangguk.
Jun Wu Xie ketawa dengan menggerunkan lalu berkata, "Para pelajar dari akademi terhormat kamu ini cuba membunuh orang-orang daripada Tentera Rui Lin dan Puncak Menjejak Awan. Pihak akademi terhormat ini berjanji yang para pelajar ini akan diberikan hukuman sewajarnya dan menjamin kami akan berpuas hati dengan hukuman tersebut. Kini pihak akademi sudah mungkir janji. Cuba teka sama ada saya benar-benar berpuas hati?"
Nada percakapan Jun Wu Xie sememangnya dingin. Kini, kedinginan tersebut semakin membeku sehingga membuatkan mereka yang berada di situ tiba-tiba menggigil.