Walaupun telah mengetahui yang Gu Li Sheng terpaksa menerima mereka sebagai anak murid, para pemuda ini masih terlalu sayangkan identiti mereka sebagai pelajar fakulti Pemulih Roh. Mereka sanggup lakukan apa sahaja untuk mengekalkan kedudukan mereka.
Mereka tidak sanggup kehilangannya.
"Ma... maaf… kami bodoh dan naif kerana percaya pada khabar angin tidak berasas itu. Saya harap kamu berbesar hati dapat memaafkan orang-orang yang keji seperti kami! Tolong maafkan kami semua!" Pemuda itu tunduk hormat, merayu meminta kemaafan Jun Xie.
Pelajar-pelajar lain di belakangnya turut sama tunduk hormat.
Jun Wu Xie menjeling sekilas pada mereka. Dia tidak bercakap sepatah pun sebelum terus berjalan pergi dari situ.
Kumpulan pemuda ini menunggu lama sambil terus tunduk dan langsung tidak menerima apa-apa jawapan. Apabila mereka mendongak, mereka mendapati yang Jun Xie sudah pun berjalan keluar dari pintu utama fakulti Pemulih Roh tanpa memberikan mereka sebarang perhatian! Mereka merasakan seluruh dunia mereka musnah lalu menangis mengenangkan kehilangan yang bakal mereka alami.
"Apa… apa patut kita lakukan… maksudnya dia... tak akan maafkan kita?" para pemuda itu saling berpelukan dan membayangkan diri mereka dihalau keluar dari fakulti Pemulih Roh.
Jun Wu Xie langsung tidak sedar tentang nasib pelajar-pelajar ini dan sudah pun berjalan menuju hutan buluh itu.
Sepanjang perjalanannya, banyak mata yang tertumpu pada susuk tubuh kecil molek yang berjalan perlahan-lahan itu. Setiap pandangan mata itu tidak lagi dipenuhi kebencian atau cemuhan seperti sebelum ini, tetapi digantikan dengan perasaan malu dan sedikit gerun.
Kini apabila mereka terlihat Jun Xie, mereka akan teringat pada perasaan malu yang dirasai pagi tadi ketika Gu Li Sheng dan Fan Qi memberikan tamparan pada mereka. Tidak ada siapa yang berani mengambil walau satu langkah untuk mendekati Jun Xie.
Para pelajar ini menyembunyikan wajah masing-masing akibat berasa malu. Mereka bersembunyi di sudut-sudut ibarat tikus. Bagi mereka yang bertembung dengan Jun Xie pula, kaki mereka tiba-tiba menjadi longlai dan mereka cuba sedaya-upaya untuk melarikan diri.
Jun Wu Xie seolah-olah tidak sedar dan tidak memberikan perhatian ketika dia meneruskan perjalanan ke hutan buluh itu.
Di hutan buluh itu, Fan Jin begitu teruja menceritakan tentang kejadian hebat pagi tadi kepada Fan Zhuo. Wajah Fan Jin kelihatan merah dan nada suaranya kedengaran teruja. Dia sangat berharap dapat melakonkan semula situasi yang berlaku di dataran pada pagi tadi.
Fan Zhuo senyum tanpa berkata apa-apa tetapi matanya bersinar-sinar kegembiraan.
"Hee hee… kamu patut lihat tadi. Sungguh mengujakan! Kamu ingat tak guru perengus, Qian Yuan He? Guru di fakulti Roh Binatang? Sebelum ini dia memberitahu semua orang tentang segala kekurangan Jun Xie. Hari ini kata-kata Pak Cik Gu hampir membuatkan dia mahu menghempaskan kepalanya ke dinding dan membunuh diri kerana malu. Ketika itu saya sungguh gembira... Ha ha ha…" Semakin banyak Fan Jin bercerita, semakin dia teruja. Dia juga ada membawa dua balang besar berisi wain ke situ untuk meraikan kegembiraannya.
Selain Jun Wu Xie, seorang lagi yang begitu gembira dengan apa yang berlaku hari ini tentulah Fan Jin.
Sepanjang tempoh yang kelam itu, Jun Xie telah terseksa menahan cacian tanpa henti serta kutukan yang kejam. Fan Jin yang telah berusaha sehabis daya untuk melindungi Jun Wu Xie turut mengetahui hal yang sebenar. Sangat sukar baginya untuk menyimpan rahsia tersebut sehingga dia merasakan dirinya hampir meletus.
"Jun Xie, kamu dah balik!" Sebaik Fan Jin terlihat Jun Wu Xie berjalan masuk, dia bingkas bangun dengan perasaan teruja. Tubuhnya yang tinggi lampai itu bergoyang dan tidak stabil kerana dia bangun secara tiba-tiba. Fan Zhuo tangkas menghulurkan sebelah tangan untuk menampung abangnya.
Jun Wu Xie duduk sambil memandang Fan Jin yang sedikit mabuk itu.
"Hari ini kita benar-benar telah….membuatkan orang-orang jahanam itu terdiam…'hik'…" Fan Jin bercakap dengan tidak jelas sambil tersenyum dungu sebelum jatuh terduduk kembali ke kerusinya.
Fan Zhuo berpaling memandang Jun XIe lalu mengangkat bahu.
Sejak Fan Jin melangkah masuk ke situ, dia tidak henti-henti bercakap dan minum wain. Jelas sekali yang anginnya cukup baik hari ini.
Jun Wu Xie dan Fan Zhuo tidak minum dan mereka memerhatikan sahaja Fan Jin menghabiskan dua balang besar wain. Tidak lama selepas itu Fan Jin mabuk teruk. Dia tersembam ke atas meja dan tidur sambil berdengkur dengan kuat.
"Abang saya betul-betul gembira hari ini." Fan Zhuo tersenyum dengan kekok sambil memandang abangnya yang mabuk teruk dan tidak sedarkan diri itu. Tetapi hatinya tahu yang abangnya itu sangat gembira.
"Saya perlu perlu pergi dari sini buat seketika," kata Jun Wu Xie secara tiba-tiba.
Fan Zhuo agak terkejut mendengarkan kata-kata ini.