Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 576 - Pembunuhan Rakan Pelajar (4)

Chapter 576 - Pembunuhan Rakan Pelajar (4)

Kalau Ning Xin tidak terlalu memandang tinggi kebolehan dirinya, itu bermaksud dia telah memandang rendah kebolehan Jun Wu Xie.

Berkomplot untuk menentang Jun Wu Xie? Ning Xin ini belum cukup bijak lagi.

"Lima hari lagi saya akan buatkan dia sedar apa maksud sebenar menjaga diri sendiri," kata Jun Wu Xie sambil meletakkan kembali cawan jed putih itu ke atas meja dengan perlahan.

Kalau ada orang datang kepadanya untuk menempa maut, tak ada sebab untuk dia menolak.

Dalam masa tiga hari sejak Jun Wu Xie kembali ke Akademi Zephyr, khabar angin tentangnya di dalam akademi itu masih belum reda. Malah ada pelajar yang pergi ke pintu masuk hutan buluh kecil itu dan melontarkan batu ke dalamnya. Batu-batu tersebut semuanya disasarkan ke arah bilik di mana Jun Wu Xie berada.

Beberapa kali Fan Jin menangkap para pelajar yang mencari masalah ini ketika dia datang ke hutan buluh tersebut. Dia memarahi mereka cukup-cukup sebelum menghalau mereka pergi dari situ.

Beberapa orang guru juga turut memberikan kritikan secara terang-terangan. Semuanya merupakan guru-guru dari fakulti Roh Binatang dan bermula daripada guru yang hanya sekali bertemu dengan Jun Xie di dalam kelas iaitu Qian Yuan He.

Khabarnya pada suatu ketika, ada pelajar yang pergi bertemu Qian Yuan He dan bertanya tentang keperibadian Jun Xie.

Qian Yuan He membalas dengan mengkritik Jun Xie tanpa henti dan tanpa belas kasihan. Malah turut mengatakan yang dia sangat malu kerana pernah mengajar seseorang seperti Jun Xie.

Jawapan Qian Yuan He itu telah membuatkan para pelajar yang sememangnya tidak berpuas hati dengan Jun Xie, semakin yakin yang khabar angin kejam yang tersebar itu ialah benar. Kebencian dan kemarahan mereka terus meledak tanpa dapat dibendung.

Kali ini, sewaktu Fan Jin sampai di hutan buluh itu, dia terlihat sekumpulan pelajar menghalang pintu. Mereka sedang memaki hamun Jun Xie dengan kata-kata kesat serta melemparkan pelbagai tuduhan. Ini semua membuatkan telinga Fan Jin pedih.

"Jun Xie, jangan fikir dengan bersembunyi di sini kamu dapat mengelak hukuman! Kamu bunuh rakan pelajar disebabkan hal yang remeh-temeh! Sikap kamu ini pasti akan membuatkan kamu terbunuh satu hari nanti. Kamu tak akan hidup senang!"

"Sampah tak guna macam kamu ni perlu pergi dari Akademi Zephyr! Kehadiran kamu di sini amat memalukan!"

"Budak tak guna dan tak tahu malu! Kenapa kamu tak mati saja…."

Fan Jin hampir sampai ke hutan buluh itu apabila dia terdengar makian itu dengan jelas. Wajahnya terus kelihatan marah.

"Tutup mulut kamu! Siapa yang benarkan kamu datang ke sini dan membuat kacau? Kamu tak tahu tentang peraturan akademi? Sesiapa yang menceroboh masuk ke dalam hutan buluh ini akan dibuang dari akademi dengan serta-merta! Kamu tak mahu terus berada di akademi?" Raut wajah Fan Jin kelihatan serius sewaktu dia menjerit dengan marah pada kumpulan pelajar itu.

Setelah Fan Jin menjerit pada mereka, para pelajar ini menggeletar ketakutan. Kaki mereka mahu lari dari situ, tapi entah mengapa, mereka berasa terdorong oleh sesuatu. Mereka melangkah ke hadapan dan berdiri di hadapan Fan Jin dengan tegas.

"Senior Fan! Kami semua menghormati Senior Fan kerana selalu bersikap adil! Jadi kenapa Senior Fan masih melindungi Jun Xie!? Saya pasti Senior Fan tahu tentang insiden dia cuba merampas kedudukan Li Zi Mu tetapi Senior Fan berulangkali mempertahankan Jun Xie. Kali ini dia tak mengawal dirinya sehingga membunuh Li Zi Mu! Bagaimana Senior Fan masih boleh terus melindunginya? Benarkah Senior Fan ini orang yang kami kagumi selama ini? Budak tak guna itu kejam, memalukan dan sangat jijik dari segi pemikiran serta perbuatannya. Disebabkan Senior Fan telah melindunginya selama ini, perangainya semakin buruk! Berapa lama lagi Senior Fan mahu berada dalam kekeliruan? Kalau Senior Fan bertegas untuk tidak membezakan perkara yang salah dengan yang betul, jangan salahkan kami kerana hilang kepercayaan terhadap Senior Fan!" kata ketua kumpulan pemuda itu kepada Fan Jin. Wajahnya kelihatan marah, seolah-olah dia sedang memperjuangkan perkara yang betul.

Sebelum ini, tiada siapa yang akan meragui perwatakan Fan Jin yang lurus dan jujur. Tetapi kini, selepas beberapa kali khabar angin tersebar, kedudukan Fan Jin di hati para pelajar lain semakin merosot. Dia tidak lagi dihormati seperti dulu.

Inilah kali pertama ada pelajar yang memarahi Fan Jin secara berdepan. Mata Fan Jin terbeliak dan dadanya turun naik akibat perasaan marah yang tiba-tiba menyelubunginya. Dia berasa amat sakit hati..