Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 584 - Menampar Orang Ramai (2)

Chapter 584 - Menampar Orang Ramai (2)

Sewaktu para pelajar lain mendengar perkembangan terbaru ini, mereka yang sebelum ini berpura-pura tidak berminat, terus menyertai kumpulan itu.

Baru-baru ini, ada dua insiden besar yang telah berlaku di Akademi Zephyr. Yang pertama ialah apabila Lu Wei Jie telah disingkirkan dari akademi bersama-sama dengan sekumpulan besar pelajar yang lain. Dia telah menghamburkan kritikan terhadap Ning Xin sebelum dia berlalu pergi. Satu lagi insiden ialah khabar angin yang mengatakan Jun Xie telah membunuh Li Zi Mu.

Dua insiden ini telah berlaku secara berturut-turut dengan pantas dan membuatkan perasaan para pelajar di akademi itu membuak-buak. Semua tuduhan liar dan khabar angin kejam yang tersebar itu berkaitan dengan pembunuhan rakan-rakan pelajar, berita tersebut telah menarik perhatian semua orang.

"Gu Li Sheng amat terkenal di akademi ini dan dia tidak boleh disentuh. Guru Besar juga tidak boleh menghalang dia daripada melakukan apa yang dia mahu. Apabila pelajar kesayangannya mati dalam keadaan misteri, kamu fikir dia akan lepaskan penjenayah itu dengan mudah? Lawatan Jun Xie ke fakulti Pemulih Roh semalam adalah untuk merayu belas kasihan daripada Gu Li Sheng. Khabarnya sewaktu dia meninggalkan fakulti, wajah Jun Xie pucat lesi. Tidak syak lagi, pasti rayuannya telah ditolak. Cuba fikir, Jun Xie telah pergi ke fakulti Pemulih Roh semalam dan hari ini kita telah dikumpulkan dengan mengejut di sini. Apa lagi kalau bukan ada kaitan dengan hal itu? Jangkaan saya, si dungu itu pasti telah menimbulkan kemarahan Gu Li Sheng sehingga dia mahu membalas dendam di atas kematian pelajar kesayangannya hari ini!"

"Munasabah juga hal ini setelah mendengar cerita kamu. Saya dengar, Gu Li Sheng yang telah menyuruh semua orang berkumpul di sini hari ini. Berdasarkan semua yang kamu beritahu kami tadi, nampaknya semua ini memang ada kaitan." Seorang lagi pelajar menambah.

Kumpulan pemuda itu kemudiannya sama-sama ketawa kejam.

Tidak ada siapa yang mahu belajar di akademi yang sama dengan seseorang yang mungkin menikam mereka dari belakang tanpa sebarang amaran.

"Hei! Tengok di sana! Siapa tu?" Seorang pemuda dengan penglihatan yang tajam telah menyedari kehadiran dua susuk tubuh yang sedang menuju dataran itu dari kejauhan.

Salah seorang daripada mereka ialah orang yang mereka amat kenali iaitu Fan Jin. Sementara itu, satu susuk tubuh lagi yang sedang berdiri di sisi Fan Jin merupakan pemuda bertubuh kecil molek dan berwajah halus.

"Apa!? Dia masih berani menunjukkan mukanya!? Dia ni benar-benar tak takut matikah?"

"Kamu fikir dia boleh bersembunyi? Kalau Gu Li Sheng mahu membalas dendam untuk Li Zi Mu, Jun Xie tak akan dapat lari walaupun dia meninggalkan Akademi Zephyr!"

Dataran itu dipenuhi orang-orang yang sedang mencemuh dan suka mengapi-apikan keadaan. Tidak kurang juga orang yang tidak terlalu menonjol dan hanya mahu menikmati apa yang bakal berlaku.

Sewaktu Jun Wu Xie menghampiri dataran tersebut, setiap langkah kakinya menjadi tumpuan setiap pasang mata di situ.

Ning Xin dan Yin Yan berdiri dalam kalangan kerumunan pelajar itu. Wajah mereka dipenuhi senyuman kejam.

"Nampaknya kita tak perlu buat apa-apa lagi untuk menyingkirkan dia. Jun Xie sendiri yang telah menempah maut sewaktu dia pergi bertemu dengan Gu Li Sheng. Tak mungkin Gu Li Sheng akan melepaskan budak tak guna itu dengan mudah." Ning Xin berbisik. Matanya dipenuhi racun tetapi mulutnya masih lagi menguntum senyuman lembut.

"Notis berkumpul hari ini benar-benar telah dikeluarkan oleh Tuan Guru saya?" tanya Yin Yan.

Ning Xin mengangguk.

"Siapa lagi kalau bukan dia?"

"Maksudnya Tuan Guru saya akan bertindak ke atas Jun Xie hari ini?"

"Tentulah. Jun Xie itu fikir dia siapa? Dia fikir dia boleh meyakinkan Gu Li Sheng untuk melepaskan dia atas kesalahan membunuh Li Zi Mu, hanya dengan merayu pada Gu Li Sheng di fakulti Pemulih Roh? Naif betul." Ning Xin bersuara dengan girang.

Yin Yan memperlahankan suaranya untuk berbisik, "Senior Ning, kalau Gu Li Sheng bertindak ke atas Jun Xie hari ini…. Bukankah itu berbeza dengan apa yang kita rancangkan?"

Ning Xin berniat mahukan Jun Xie akhirnya mengaku kalah dan datang merangkak padanya. Kemudian Ning Xin akan mempunyai peluang besar untuk merekrut Jun Xie di bawah pengaruhnya. Tapi jika Jun Xie dibunuh di sini hari ini, semua rancangannya akan hancur menjadi debu.

Ning Xin acuh tidak acuh sahaja sambil dia berdengus dan berpeluk tubuh. Dia berkata, "Gu Li Sheng mungkin bersikap pelindung pada pelajar-pelajarnya, tetapi dia tidak suka mengotorkan tangannya dengan darah. Hakikatnya, dia sudah menggunakan begitu banyak usaha untuk mengumpulkan semua orang di sini. Pasti tujuannya ialah untuk membalas dendam bagi pihak Li Zi Mu. Tetapi itu tidak bermaksud Jun Xie akan dibunuh. Kalau dia mahu Jun Xie mati, dia dengan mudah boleh melakukannya dengan cara yang lebih tersembunyi. Paling teruk sekalipun, dia akan memarahi Jun Xie dengan tegas sebelum menghalaunya keluar dari Akademi Zephyr. Tapi…."