Tiba-tiba Ning Xin tersedar yang sejak mula lagi dia telah tersilap!
Dia memandang rendah pada kebolehan Jun Xie dan dia juga tersilap tentang fakulti sebenar Jun Xie. Semua rancangannya dibuat berdasarkan maklumat yang salah sejak mula lagi. Kini setelah semuanya terdedah, rancangan yang dibuatnya langsung tidak akan memberi manfaat padanya…..
"Senior Ning….." Yin Yan merenung Ning Xin dengan gerun. Sebelum identiti sebenar Jun Xie terbongkar, ayat-ayat yang Gu Li Sheng gunakan telah membuatkan Yin Yan berasa curiga, tetapi ketika itu dia tidak dapat memastikan apa yang tidak kena.
Sehinggalah segala-galanya didedahkan barulah dia, sama seperti orang lain, sedar yang mereka semua telah ditipu oleh cerita sebelah pihak daripada Li Zi Mu.
"Tak mungkin….Macam mana ini boleh berlaku…." Ning Xin hampir rebah kerana panik dan Yin Yan bergegas untuk memapahnya.
"Senior Ning, apa perlu kita lakukan sekarang?" Yin Yan benar-benar takut. Dia sudah pun gerun dengan Jun Xie sebelum ini. Kini, di hadapan semua orang di Akademi Zephyr, Gu Li Sheng telah mengkritik hebat semua pelajar fakulti Pemulih Roh dengan mengatakan mereka tidak berkebolehan. Sewaktu Gu Li Sheng memarahi semua orang kerana mudah percaya pada khabar angin, tentulah pelajar fakulti Pemulih Roh juga tidak terkecuali.
Lagipun, para pelajar di fakulti Pemulih Roh juga bersalah kerana mengutuk dan mengeji Jun Xie!
Kalau Jun Xie cuma pelajar biasa, mungkin keadaan tidak seburuk ini. Tetapi Jun Xie merupakan satu-satunya pelajar yang diiktiraf oleh Gu Li Sheng sendiri dan seseorang yang dia amat hargai. Dengan itu, Gu Li Sheng tidak perlu lagi menjadi Tuan Guru kepada para pelajar yang terpaksa dia terima sebelum ini….
Memikirkan hal ini sahaja sudah cukup untuk membuatkan Yin Yan menggigil mengenangkan akibatnya.
Semasa berada di akademi selama ini, dia hanya bergantung kepada kedudukannya di fakulti Pemulih Roh yang amat dicemburui ramai….
Kalau dia kehilangan kedudukan ini, akhirnya dia akan….
"Fan Jin tahu….." Ning Xin tiba-tiba mencengkam lengan Yin Yan dengan kuat dan menarik dirinya untuk berdiri kembali.
Fan Jin sudah tahu sejak mula lagi! Pasti dia sudah tahu! Kalau tidak, kenapa dia berkali-kali tegas mempertahankan Jun Xie!? Atau sanggup mempertaruhkan reputasinya sendiri untuk memastikan keselamatan Jun Xie!? Ha ha ha! Ha ha ha! Sebabnya selama ini memang dia sudah tahu yang Jun Xie itu ialah pelajar yang Gu Li Sheng sayangi! Ha ha ha! Fan Jin, oh Fan Jin! Saya, Ning Xin, benar-benar telah memandang rendah pada kamu!" Ning Xin hampir muntah darah. Semua yang berlaku di akademi ini telah berjalan lancar sepanjang hidupnya. Tetapi sejak dia bertemu dengan Jun Xie, Ning Xin mendapati dirinya sering berhadapan dengan halangan. Semua rancangan yang telah difikirkannya dengan bersusah payah, hancur musnah sebelum dapat dijalankan sepenuhnya. Dia menganggap dirinya amat bijak, tapi kini dia telah menjadi bahan jenaka!
Kesilapan seketika telah membuatkan dia kehilangan segala yang ada padanya!
Tak mungkin lagi Jun Xie akan menjadi pelajar yang tertindas. Dengan adanya Gu Li Sheng untuk menyokongnya, mustahil Jun Xie akan menjadi pelajar yang dibenci dan akhirnya tunduk pada Ning Xin.
Rancangannya untuk memikat Jun Xie ke sisinya sudah pun lenyap.
Manakala Fan Jin pula telah menyokong Jun Xie sejak dari mula lagi dan pertalian mereka kini sukar diputuskan!
Pergolakan di dalam dada Ning Xin hampir membuatkan nafasnya tersekat.
Dia berdiri di situ sambil ketawa menggila seperti sudah hilang akal.
Setelah menyaksikan sendiri roh berkontrak Jun Xie, Ning Xin tidak mungkin dapat menerima penjelasan Fan Qi tadi sebagai kebenaran.
Kucing kecil?
Ya Tuhan, itu ialah binatang hitam yang besar dan ganas!
Tetapi hakikat ini hanya diketahui oleh dia dan Yin Yan. Di hadapan orang lain, Jun Xie sentiasa menunjukkan roh berkontraknya dalam bentuk kucing hitam itu. Kalau mereka berdua pergi memberitahu orang lain yang roh berkontrak Jun Xie itu sebenarnya bukan kucing hitam biasa, tiada siapa akan mempercayai kata-kata mereka.
Kali ini dia kalah. Kegagalannya amat teruk sekali!
Hilai tawa Ning Xin berterusan dan darah mengalir keluar dari mulutnya. Kemarahan membara yang menyeksa hatinya serta kekalahan yang menyelubunginya membuatkan Ning Xin tidak dapat kekal tenang. Perwatakannya sebagai wanita beradab dan lemah lembut, terus dilupakan.