Kucing hitam kecil itu tidak henti-henti merungut dengan tidak sabar.
Jun Wu Xie mengangkat sebelah tangannya dan menepuk-nepuk punggung kucing hitam kecil itu. Kemudian dia memandang Ning Xin yang sedang menunjukkan raut wajah penuh kebimbangan.
"Esok kita pasti akan tahu apa yang benar dan apa yang palsu. Tak perlulah kamu risaukan hal ini." Selepas berkata begitu, Jun Wu Xie terus berlalu pergi.
Seperti yang kucing hitam itu katakan, kalau Jun Wu Xie meneruskan perbualan dengan Ning Xin lagi, kebijaksanaan Jun Wu Xie semakin terhina!
Ning Xin merenung Jun Xie yang berlalu pergi itu sambil tercengang. Dia tidak pernah menyangka yang Jun Xie akan masih lagi begitu dingin dan angkuh dalam situasi ini! Dia tiba-tiba berasa amat malu kerana tidak dipedulikan!
"Jun Xie! Kamu berani acuh tak acuh saja dengan saya! Tunggulah! Satu hari nanti kamu pasti akan merangkak dan merayu pada saya untuk menyelamatkan kamu!" Ning Xin mengetap giginya sambil merenung marah pada Jun Wu Xie. Dia berharap sepenuh hatinya untuk dapat menyiat-nyiat badan Jun Wu Xie sehingga berkecai.
"Yin Yan!" Ning Xin menjerit dengan kuat.
Yin Yan yang telah bersembunyi di sebalik bayang, segera memunculkan diri.
"Senior Ning."
"Sampaikan arahan saya pada mereka semua! Saya mahu hal tentang Jun Xie membunuh Li Zi Mu itu disebarkan dengan lebih meluas! Dalam masa tiga hari, saya mahu dengar berita Fan Qi telah menyingkirkan Jun Xie!"
Yin Yan menggigil dan bertanya dengan teragak-agak, "Senior Ning, tidakkah itu agak melampau…. Pakar roh ungu yang berkemahiran tinggi itu…."
Ning Xin membalas dengan ketawa dingin lalu berkata, "Apa yang kamu takutkan? Bukan saya yang bertanggungjawab dalam hal ini. Bukankah saya dah katakan tadi? Semua ini bermula kerana Gu Li Sheng mengarahkan hal ini disiasat. Saya tak percaya ada orang dalam dunia ini yang akan menentang Gu Li Sheng, pengasas Pemulihan Roh, semata-mata untuk melindungi budak tak guna tu."
Yin Yan menelan air liurnya. Dia terkejut kerana Ning Xin telah melibatkan nama Gu Li Sheng di dalam rancangan jahatnya.
Dia merasakan tindakan ini agak semberono.
…..
Sewaktu Jun Wu Xie kembali ke hutan buluh itu, Fan Jin sudah pun berasa amat gelisah. Dia tidak dapat duduk diam dan berjalan mundar-mandir di sekeliling halaman kecil itu.
Apabila terlihat Jun Wu Xie, Fan Jin meluru seperti anak panah ke arahnya. Dia terus memeriksa keadaan Jun Wu Xie, dari kepala hingga ke kaki. Hanya selepas dia pasti yang Jun Wu Xie tidak apa-apa barulah dia mengeluh lega.
"Kamu pergi mana?" tanya Fan Jin dengan risau.
"Berjumpa dengan Gu Li Sheng." Jun Wu Xie menjeling sekilas pada Fan Jin lalu menyedari betapa cemasnya pemuda itu. Dia tahu Fan Jin hanya bimbang tentang keselamatannya.
Perwatakan Fan Jin ini boleh tahan juga, cuma dia ini terlalu….lurus.
Kalau dia memiliki walau separuh kebijaksanaan Fan Zhuo, Jun Wu Xie tidak akan berasa begitu terbeban sewaktu bercakap dengannya.
Dalam hal membuat apa-apa rancangan, jangan gabungkan orang yang berat mulut dan tidak pandai bersosial dengan orang yang berfikiran lurus. Mereka berdua akan rebah keletihan sebelum sempat memikirkan apa-apa rancangan.
"Pak Cik Gu?" Seperti yang dijangka, Fan Jin masih tidak dapat menangkap pemikiran Jun Wu Xie dan masih lagi bingung.
Fan Zhuo yang berdiri di pintu pondok buluh itu memandang dengan tidak berdaya pada abangnya yang agak dungu ini. Dia tidak mampu berbuat apa-apa selain menggelengkan kepala dengan pasrah.
"Bila kamu nak mula bertindak?" tanya Fan Zhuo tanpa memerlukan penjelasan Jun Xie. Dia faham tujuan Jun Xie bertemu dengan Gu Li Sheng.
"Esok." Seperti yang dijangka, lebih mudah untuk berbual dengan orang yang lebih bijak.
"Sepantas itu?" tanya Fan Zhuo sambil mengangkat keningnya.
"Tentera Rui Lin akan tiba di sini lusa." Sewaktu menyebut tentang Tentera Rui Lin, mata Jun Wu Xie yang dingin itu menjadi lembut dan dia menundukkan pandangannya. Aura serta perwatakannya juga kelihatan agak mesra ketika ini.
"Tentera Rui Lin? Apa yang sedang berlaku ni? Saya ada dengar kamu dan abang saya menyebut tentang mereka sebelum ini, tapi apa kaitannya tindakan kamu dengan Tentera Rui Lin?" Setelah menyedari perubahan yang berlaku ke atas Jun Wu Xie, Fan Zhuo berasa amat tertarik.
Kuasa apa yang ada pada Tentera Rui Lin sehinggakan ketika menyebut namanya sahaja sudah cukup untuk mengubah aura serta perwatakan Jun Xie dalam sekelip mata.
Wajah Fan Jin menjadi kaku sebaik dia terdengar nama Tentera Rui Lin.
Sepanjang berlangsungnya Perburuan Roh, Fan Zhuo berada di hutan buluh ini. Jadi dia tidak tahu apa-apa tentang kejadian yang berlaku di dalam Hutan Roh Pertempuran.