Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 597 - Tamparan Ketujuh (4)

Chapter 597 - Tamparan Ketujuh (4)

Menyelesaikan hal ini secara peribadi?

Maaf, dia tidak bersedia untuk menyelesaikannya secara diam-diam.

Sesiapa sahaja yang berani menyentuh Tentera Rui Lin perlu membayarnya dengan nyawa mereka!

Fan Qi tidak mampu berkata apa-apa untuk membalas kata-kata Jun Wu Xie. Pada mulanya, dia berniat mahu menyelesaikan hal ini dalam diam dan tidak membiarkannya tersebar. Ini kerana, jika hal ini tersebar, reputasi Akademi Zephyr akan terjejas. Malangnya….pihak satu lagi ini tidak memberikan dia peluang untuk berbuat begitu.

Ketika berdepan dengan pendirian tegas Jun Wu Xie, Fan Qi mendapati dirinya tidak berdaya.

Lebih daripada seratus orang askar Tentera Rui Lin sedang berbaris di hadapan pintu pagar Akademi Zephyr. Mereka semuanya dalam keadaan siap sedia dengan tangan memegang pedang di pinggang masing-masing, kelihatan bersedia untuk menarik keluar pedang-pedang itu dan menyerang jika Fan Qi menyuarakan bantahan.

Walaupun Akademi Zephyr amat terkenal dan mempunyai reputasi yang baik, akademi ini masih lagi institusi yang dikhaskan untuk pencarian ilmu dan pembelajaran. Daripada segi kekuatan bertempur, mereka tidak akan mampu berdepan dengan Tentera Rui Lin.

Walaupun hanya membawa seratus lebih askar Tentera Rui Lin, tidak terlalu sukar bagi lelaki-lelaki berpengalaman ini jika mereka mahu menghapuskan Akademi Zephyr.

Peluh sejuk terbit di dahi Fan Qi. Dia tidak menyangka gadis semuda ini akan mempunyai aura menekan yang amat kuat.

"Kalau begitu….kami akan turut kemahuan Cik Jun." Fan Qi tidak ada pilihan selain bersetuju.

Jun Wu Xie mengangkat sebelah keningnya dan merenung Fan Qi yang menunjukkan kesanggupan untuk menanggung beban kesalahan ini sendirian. Dia berkata, "Saya mohon Guru Besar panggil semua yang terlibat dalam kejadian itu ke sini supaya kita boleh menyelesaikan semuanya dengan telus, secepat mungkin."

Fan Qi mendapati dirinya semakin berpeluh lalu berkata, "Berkenaan insiden tersebut, semuanya disebabkan kekurangan Akademi Zephyr dalam mendidik para pelajar kami sehingga berlakunya kekejaman ini. Para pelajar yang terlibat telah pun disingkirkan dan dihalau keluar dari Akademi Zephyr sebaik tamatnya Perburuan Roh."

"Oh?" Mata Jun Wu Xie mengecil penuh ancaman.

"Maksudnya, Nangong Xu yang bertanggungjawab menguruskan Perburuan Roh juga sudah dibuang kerja?"

Fan Qi terkejut dan cepat-cepat menggelengkan kepala.

"Tuan Guru Nangong tidak terlibat, dia hanya…."

Long Qi melangkah ke hadapan. Riak wajahnya menjadi serius sebelum dia berkata, "Ayat Cik Muda kamu sudah cukup jelas. Kalau Tuan tidak ikhlas dalam menyelesaikan isu ini, Tentera Rui Lin terpaksa menguruskan hal ini sendiri."

Sebaik Qi Long selesai bercakap, wajah Fan Qi terus berubah menjadi pucat.

Maksud di sebalik kata-kata itu memang jelas. Kalau Fan Qi tidak memanggil semua orang yang terlibat dalam insiden itu ke sini, Long Qi akan mengetuai Tentera Rui Lin masuk ke dalam akademi dan "menjemput" sendiri orang-orang tersebut.

"Tak….. Tak perlu. Saya akan suruh mereka ke mari." Fan Qi hampir mahu menangis. Sejak sekian lama dia menjadi Guru Besar, inilah kali pertama ada orang yang membuatkan dia berada dalam keadaan terdesak seperti ini.

Tetapi di dalam insiden ini, memang mereka yang bersalah. Kalau Tentera Rui Lin benar-benar melakukan apa yang mereka katakan, Akademi Zephyr tidak ada asas untuk membuat bantahan.

Seketika kemudian, Nangong Xu tiba setelah bergegas ke situ. Sebaik matanya terpandang Long Qi, riak wajahnya terus menunjukkan perasaan malu.

"Jeneral Long Qi." Nangong Xu menyapa dengan senyuman terpaksa.

Long Qi tidak mempedulikannya dan terus memandang Jun Wu Xie untuk menanti arahan seterusnya.

Jun Wu Xie mengangkat sedikit tangannya sebagai isyarat. Long Qi terus berpusing dan merenung dingin pada Fan Qi.

"Guru Besar yang dihormati, Tuan fikir Tentera Rui Lin mudah diperbodohkan?"

Fan Qi hampir mahu melutut di hadapan Long Qi. Dia benar-benar tidak tahu apa salahnya kali ini sehingga menyebabkan Jun Wu Xie tidak puas hati.

Dia akhirnya faham. Long Qi yang berdiri di hadapannya ini mungkin ialah seorang Jeneral dalam Tentera Rui Lin. Namun di dalam kontinjen tentera ini, orang yang sebenarnya membuat keputusan ialah Jun Wu Xie. Malah Long Qi juga tunduk pada arahan Jun Wu Xie.

"Boleh saya minta Jeneral Long Qi menunjukkan arah yang lebih jelas? Saya benar-benar tak faham maksud Cik Muda." Setelah mendapati dirinya didesak sebegitu oleh seorang gadis muda, Fan Qi merasakan kehidupannya selama ini hanya sia-sia.